Vatikan namakan budak Filipina yang mati pada usia 17 sebagai Hamba Tuhan

Foto: CNS/Tyler Orsburn

MANILA, Filipina — Seorang remaja Filipina yang meninggal dunia mungkin akan menjadi santo selepas Vatikan mengisytiharkannya sebagai seorang Hamba Tuhan, langkah pertama dalam proses untuk menjadi orang kudus atau santo.

Kongregasi bagi Karya Santo-Santa memberikan lampu hijau kepada Keuskupan Cubao, Filipina, untuk mengkaji kehidupan Darwin Ramos yang meninggal dunia pada 2012 di usia 17 tahun.

Prefek kongregasi Kardinal Angelo Becciu membuat deklarasi pada Mac lalu, tetapi ia hanya dimaklumkan kepada orang ramai di Manila pada 31 Mei, ucanews.com melaporkan.

“Vatikan telah memberikan kebenaran kepada kami untuk mendalami lagi kehidupan beliau, bagaimana beliau menjalani kepercayaan beliau dan bagaimana beliau memberikan kesaksian kepada Yesus yang sangat rapat dengan beliau,” kata Uskup Honesto Ongtioco dari Cubao.

Uskup itu berkata deklarasi Vatikan mengingatkan umat Katolik bahawa “kita dipelawa untuk memberikan kesaksian kepada kepercayaan kita dengan cara yang konkrit”.

Wali gereja itu memulakan proses bagi beatifikasi Ramos atas permintaan Friends of Darwin Ramos Association.

Proses untuk menjadi orang kudus atau santo bermula dengan pemeriksaan kehidupan calon. Seseorang itu hanya dapat diisytiharkan sebagai berbahagia (beatified) selepas pengesahan satu mukjizat yang dikaitkan dengan perantaraan beliau.

Langkah lain ke arah kekudusan adalah deklarasi ‘Venerable’ (Yang Dihormati), diikuti beatifikasi dan akhirnya kanonisasi.

Rakan-rakan Ramos memuji kebaktian beliau kepada kepercayaan beliau walaupun beliau mengalami distrofi otot Duchenne, sejenis penyakit genetik yang dicorak oleh kelemahan otot.

“Darwin merupakan contoh kekudusan. Sebagai seorang budak jalanan, yang mengalami miopati, beliau begitu bersatu dengan Kristus dalam penderitaan dan kegembiraan beliau,” kata Uskup Ongtioco.

Ramos dilahirkan pada 1994 di kampung setinggan Pasay City di pinggir Manila. Pada usia 12 tahun, beliau secara sukarela membantu kanak-kanak jalanan menerusi yayasan ‘Tulay ng Kabataan’ atau Jambatan Kanak-kanak.

Selepas beliau menjumpai kepercayaan beliau, beliau dibaptis, disahkan (menerima Sakramen Penguatan) dan menerima Komuni pertama pada 2007.

Walaupun ketika keadaan fizikal beliau merosot, Ramos menjadi inspirasi kepada kakitangan dan kanak-kanak di sebuah pusat yang diusahakan oleh yayasan berkenaan.

Uskup Ongtioco berkata Ramos membentuk “hubungan peribadi yang mendalam dengan Kristus”, meluangkan masa setiap hari untuk berdoa dan menyerahkan diri kepada Tuhan.

Pada 2012, keadaan Ramos bertambah teruk, tetapi walaupun di hospital, beliau sentiasa menunjukkan sikap yang mesra dan mengucapkan terima kasih kepada semua orang kerana membantu beliau.

Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Kanak-kanak Filipina di Quezon City pada 23 September 2012.

CNS (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Vatican names Filipino boy who died at 17 a Servant of God

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.