SINODALITI: Tumpuan Utama Persidangan Uskup

Berdiri: Fr William La Rousse, Fr Robert Leong, Uskup Bernard Paul, Uskup Agung John Wong, Uskup Joseph Hii, Uskup Cornelius Piong, Uskup Julius Gitom, Setiausaha Eksekutif, Richard Chia. Duduk: Uskup Agung Simon Poh, Nunsio Apostolik Uskup Agung Wojciech Załuski, Kardinal William Goh, Kardinal Sebastian Francis, Kardinal Giorgio Marengo, Uskup Agung Julian Leow.

By Richard Chia

BUKIT MERTAJAM — Perhimpunan Plenari Ke-113 Persidangan Uskup Katolik Malaysia-Singapura-Brunei (CBCMSB) pada tahun ini merupakan acara yang bersejarah dalam beberapa segi. Perhimpunan uskup, uskup agung dan kardinal itu diadakan di Basilika Kecil Santa Anna di sini pada 8–12 Januari lepas serentak dengan Misa Kesyukuran Kardinal Sebastian Francis sempena kenaikannya ke Kolej Kardinal.

Perhimpunan Persidangan Uskup itu dirahmati dengan kehadiran Nunsio Apostolik Malaysia, Uskup Agung Wojciech Załuski, Kardinal Giorgio Marengo, Prefek Apostolik Ulaanbaatar yang berada di bawah bidang kuasa misionari yang meliputi seluruh negara Mongolia, dan Setiausaha Agung Persekutuan Persidangan Uskup Asia (FABC), Fr William La Rousse.

Kardinal Giorgio menyuarakan penghargaannya yang tidak terhingga dan berterimakasih kepada Persidangan Uskup di atas sokongan mereka ketika Gereja Mongolia dirahmati dengan lawatan bersejarah Bapa Suci, Pope Francis, pada September 2023. Beliau menyampaikan kepada Persidangan Uskup plak kayu dalam bentuk negara Mongolia yang tertera kata-kata terimakasih dan penghargaan.

Uskup Agung Załuski menyuarakan penghargaannya di atas solidariti Persidangan Uskup dengan Vatikan. Beliau memaklumkan tentang anjakan dan usaha Paus yang tidak putus-putus bersuara menentang peperangan, penderitaan manusia, kematian dan kemusnahan yang berlaku di seluruh dunia. Beliau mengulangi seruan Paus agar Gereja beriltizam untuk membawa mesej Injil kepada masyarakat dan setia menegakkan kasih pastoral.

Fr William La Rousse, seorang paderi Maryknoll yang berpangkalan di pejabat Urusetia Pusat FABC di Bangkok, Thailand, menyediakan maklumat terkini tentang hala tuju dan anjakan Gereja Asia pada waktu ia bergerak ke arah sinodaliti. Beliau membawa bersamanya beberapa penerbitan dari FABC, iaitu Dokumen Bangkok Persidangan Agung FABC, Dokumen Muktamad FABC bagi Perhimpunan Sinodaliti Benua Asia, dan Laporan Sintesis Sesi Pertama Perhimpunan Agung Biasa Sinod Uskup Ke-16.

Fr William mengingatkan Persidangan Uskup tentang usaha susulan yang diperlukan dalam persiapan ke arah sesi kedua Perhimpunan Agung Sinod Uskup yang dijadualkan bagi bulan Oktober 2024. Kertas kerja dan arahan merangkumi soalan untuk direnungkan oleh gereja tempatan dan menjawab 20 soalan dan tema yang dianggap sebagai keutamaan. Setiap negara dipinta menjelaskan dengan terperinci sumbangan kajian mendalam yang diterima daripada gereja tempatan, dan merumuskan satu laporan pada peringkat kebangsaan.

Persidangan Uskup itu juga mengadakan majlis koktel dan makan malam bersama Persidangan Pemimpin Tinggi Religius (CRMS), disusuli satu sesi bersama pada keesokan harinya. Perhimpunan bersama tahunan itu menjadi platform yang mendasari perjalanan komuniti religius bersama Gereja – para paderi dengan umat awam. Pertukaran idea, perkongsian pengalaman dan sokongan bagi satu sama lain merupakan salah satu manfaat daripada perhimpunan bersama ini.

TULANG BELAKANG… Perhimpunan Bersama Persidangan Uskup Katolik Malaysia, Singapura, Brunei dengan Persidangan Pemimpin Tinggi Religius Malaysia, Singapura, Brunei.

Perhimpunan bersama itu menyediakan peluang yang amat baik bagi kebanyakan pemimpin religius untuk berbincang secara terbuka dengan para uskup tentang sebarang perkara mendesak atau perkara yang memerlukan perhatian para uskup. Dialog terbuka itu ternyata membantu mengukuhkan hubungan komuniti religius dengan gembala keuskupan yang mereka layani. 

BINCANG… Presiden Persidangan Uskup Katolik Malaysia, Singapura, Brunei, Uskup Agung Julian Leow, duduk di sebelah Presiden Persidangan Pemimpin Tinggi Religius, Friar Derrick Yap, OFM, untuk perbincangan yang bersemangat dengan semua pemimpin dan uskup yang hadir.

Bagi sembilan keuskupan di Malaysia, setiap uskup kemudian melaporkan tentang Perhimpunan Pastoral Keuskupan/Keuskupan Agung masing-masing yang diadakan pada tahun 2023. Semua orang menyambut baik kaedah perbualan rohani (perbualan rohani fokus kepada kualiti kapasiti kita untuk mendengar selain kualiti kata-kata yang diucapkan) yang diperkenalkan pada Perhimpunan Agung Biasa Sinod Uskup Ke-16. 

Perhimpunan keuskupan itu merupakan persiapan kepada tahun 2024, yang diisytiharkan sebagai Tahun Doa di mana tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan mengadakan perhimpunan wilayah masing-masing. Bagi belia Katolik di Malaysia, pada Tahun Jubli 2025, Perjalanan Salib Malaysia akan bermula selepas Perhimpunan Muda-Mudi Katolik Malaysia yang dijadualkan pada April 2025. Perhimpunan itu akan menyatukan belia Katolik dari kesemua sembilan keuskupan di Malaysia.

Pertemuan mutlak semua perhimpunan ini pastinya Konvensyen Pastoral Malaysia (MPC) 2026 yang dijadual diadakan di Johor dan dijangka menyaksikan pertemuan para paderi, religius dan umat awam dari kesemua sembilan keuskupan di Malaysia di mana mereka akan berhimpun sebagai satu Gereja Malaysia. 

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: SYNODALITY: The central focus of the Bishop’s Conference

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.