Oleh Caroline Soon
Satu kesaksian dari hati telah diberikan sewaktu satu pembentukan siri ‘The Wild Goose’ dalam talian yang masih bersiaran sekarang. Seorang ibu kepada empat anak bercakap mengenai kuasa Roh Kudus yang mengubah kehidupan, dan bagaimana dia diberi kekuatan dalaman ketika keluarganya menempuh masa yang mencabar.
Apakah ‘The Wild Goose’? Nama itu merupakan satu ungkapan Celtic purba bagi Roh Kudus. Segmen empat belas bahagian ini merupakan satu daripada banyak program daripada FORMED, sebuah platform digital yang dipacu oleh Institut Augustine, dari Denver, Colorado.
Sejak permulaan pandemik, sepasukan orang Katolik awam yang bersemangat dari Malaysia Timur dan Barat (pasukan Seluruh Malaysia) telah menganjurkan pembentukan dalam talian, dengan sekurang-kurangnya tiga program setahun, dengan siri ‘The Wild Goose’ yang kini sedang bersiaran.
Jadi, apakah yang mengujakan tentang siri ini sehinggakan kami ingin menulis dan berkongsi mengenainya sedangkan kami baharu separuh jalan? Ia sebenarnya adalah kerja Roh Kudus, yang sedang bergerak di dalam hati bukan sahaja pasukan penganjur, tetapi juga dalam kalangan tetamu kami yang berjumlah tidak kurang daripada seratus. Kami mengalami kasih Tuhan dan kuasa-Nya yang mengubah kehidupan, kasih yang telah diwahyukan oleh Yesus dan dimarakkan di dalam kita oleh Roh Kudus.
Segmen pertama bercakap mengenai kasih Tuhan yang telah dicurahkan. Tiada apa yang kita dapat buat yang akan mengurangkan kasih Tuhan kepada kita. Menerusi Roh Kudus, kita dapat mengalami keindahan dan kebebasan kasih Tuhan. Segmen seterusnya membawa kita semakin dalam ke dalam kehidupan dalaman Tuhan Tritunggal, dan gerakan Roh Kudus. Renungan 10 minit bagi setiap segmen memberi kita ruang untuk menghayati apa yang kita telah pelajari. Kita membawa pulang teks-teks penting daripada Al-Kitab setiap minggu untuk diamalkan di dalam hidup kita.
Pasukan yang menganjurkan pembentukan ini mendapat bimbingan rohani daripada mendiang Fr John Gnanapiragasam. Beliau meletakkan asas yang kukuh untuk kami teruskan. Kami rasa diberkati kerana ada sekurang-kurangnya seorang dua paderi bersama kami setiap kali dalam pembentukan kami. Fr Martin Arlando dari Keuskupan Pulau Pinang berjalan bersama kami dan memberikan petunjuk rohani kepada kami. Kami juga diberkati kerana Uskup Agung Simon Poh dari Keuskupan Agung Kuching menyokong inisiatif kami.
FORMED umpama ‘Netflix’ Katolik, sebuah platform dalam talian yang mencetuskan revolusi dengan memaparkan kandungan Katolik terbaik bagi semua orang dan pada setiap peringkat. Pembentukan iman yang berterusan bagi umat awam ada di hujung jari kita. Pasukan kami bukan sahaja telah menggunakan platform ini sejak ia diasaskan, kami juga ‘promoter’ yang bersemangat. Kami benar-benar telah diperkayakan olehnya, berkat langganan yang diperbaharui kepimpinan Gereja di keuskupan di mana kami berada.
Apabila kami menamatkan siri ‘The Wild Goose’ pada pertengahan Oktober, kami akan menganjurkan Alpha dalam tiga bahasa. Alpha Inggeris akan bermula pada 14 Oktober. Kita juga telah menyaksikan hasil Alpha. Ramai orang yang tidak percaya telah menyertai RCIA, dan kami percaya Roh Kudus akan terus menggunakan kami untuk menarik orang lain kepada Kristus.
Jika anda membaca artikel ini, hubungilah kami, terutamanya jika anda mahu menjemput rakan-rakan anda yang bukan Kristian untuk datang dan lihat. Jika anda memerlukan lebih banyak maklumat tentang FORMED, kami dapat menyantuni anda juga. Hubungi kami di bawah:
Joyce Ting (Kuching) – 0143923410
Helen Scott (KL) – 0123291726
Martina Ngui (PJ) – 0193566983
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: ‘THE WILD GOOSE’ and Ongoing Formation