SSFS sambut Perayaan Jubli Gabungan bagi 10 Rohaniwati dengan Misa Kesyukuran

Himpunan gambar ehsan SSFS.

Aku mahu bersyukur kepada kepada-Mu dengan segenap hatiku; aku mahu menceritakan segala perbuatan-Mu yang ajaib.’ (Mazmur 9:1)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Perkumpulan Sisters of St Francis of Sarawak (SSFS) telah menganjurkan Misa Kesyukuran Jubli untuk merayakan Ulang Tahun Jubli bagi 10 orang rohaniwati pada 19 Disember 2021.

Misa itu dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh bersama Uskup Agung Emeritus John Ha, Fr Patrick Heng, dan Fr Martin Wong.

Ia distrim secara langsung dari Chapel Home of Santa Clara, rumah persaraan perkumpulan berkenaan.

Disebabkan oleh sekatan pandemik, kebanyakan rohaniwati terbabit dan anggota keluarga tidak dapat menghadiri acara yang menggembirakan itu.

Maka itu, siaran secara langsung itu ternyata langkah yang dialu-alukan untuk menyatukan semua orang di perayaan yang sepatutnya besar-besaran.

Lapan jubilarian yang hadir, diketuai Superior Jeneral, Sr Rose Wong, dan masing-masing memegang lilin yang dinyalakan, memperbaharui komitmen mereka dan berjanji, “Untuk mematuhi Peraturan Order Ketiga St Francis, yang diluluskan oleh Bapa Suci, Paus John Paul II, dengan hidup dalam Kemiskinan, Kesucian dan Ketaatan, menurut Perlembagaan dan Peraturan Kongregasi Sisters of St Francis of Sarawak”.

Sr Rose Wong memimpin para jubilarian untuk memperbaharui ikrar komitmen mereka. (Gambar: Today’s Catholic)

Untuk menyertai perayaan itu, walaupun secara maya, Sr Delicia dan pasukannya merekodkan “koir maya” untuk bernyanyi kepada para jubilarian.

Pada hujung siaran secara langsung itu, video yang singkat mengenai para jubilarian turut dibentangkan.

Sr Rose Wong, yang berucap sebagai wakil para jubilarian, membaca perutusan daripada Uskup Agung Emeritus Peter Chung yang tidak dapat menyertai mereka secara fizikal.

Dua jubilarian, Sr Theodora Lai (Miri) dan Sr Michaelina Martin (PJ, Selangor) juga tidak dapat melakukan perjalanan bagi perayaan itu. 

Sr Rose berkata: “Para jubilarian yang dikasihi, bagi pihak ahli-ahli Majlis saya dan semua teman rohaniwati saya, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kerana menyerahkan diri sepenuhnya kepada keluarga SSFS ini dan umat Allah untuk misi-Nya. Komitmen anda selama bertahun-tahun amat dihargai. 

Sr Bridget Then (Jubilarian Platinum) berusia 93 tahun. (Gambar: Today’s Catholic)

“Izinkan saya untuk membahagikan contoh rohaniwati tertua kita, Jubilarian Platinum Sr Bridget Then, yang berusia 93 tahun. Beliau masih dengan setia menyebut doa-doa hariannya, menghadiri Misa harian, dan masih menabur bakti hariannya kepada para rohaniwati dalam komuniti beliau. Ia terbukti bahawa usia hanyalah angka sahaja. Ia adalah hati kasih kepada Allah dan orang lain yang membawa perbezaan. Sr Bridget, terima kasih kerana memberi inspirasi kepada kita dengan cara kita harus menjalani kehidupan kita, menerusi hubungan dengan Allah dan prihatin terhadap orang lain, hingga Tuhan memanggil kita pulang kepada kerajaan-Nya di syurga.

“Merayakan Jubli bukan merayakan satu pencapaian. Ia bukanlah apa yang kita telah lakukan selama 25, 50, 60 atau 70 tahun yang lalu. Ia adalah satu amalan kesyukuran untuk merayakan dan berdoa bersama sebagai satu keluarga besar bagi Panggilan Suci ini yang menyeru kepada kita agar lebih komited untuk meniru Kristus dan Bapa Serafik kita, St Francis di Assisi, dalam kasih kita kepada Allah, umat manusia, dan ciptaan Allah. Kita tahu bahawa semakin kita menghargai dan mengasihi-Nya, semakin kita akan meniru-Nya, dengan menjadi semakin setia kepada komitmen kita tidak kira apa pun harganya, dan dapat memahami satu sama lain tanpa dibatasi keadaan. Kita melihat hadirat Allah dalam setiap situasi dan dalam penciptaan-Nya, dan kita juga ada keinginan untuk menyantuni orang lain dalam pelbagai penjagaan pastoral.

“Allah ada tujuan bagi semua kita, dan di sini kita melihat ada di antara kita yang telah berusaha untuk bekerja sama dengan-Nya, dan memberikan kepercayaan kita kepada-Nya, malah pada ketika kita melihat betapa terbatasnya kita. Jangan hilang tumpuan kita dengan rasa putus asa selepas melihat keterbatasan orang lain, tetapi jadilah seperti Kristus dengan memiliki harapan yang tidak pernah berkesudahan terhadap setiap individu. Jika Kristus dapat meninggalkan 99 ekor domba dan mencari seekor domba yang hilang, ini menunjukkan bahawa kita tidak harus mengucilkan sesiapa tetapi mementingkan semua. 

“Para jubilarian yang saya kasihi, kita adalah perkumpulan Fransiskan, marilah kita terus ‘BERCAKAP’ kepada dunia menerusi cara hidup kita yang berhubung dengan dan kepada Allah, supaya orang dapat melihat kebesaran Kebenaran-Nya, apa yang Dia dapat lakukan kepada kehidupan kita, dan mereka akan mencari perkara-perkara benar yang dapat membuatkan mereka rasa lebih berpuas hati di dalam, lebih tenang dan lebih bahagia untuk hidup. Kehidupan komuniti kita yang menerima teladan dan ajaran Kristus seharusnya membuktikan kepada setiap keluarga bahawa Gereja Domestik dapat dibina seperti yang dikehendaki Allah. Allah telah memberikan kepada kita cara terbaik untuk hidup, dan Dia telah memberikan kepada kita secara percuma. Ia bergantung kepada sejauh mana kita dapat menerima pemberian-Nya yang percuma.” 

(Baca teks sepenuhnya ucapan Sr Rose daripada PDF yang dilampir)

Tahniah kepada Para Jubilarian

10 Rohaniwati yang menyambut Ulang Tahun Jubli mereka adalah: 

Sr Bridget Then – Platinum (70 tahun)

Sr Felicia Yong – Intan (60 tahun)

Sr Beatrice Ng – Intan (60 tahun)

Sr Mildred Chin – Intan (60 tahun)

Sr Matilda Abui – Intan (60 tahun)

Sr Theodora Lai – Emas (50 tahun)

Sr Jennifer Nyidom – Emas (50 tahun)

Sr Irene Chengann – Perak (25 tahun)

Sr Michaelina Martin – Perak (25 tahun)

Sr Rose Wong – Perak (25 tahun)

Gambar yang diambil selepas Misa menunjukkan: Barisan depan (duduk dari kiri ke kanan) Sr Matilda Abui dan Sr Mildred Chin. Barisan kedua (berdiri dari kiri ke kanan) Sr Irene Chengann, Sr Jennifer Nyidom, (duduk dari kiri ke kanan) Sr Beatrice Ng, Sr Felicia Yong, Sr Bridget Then, (berdiri kanan) Sr Rose Wong. Barisan belakang (dari kiri ke kanan) Fr Patrick Heng, Uskup Agung Simon Poh, Uskup Agung Emeritus John Ha, Fr Martin Wong. (Gambar: Amelia Chieng)

Jamuan makan malam sederhana diadakan selepas Misa di dewan makan Rumah Persaraan di mana para jubilarian kemudian menerima hadiah. 

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: SSFS celebrates with Thanksgiving Mass at Combined Jubilee Celebration for 10 Religious Sisters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.