Sr Conception of the Holy Family, OCD: Testimoni & Penghormatan


TESTIMONI

Ini adalah testimoni Mother Prioress Margaret yang menjaga Sr Conception ketika beliau dimasukkan ke hospital pada bulan lepas.

Kasih Sr Conception kepada Ekaristi

Semua kami, para biarawati, tahu Sr Conception amat mengasihi Ekaristi. Beliau biasa melawat Sakramen Maha Kudus setiap kali beliau dapat berbuat demikian, malah ketika beliau menjadi prioress (ketua biara) atau sibuk menjawab panggilan ‘putaran’ (the turn – tingkap dengan penutup bulat yang berputar). Malah ketika beliau diberi makanan menerusi tiub, dan tidak dapat menelan dengan baik, beliau tetap akan menerima hosti, tanpa gagal, dalam mulutnya.

Pada 13 Mei 2022, kira-kira jam 4.45 petang, doktor di hospital menambah dos ubat penahan sakit apabila mereka melihat tangan Sr Conception kejang disebabkan oleh penyakit Parkinson. Apabila serangan baharu berlaku, beliau akan mengerang kesakitan walaupun sudah diberi ubat penahan sakit. Semua orang dapat lihat bahawa beliau menderita dan mengerang, tetapi saya dapat mendengar bahawa setiap keluhannya sebenarnya adalah penyerahan dan doa tanpa henti kepada Allah Taala… 

Aku… ber… sukacita… dalam Tuhan (berulang kali, putus-putus sepanjang keluhan…)

Aku… ber… sukacita… di Rumah… Tuhan. Dia…lah… yang… aku kasihi…

Y… E… S… U… S. Kasihani… lah… aku. Sahkan… sahkan… sahkan…

Dia… lah Jalan… Aku ber… sukacita… Ye… sus… kehendak-Mu terjadi…

Demi… Penye… la… matan… Penye… la… matan… Demi… penye… la… matan… aku… penye… la… matan… penye… la… matan… penyelamatan…

Apabila saya akhirnya mendengarnya memohon penyelamatannya, saya tahu penderitaannya sudah berakhir. Ketika beliau kesakitan sebelum itu, saya memegang tangannya sepanjang masa. Daripada kekuatan genggamannya, saya dapat merasakan tahap kesakitan yang beliau alami! Namun Allah Taala ada bersamanya dalam penderitaannya kerana matanya terbuka luas, digenangi air mata, dan melihat ke atas tanpa henti ketika beliau mengucapkan semua ayat berkenaan.

Ia adalah satu perbualan dengan Allah Taala yang beliau tahu mengasihinya, malah menderita dan mati deminya. Beliau pula menerima penderitaannya dengan berani dan tabah, dan mempersembahkan kesengsaraannya kepada Allah Taala demi penyelamatan semua umat manusia dan jiwanya sendiri.

Saya ingin berkongsi bersama anda bahawa saya sesungguhnya pasti mengenai satu perkara, iaitu Allah Taala hanya akan mengambilnya apabila beliau sudah bersedia! Bila? Saya tidak tahu, tetapi pastinya tidak di hospital! 

Maka Sr Conception dibenarkan pulang dari hospital dan kembali ke biara di mana beliau kembali kepada Tuhan pada petang Sabtu.

KEMULIAAN KEPADA-NYA SELAMA-LAMANYA, AMIN.
ALLAH TAALA MEMBERKATI SISTER CONCEPTION! AMIN!
Mother Prioress Margaret, 12 Jun 2022, Hari Minggu Tritunggal


PENGHORMATAN: Daripada OCDS (Secular Order of Discalced Carmelites)

Sr Conception memberi inspirasi kepada kehidupan doa saya. Saya biasa melawatnya di Biara Carmelite, dan beliau tidak henti-henti memberitahu saya untuk berdoa. Beliau sentiasa mendesak. Beliau malah meminta saya untuk menimbang menjadi seorang biarawati ketika saya masih muda. Saya memberitahunya bahawa ini bukan jenis kehidupan bagi saya. Saya ada minat atau kepentingan lain.

Bagaimanapun, selepas bertahun-tahun melakukan kunjungan dengan kerap, saya mula menyerapkan doa-doa dalam hidup saya. Titik perubahan tiba apabila saya menghadapi krisis kesihatan. Selepas menerima pendapat doktor, termasuk di KL dan Singapura, saya diberitahu bahawa saya perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan satu ketumbuhan dalam badan saya.

Saya menyedari betapa besarnya Allah Taala kita. Dia telah mempersiapkan saya dengan kehidupan yang penuh doa. Saya terpaksa menjalani pembedahan yang menyakitkan, dan pada waktu saya ada keperluan, saya telah pergi kepada Allah Taala. Saya mendapati bahawa doa-doa membantu saya dalam semua situasi, termasuk berurusan dengan kehidupan keluarga.

Saya pada akhirnya menjadi seorang Carmelite OCDS dan sekarang ada kehidupan doa, berkat usaha Sr Conception, kakak sulung saya…Datin Sri Annie Yeo, OCDS

Saya suka sekali bersama Sr Conception kerana perbualannya sentiasa berkisar sekitar Allah Taala. Beliau sentiasa menasihatkan saya untuk hidup dalam hadirat Allah Taala dan menyiapkan diri dengan baik untuk berjumpa dengan Tuhan Yesus Kristus yang kita kasihi apabila Dia memanggil saya pulang pada suatu hari nanti.

Sejak beberapa tahun yang lalu, kesihatan Sr Conception semakin merosot tetapi mindanya tetap tajam dan berkisar sekitar Allah Taala. Beliau memberkati saya dengan tanda salib pada dahi saya apabila saya meminta pemberkatannya di akhir kehidupannya di Bumi.

Saya sentiasa suka sekali melihat senyumannya yang ‘nakal’, diikuti ketawa berdekit-dekit setiap kali saya memanggilnya “darling” (nama timangan keluarganya)…Catherine Sim, OCDS

Senyuman ikhlas mendiang Sr Conception menarik perhatian saya ketika saya pertama kali berjumpa dengannya di bilik tamu Carmelite. Beliau menjadi Mother Superior ketika itu. Ketika penubuhan OCDS masih pada peringkat awal, kami meminta untuk mengadakan persidangan bersamanya untuk merangsang penubuhan perkumpulan kami. Beliau menerima dengan segera.

Dengan suara yang lembut, beliau membahagikan kepercayaan yang mendalam kepada Yesus dan ajaran-ajaran St Teresa of Jesus. Beliau cuba sedaya upaya untuk memahamkan kami tentang kerohanian Carmelite. Ketabahan dan keberadaannya mengagumkan kami walaupun kadang-kadang kami mungkin tidak memahami apa yang beliau sebut. Bagaimanapun, kami meneruskannya dan pada akhirnya memahami pemikiran Carmel. Beliau baik hati dan sabar apabila kami memintanya mengulangi ajarannya. Keperibadiannya telah memberi inspirasi kepada kami dalam panggilan kami…Alice Chew, OCDS

Saya mengenali Sr Conception pada awal tahun 70-an ketika saya mengikut mendiang ibu saya untuk berjumpa dengan biarawati Carmelite di ‘putaran’ biara. Sejak itu, persahabatan kami telah berkembang.

Sr Conception menjemput saya untuk menyertai OCDS tetapi saya tidak memikirkannya ketika itu. Bagaimanapun, beberapa tahun kemudian, saya menyertainya dan saya mengaitkan ini dengan buah yang terhasil daripada benih yang disemainya.

Pada tahun-tahun awal panggilan saya, saya akan singgah di biara untuk berjumpa dengan Sr Conception bagi mendapatkan bimbingan dan petunjuk. Sister lemah lembut, namun sangat, sangat tegas dalam bimbingannya. Sister bersuara lembut tetapi bercakap dengan amat bijaksana dan beliau tidak pernah gagal untuk memberi jaminan dan menguatkan saya. Saya sangat tertarik kepada kasihnya yang amat mendalam kepada Yesus serta kesetiaannya dalam panggilannya yang membantu saya untuk mengejar panggilan saya sendiri. 

Atas semua fikiran dan doa anda, saya bersyukur selamanya kepada anda dan saya merindukan anda, Sr Conception yang dikasihi. Hingga kita berjumpa lagi, semoga anda bersemadi dalam kedamaian abadi, Amin…Juliana Lim, OCDS

Pada tahun-tahun pembentukan Komuniti OCDS Kristus Raja, Sr Conception menjadi Mother Prioress dari 2005 hingga 2008.

Beliau dengan baik hati membantu menubuhkan OCDS berdasarkan karya St Teresa di Avila, dan semua ini dibuat menerusi jerjak di ruang tamu biara.

Beliau bersuara begitu lembut sehinggakan kami ada masalah untuk mendengarnya; tetapi kami ingin sekali belajar tentang kerohanian sehinggakan kami berpaut dengan begitu teguh sekali pada setiap perkataan yang beliau sebut!

Pengenalan istimewa saya sendiri kepadanya adalah sewaktu salah satu lawatan saya ke ‘putaran’ apabila saya bertanya kepadanya sama ada beliau memerlukan sebarang bantuan daripada saya, dan saya ingin sekali membantu.

Beliau meminta sebilah pedang, dan pada mulanya, saya terkejut!

“Kenapakah anda memerlukan pedang, Sister?” saya tanya.

Beliau seterusnya berkata bahawa ia adalah untuk patung paras dada Maria, Perawan Kesengsaraan (Our Lady of Sorrow), yang beliau ukir, dan permintaannya telah ditunaikan…Cynthia Lim, OCDS

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Sr. Conception of the Holy Family, OCD: Testimonies & Tributes

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.