‘Todos, todos, todos!’

Kontinjen Malaysia di WYD2023, Lisbon, Portugal.

Oleh Julian Christian Sim

Esta es la juventud de papá!” (“Kami adalah belia Paus!” dalam bahasa Sepanyol) merupakan satu laungan yang sering kedengaran di lebuh Lisbon, Portugal ketika ia menjadi tuan rumah Hari Belia Sedunia Ke-37 (WYD2023) baru-baru ini dari 31 Julai hingga 6 Ogos. Berdiri di lebuh dan taman Lisbon dengan lebih 370,000 sukarelawan dan penziarah berdaftar, di sebelah satu sama lain dengan bahu ke bahu, ia adalah laungan yang kami, para penziarah dari Malaysia, pelajari ketika kami menunggu dengan penuh harapan bagi ketibaan Bapa Suci.

Orang ramai di WYD2023
Bendera Malaysia yang kesepian

Bagi kebanyakan anggota kontinjen Malaysia ke WYD2023 Lisbon, ia adalah satu pengalaman yang baharu apabila kami menikmati muzik dan lagu, dengan lautan orang muda di sekeliling kami dan kesedaran bahawa kami yang bertuah berada di Portugal. Sepanjang minggu itu, terdapat banyak ketika di mana kami benar-benar merasakan bahawa kami adalah sebahagian daripada Gereja Sejagat yang lebih besar, Gereja yang ada ruang bagi semua orang—sentimen yang Pope Francis ingin kongsikan bersama semua kita.

Bapa Suci menjemput semua yang hadir untuk melaungkan bersama beliau, "Todos, todos, todos!"

Dalam ucapan alu-aluan beliau pada Majlis Sambutan WYD2023, beliau menegaskan bahawa “Gereja ada ruang bagi semua orang, dalam setiap bahasa. Gereja ada ruang untuk semua orang!” Sambil menekankan perkara tersebut, Bapa Suci menjemput semua yang hadir untuk melaungkan bersama beliau, “Todos, todos, todos!” (“Semua orang, semua orang, semua orang!” dalam bahasa Portugis).

SINODALITI DI WYD2023... Dedikasi untuk memastikan penyertaan penuh setiap penziarah, tanpa mengira keupayaan mereka.
Seorang penziarah dinaikkan semasa Misa Penutup di WYD2023.

Penekanan kepada sinodaliti ini ternyata sepanjang penganjuran WYD2023, khususnya usaha signifikan yang dibuat oleh penganjur untuk melibatkan penziarah yang kelainan upaya, mempunyai cabaran mental, pekak dan bisu supaya mengambil bahagian sebaik mungkin dengan keupayaan mereka. Pembinaan tanjakan bagi akses yang lebih mudah kepada acara dan pengangkutan bagi peserta kelainan upaya, penterjemah bahasa isyarat secara langsung bagi semua acara utama dan pameran khusus mengenai sokongan kepada golongan kurang upaya merupakan beberapa contoh usaha mereka.

Sinodaliti juga merupakan pendorong di sebalik kebanyakan sesi katekesis Rise Up di sepanjang WYD2023 di mana penziarah muda dari pelbagai negara mengambil bahagian dalam perbincangan sinodal mengenai tema-tema Ekologi, Persahabatan Sosial dan Kerahiman Tuhan. Ramai uskup yang mengambil bahagian memainkan peranan ‘mendengar’ yang lebih malap, di mana mereka mendengar secara aktif kepada sentimen, kebimbangan dan cadangan penziarah muda dalam usaha menangani isu-isu yang ada kaitan dengan ketiga-tiga tema tersebut. Setiap sesi berakhir dengan perkongsian umum tentang cara untuk maju ke hadapan yang disampaikan oleh para peserta muda, diikuti satu ringkasan dan kata-kata penutupan daripada uskup yang mengambil bahagian dan berakhir dengan Misa Kudus dan/atau Adorasi Ekaristi.

Sesi katekesis Rise Up di WYD2023.

Di bawah adalah beberapa testimoni daripada penziarah bersama kontinjen Malaysia:

“Ternyata ada hadirat yang menjadikannya sukar untuk percaya bahawa saya benar-benar berada di sini. Begitu dekat sekali secara fizikal dengan Paus, berada di sana secara fizikal untuk mengalami segalanya. Juga dapat mengalami Adorasi Sakramen Maha Kudus bersama begitu ramai belia lain, ia rasa seperti di luar alam nyata, tetapi walaupun demikian, saya juga rasa selesa.” - Adelyn Phun, Keuskupan Pulau Pinang

“Saya dapat menyertai satu sesi ‘Rise Up’ dengan tema persahabatan sosial, yang disusuli dengan perkongsian berkumpulan bersama penziarah dari negara lain. Ia adalah satu pengalaman yang menakjubkan dan, pada waktu yang sama, saya dapat membina persahabatan baharu dan hubungan dengan belia dari seluruh dunia.” - Serena binti Jonius, Keuskupan Pulau Pinang

“Ia adalah memberangsangkan untuk melihat orang muda lain yang mengamalkan kepercayaan dan melakukan perjalanan yang jauh ke Lisbon. Ia menunjukkan kepada saya bahawa kepercayaan itu masih hidup dalam hati orang muda dan ramai yang merindukan Yesus untuk mengalami kebahagiaan sebenar dalam hidup. Saya ingin menggalakkan lebih ramai orang muda untuk menyertai WYD pada masa depan supaya mereka dapat mengalami dan bertemu dengan Tuhan juga.” - Freddy Graman, Keuskupan Sandakan

“Sepanjang lawatan itu, saya sangat sedar bahawa Tuhan ingin sekali menggapai semua kita, ia sebenarnya memerlukan kita untuk tampil dengan berani dan bersedia untuk mengambil langkah iman agar dapat bertemu dengan-Nya. Jadi, datanglah dengan hati terbuka dan bersiap sedialah untuk memberi dan menerima begitu banyak lagi, lebih daripada apa yang anda dapat bayangkan. Kerana Dia benar-benar ada pelan yang hebat bagi semua kita.” - Jean Jayme Loh, Keuskupan Pulau Pinang

Ia sudah hampir sebulan sejak kami kembali dari Lisbon dan tema serta kata-kata ini daripada Bapa Suci di WYD2023 masih bergema dalam hati kami:

Bahawa YESUS BERJALAN BERSAMA KITA:

“Dia menangis bersama kita. Dia mengiringi kita dalam kegelapan kita. Dia mahu menenangkan kekhuatiran kita dengan penghiburan-Nya. Yesus berjalan menuju Salib supaya jiwa kita dapat senyum.” - Bapa Suci Pope Francis dalam renungan beliau sewaktu ibadat Jalan Salib di Taman Eduardo VII, Lisbon, Portugal

Bahawa RUANG MESTI ADA BAGI SEMUA ORANG: 

“Atas kapal Gereja, ruang mesti ada untuk semua orang: semua yang telah dibaptis dipanggil untuk menaiki kapal dan menebarkan jala mereka, seterusnya terlibat secara peribadi dalam pewartaan Injil… Apabila dialog, tanggungjawab bersama, dan penyertaan kurang, Gereja menjadi semakin tua. Saya ingin menyatakannya seperti ini: tidak pernah ada Uskup tanpa paderi dan umat Tuhan; tidak pernah ada paderi tanpa saudara paderi lain; dan semua kita bersama, sebagai Gereja—paderi, lelaki dan wanita yang dikonsekrasi; dan jemaat awam—tidak pernah tanpa orang lain atau tanpa dunia.” - Bapa Suci Pope Francis dalam homili beliau pada waktu Vesper bersama uskup, diakon, orang yang dikonsekrasi, seminarian dan pekerja pastoral 

JANGAN TAKUT:

“Sebagai orang muda, anda ada impian yang besar, tetapi seringnya anda mungkin rasa takut bahawa impian itu tidak akan pernah menjadi nyata. Kadang-kadang anda boleh fikirkan bahawa anda tidak dapat menyahut cabaran itu, dan anda mungkin digoda untuk rasa putus asa, untuk memikirkan bahawa anda gagal, atau untuk menyembunyikan kesakitan anda dengan senyuman.

Sebagai orang muda, anda ingin mengubah dunia dan bekerja untuk keadilan dan kedamaian. Anda mengabdikan seluruh tenaga dan kreativiti anda kepada perkara ini, namun ia masih nampak tidak cukup. Namun Gereja dan dunia memerlukan anda, golongan muda, sama seperti Bumi memerlukan hujan.

Wahai orang muda, saya ingin menatap mata setiap daripada anda dan berkata: Jangan takut! Jangan takut!

Sekarang saya ingin memberitahu anda sesuatu yang jauh lebih indah: Yesus sendiri sekarang melihat anda.

Dia mengenali anda; Dia tahu apa yang ada di dalam hati anda; Dia tahu kehidupan setiap daripada anda; Dia tahu sukacita anda, kesedihan anda, dan malah ketika kita jatuh; Dia tahu hati setiap daripada anda; dan dia memberitahu anda di sini pada hari ini di Lisbon, pada Hari Belia Sedunia ini: “Jangan takut! Beranilah, jangan takut!” - Bapa Suci Pope Francis dalam homili beliau pada Misa Penutupan Hari Belia Sedunia 2023.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: ‘Todos, todos, todos!’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.