Virtual Christmas Carolling 2020 oleh Gereja St Leo, Kampung Serasot Bau

Antara peserta VCC 2020. (Foto: AJK VCC 2020)

Oleh AJK VCC 2020

KUCHING — Tahun 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar dengan kehadiran pandemik COVID-19. Banyak aktiviti gereja dihadkan malah ada yang terpaksa dibatalkan. Antara yang paling terkesan adalah ketiadaan aktiviti karoling dari rumah ke rumah menjelang sambutan Krismas seperti tahun-tahun sebelumnya. 

Walau bagaimanapun, kewujudan pandemik tersebut dilihat tidak mematahkan semangat golongan belia di Gereja St Leo, Kampung Serasot, untuk mencari inisiatif dalam menyampaikan khabar gembira tentang kelahiran Yesus Kristus kepada rakan-rakan, sekali gus menyemarakkan semula semangat Krismas melalui norma baharu.

Fr Andre Belo sedang menyampaikan perkongsian beliau. (Foto: AJK VCC 2020)

Cik Tessie Rijem telah mencetuskan idea Virtual Christmas Carolling 2020 (VCC 2020) melalui aplikasi ZOOM. VCC 2020 berjalan dengan jayanya pada 22 Disember 2020 bermula jam 8.00 malam dan tamat 30 minit kemudian. 

Aktiviti tersebut boleh dikatakan yang pertama diadakan oleh sebuah gereja kampung di bawah Paroki St Stephen. Antara pengisian aktiviti VCC 2020 adalah ucapan alu-aluan daripada Ketua CYM Gereja, Cik Kollisa Johia, perkongsian daripada Fr Andre Belo (KAYC), nyanyian lagu-lagu Krismas, kuiz Al-Kitab, dan cabutan bertuah.

VCC 2020 disertai 70 orang jemaat pelbagai peringkat umur yang terdiri daripada jemaat Gereja St Leo, Kampung Serasot, sendiri yang berada di seluruh negara dan tidak ketinggalan juga jemaat dari gereja-gereja lain. 

Ia turut diserikan dengan penyertaan Dewi Liana Seriestha (Miss World Malaysia 2014) dan Ganda Karisma Kristi (penyanyi opera Indonesia).

Aktiviti seumpama ini sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan jemaat Gereja St Leo, Kampung Serasot, yang berada di perantauan dan tidak dapat pulang ke kampung menyambut Krismas bersama keluarga tercinta akibat penularan pandemik COVID-19. Penyertaan yang banyak daripada golongan muda juga menunjukkan bahawa kemajuan teknologi boleh dijadikan medium santapan iman yang berkesan.

AJK VCC 2020

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.