Oleh Sisters of St Francis Sarawak (SSFS)
KUCHING — Gereja Blessed Sacrament di sini dipenuhi rohaniwati, keluarga dan rakan-rakan mereka yang telah datang untuk menyertai tujuh rohaniwati daripada perkumpulan Sisters of St Francis of Sarawak (SSFS) yang meraikan Jubli Kaul Religius pada 10 Disember 2023.
Meraikan Jubli Intan adalah Sr Ignatia Soon dan Sr Anastasia Ruin, Jubli Emas adalah Sr Stella Tan, Sr Flora Tingang dan Sr Regina Lachau manakala Jubli Perak adalah Sr Martina Nari dan Sr Anna Juwin.
Misa Kesyukuran dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh bersama kedua-dua Uskup Agung Emeritus, Peter Chung dan John Ha, serta 15 paderi lain.
Dalam homili beliau, Uskup Agung Simon menyatakan pada keseluruhannya, ketujuh-tujuh jubilarian tersebut telah mengabdikan kehidupan mereka kepada Tuhan selama 320 tahun.
Kaul Religius dirayakan untuk memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan.
Nabi Yesaya berfirman tentang bagaimana Tuhan menjaga bangsa Israel di belantara.
Walaupun mereka kecil dan rapuh, Tuhan akan memberikan kekuatan kepada mereka dan menghiburkan mereka pada waktu susah apabila mereka setia kepada Tuhan.
Demikian juga, pengalaman ketujuh-tujuh rohaniwati berkenaan mendapati kehidupan religius tidak selalunya indah.
Ada masanya mereka mengalami kesusahan, keraguan dan kegelisahan tetapi mereka tetap berdiri teguh dan sentiasa setia kepada janji yang mereka buat pada Kaul Pertama dalam Kehidupan Konsekrasi.
Menerusi Roh Kudus, mereka ‘dikahwinkan’ kepada Kristus, mempelai mereka pada Kaul Pertama.
Kesetiaan mereka kepada kehidupan konsekrasi membuktikan kepada kita bahawa kita boleh mengabdikan kehidupan kita kepada kasih dan kerahiman Tuhan.
Mereka telah melayan di banyak tempat di Sarawak, dan jubli itu sebenarnya bukan sekadar untuk meraikan apa yang mereka telah buat tetapi memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan bagi anugerah yang diterima sambil meraikan kesetiaan mereka.
Ini menuntut komitmen, dengan mengetepikan kesombongan dan ego supaya apabila Kristus datang, mereka dapat melihat Tuhan secara langsung.
Yohanes Pembaptis menyeru kepada semua untuk “sediakanlah jalan bagi Tuhan, luruskanlah laluan-Nya”, dan bagi mereka yang setia dijanjikan “syurga baharu dan bumi baharu”.
Uskup Agung Simon mengakhiri Misa dengan ucapan agar kesemua rohaniwati berkenaan terus menjadi berkat bagi Gereja di Sarawak dan seluruh Malaysia.
Misa Kesyukuran itu dirayakan dengan penuh adab dan inspirasi dengan semangat harapan dan mengalu-akukan kedatangan Natal.
Perayaan diteruskan dengan majlis makan malam di mana para rohaniwati dan keluarga jubilarian menghiburkan tetamu dengan tarian dan nyanyian.
Dalam ucapannya, Ketua Pemimpin SSFS, Sr Rose Wong, menyuarakan sukacita dan rasa syukur beliau kepada semua hadirin yang memastikan perayaan Jubli itu tidak dapat dilupakan.
Kepada para jubilarian, beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas komitmen dan dedikasi mereka kepada kaul religius masing-masing.
Beliau terus menggalakkan mereka untuk sentiasa berkembang dalam kasih Kristus.
Tema perayaan Jubli itu adalah “Puji dan berkatilah Tuhanku dan berikanlah kesyukuran kepada-Nya di atas perbuatan-Nya yang indah”.
Beliau berkata ia mencerminkan rasa kesyukuran yang mendalam kepada Tuhan di atas panggilan, keberkatan dan persahabatan-Nya selama 60, 50 dan 25 tahun mereka hidup sebagai rohaniwati Fransiskan dan anggota setia SSFS.
Walaupun berdepan dengan banyak cabaran, mereka tetap setia kepada Tuhan.
Ini menjadi peringatan bagi semua panggilan lain dan setiap perhubungan.
Sesungguhnya, katanya, para jubilarian terhutang budi kepada Tuhan di atas panggilan untuk mengambil bahagian dalam kehidupan misionari-Nya dan beliau menjemput semua orang muda untuk tidak rasa takut menyahut seruan seandainya mereka dipanggil untuk menjadi seorang rohaniwati, rohaniwan (brother) atau paderi.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Franciscan Sisters celebrate Diamond, Golden and Silver Jubilees