Suara religius wanita di Persidangan Umum FABC

Religius wanita yang hadir di Persidangan Umum FABC, 25 Oktober 2022.

BANGKOK — Beberapa religius wanita menjadi antara tetamu jemputan di Persidangan Umum Persekutuan Uskup-Uskup Asia (FABC) di Bangkok.

Dalam satu temu ramah bersama Vatican News, mereka bercakap mengenai kepentingan kehadiran religius wanita di persidangan tersebut.

Kami mahu mereka mendengar suara kami

Sebagai wakil Talitha Kum, Sr Paula, seorang rohaniwati Santo Paulus Chartre di Thailand, berkata ia adalah penting bagi religius wanita untuk hadir di sini supaya Uskup-Uskup tahu apa yang dibuat oleh religius wanita mengenai pemerdagangan manusia. “Kami membantu orang, dan kami mahu mereka mendengar suara kami dan melibatkan diri dengan kegiatan kami dan menyokong kami,” katanya.

Sr Françoise, juga seorang rohaniwati Santo Paulus Chartre yang ada hubungan dengan Talitha Kum di Thailand, bersetuju. Beliau ingin Uskup-Uskup tahu tentang perkara ini dan menerima kerja mereka di keuskupan masing-masing supaya mereka dapat memberi bantuan kepada mereka yang telah “dilukai” pemerdagangan manusia.

Kami ada peranan yang amat penting dalam penginjilan

Sr Deanna, seorang rohaniwati perkumpulan ‘Assumption’ dan seorang misionari Filipina di Thailand, berkata kehadiran mereka “amat penting di sini.” Secara peribadi, ia adalah penting kerana peranan beliau sebagai setiausaha eksekutif bagi Pejabat Kehidupan Bakti.

“Saya merasakan kehadiran saya adalah satu peringatan buat Uskup-Uskup kita bahawa golongan religius, terutamanya rohaniwati, adasis peranan yang amat penting dalam penginjilan,” katanya.

Sr Deanna menambah, salah satu aspek dalam peranannya yang paling penting adalah “untuk mewujudkan hubungan antara religius, baik lelaki mahupun wanita”. Kalau beliau tidak hadir di mesyuarat tertentu, hanya lelaki sahaja yang hadir. “Saya sangat sering mendapati diri bersendirian dalam mesyuarat.” Tetapi apabila beliau hadir, “mereka mula mendengar, mereka mula mengiktiraf kepentingan kehadiran religius wanita.”

Kehadiran saya membawa perbezaan 

Sr Joeyanna D’Souza, seorang ‘Daughter of St Paul’ di India, berkata beliau dijemput sebagai seorang Pauline kerana “komitmen saya yang total untuk mewartakan Injil menerusi media. Hadir di sini,” tambahnya, “saya rasa kehadiran saya di sini benar-benar membawa perbezaan. Saya menyumbang yang terbaik daripada sudut media sosial dan pendigitalan FABC.”

Kami dapat menyumbang, kami ada idea

Sr Whel, daripada perkumpulan ‘Sisters of the Divine Savior’ di Filipina, berkata beliau percaya ia adalah penting “bagi religius wanita untuk hadir di FABC kerana saya ada suara. Saya perlu menyuarakan apa sebenarnya realiti wanita, bukan hanya dalam situasi sahaja, tetapi juga supaya mereka menyedari FABC bukan milik kaum lelaki sahaja. Sebaliknya kami dapat menyumbang, kami ada idea.”

Sr Whel turut bekerja dengan Talitha Kum. “Kita mengambil berat hakikat bahawa mereka dan kita harus didengar mengenai isu-isu ini. Ia adalah penting agar semua religius, terutamanya wanita, harus didengari.”

Saluran bagi perubahan

“Saya secara peribadi rasa diberkati kerana berada di sini bersama FABC untuk mewakili Talitha Kum dan perkumpulan ‘Good Shepherd’ yang bekerja dengan golongan minoriti,” kata Sr Sutisa, seorang rohaniwati perkumpulan ‘Our Lady of Charity of the Good Shepherd’ di Thailand.

Masanya sudah tiba, tambahnya, “suara kami yang mewakili golongan miskin, golongan minoriti, golongan lemah, peringkat akar umbi” akan kedengaran di meja FABC. “Ia juga adalah satu saluran”, tambahnya, “yang akan membawa perubahan pada masa depan, dalam masa terdekat.”

Vatican News (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: The voice of women religious at FABC General Conference

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.