Uskup Agung lancar Rayuan Adven

Uskup Agung Simon Poh

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Uskup Agung Kuching Simon Poh telah melancarkan “Rayuan Adven” bagi tujuan mengurangkan kemiskinan dan penderitaan serta membawa harapan dan sukacita Krismas kepada masyarakat yang memerlukannya.

“Pandemik COVID-19 telah menjejaskan ekonomi kita dengan teruk, sehingga mewujudkan satu kategori ‘golongan miskin baharu’. Impak terbesar berlaku kepada golongan miskin, pendatang, balu, warga emas, wanita dan kanak-kanak, terutamanya dalam masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau menambah, ramai orang yang menyara keluarga di kawasan bandar sudah kehilangan pekerjaan dan tidak dapat menyara keluarga mereka lagi. Ekonomi yang lembap telah menyusahkan banyak keluarga, dan ada yang sudah kehabisan tabung kecemasan dan wang simpanan mereka.

Pada musim Adven dan Krismas, Gereja menurut tradisi menganjurkan acara dan projek untuk mengumpul hadiah dan derma bagi golongan miskin bandar dan keluarga luar bandar. Semua projek sedemikian terpaksa dibatalkan pada tahun ini disebabkan oleh COVID-19.

“Walau bagaimanapun, seperti pada tahun-tahun lalu, kita ingin meneruskan usaha memberi peruntukan makanan kepada keluarga-keluarga ini dan sekotak pelitup muka bagi setiap keluarga,” kata Uskup Agung Simon.

Selain golongan ini, terdapat ramai pendatang di Kuching yang terkandas di sini, dan tidak dapat melakukan perjalanan untuk pulang ke negara asal mereka.

Paroki luar bandar juga memerlukan bantuan kewangan untuk membayar katekis, sakristan dan kakitangan supaya paroki dapat terus memenuhi keperluan jemaat Katolik.

“Pada musim Adven yang suci, saya dengan ini ingin menggunakan konsep yang sama seperti RAYUAN LENT dengan menjemput semua orang Katolik dan rakan-rakan yang berniat baik untuk memberikan sumbangan kepada RAYUAN ADVEN kita sepanjang bulan Disember ini sehingga Krismas,” beliau menambah lanjut.

Dari 1-24 Disember 2020, mereka yang ingin memberikan sumbangan kepada Tabung RAYUAN ADVEN boleh melakukan perkara berikut: (image here)

  • Derma kepada E-Kutipan Keuskupan Agung sewaktu Misa Hari Minggu yang distrim secara langsung.
  • Gunakan Kod QR Sarawak Pay atau Masukkan ke dalam Akaun Hong Leong Bank (lihat di atas).
  • Hantar sumbangan mereka terus kepada ‘Catholic Welfare Services Sarawak’.

Sambil mengucapkan “Adven dan Krismas yang penuh dengan Kasih, Kerahiman, Harapan, Sukacita dan Kedamaian Allah” kepada semua orang Katolik dan rakan-rakan, Uskup Agung Simon berkata: “Semoga tahun 2020 yang telah dibayangi COVID-19 diterangi dengan harapan dan sukacita Adven (cf. Yesaya 9:2), dan agar ramai akan diberkati dengan pemberian dan perkongsian Krismas kerana Imanuel – ‘Allah kita bersama kita’ (Matius 1:23).”

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Archbishop launches ADVENT APPEAL to alleviate suffering and bring Christmas Hope & Joy

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.