Oleh Ivy Chai
PLENTONG, JOHOR — Uskup Pulau Pinang dan Presiden Persidangan Uskup Katolik Malaysia-Singapura-Brunei (CBCMSB), Rt Rev. Dato’ Seri Sebastian Francis, akan menjadi seorang daripada 21 kardinal yang akan dilantik dalam sebuah konsistori di Vatikan pada 30 September 2023.
Uskup Sebastian merupakan uskup kelima Keuskupan Roman Katolik Pulau Pinang yang meliputi negeri-negeri Kedah, Perlis, Perak, Kelantan dan Pulau Pinang. Beliau menjadi kardinal keempat dari CBCMSB, dan kardinal Roman Katolik kedua dari Malaysia selepas Kardinal Anthony Soter Fernandez. Kardinal Cornelius Sim berasal dari Brunei manakala Kardinal William Goh berasal dari Singapura.
Uskup Sebastian dilahirkan pada 11 November 1951 di Johor Bahru, Malaysia. Beliau menyertai Juniorat Perkumpulan Brothers of St Gabriel di Singapura dan tinggal bersama perkumpulan Brothers dalam Komuniti dari tahun 1964 hingga tahun 1966. Beliau kemudian menyertai Seminari Kecil St Francis Xavier di Singapura dari tahun 1967 hingga tahun 1970.
Beliau mendaftar diri di Seminari Utama Kolej Umum di Pulau Pinang, Malaysia, pada tahun 1971. Pada 28 Julai 1977, beliau ditahbis menjadi seorang paderi keuskupan bagi Keuskupan Melaka-Johor di Gereja Immaculate Conception, Johor Bahru, Malaysia oleh mendiang Rt Rev. James Chan Soon Cheong.
Rev. Sebastian belajar di Universiti Kepausan Angelicum St Thomas Aquinas di Rom, Itali, untuk mendapatkan Licentiate dalam Teologi Dogmatik dari Oktober 1981 hingga Jun 1983.
Beliau juga belajar di Sekolah Teologi Maryknoll di New York, Amerika Syarikat, dari Julai 1990 hingga Jun 1991 dan lulus dengan Ijazah Lanjutan dalam Keadilan dan Keamanan.
Beliau dilantik menjadi Uskup Pulau Pinang pada 7 Julai 2012 dan ditabal pada 20 Ogos 2012.
Dari tahun 2015 hingga tahun 2017, Uskup Sebastian menjadi Naib Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Agama Kristian, Agama Hindu, Agama Sikh dan Agama Tao (MCCBCHST) serta Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).
Sejak tahun 2017 hingga sekarang, Uskup Sebastian dipilih menjadi Presiden CBCMSB dan pada waktu yang sama menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat bagi Persekutuan Persidangan Uskup Asia (FABC).
Beliau dilantik untuk menjadi Pengerusi Pejabat Komunikasi Sosial FABC pada 1 Januari 2023.
Reaksi Uskup Sebastian Francis kepada berita tentang pelantikannya
Apabila ditanya mengenai perasaannya dan sama ada beliau terkejut ataupun tidak dengan berita pelantikan itu, Bakal Kardinal itu berkata, “Saya serta-merta memikirkan kardinal lain dari CBCMSB yang dilantik sebelum saya” dan merasakan ia adalah “OK” dan beliau “gembira untuk mengikuti jejak langkah mereka”. Beliau tidak bersendirian.
Selain itu, tiada apa yang mengejutkannya lagi kerana beliau selama ini “terlibat secara aktif dalam FABC dan lain-lain, jadi tidak terlalu terkejut”.
Bakal Kardinal Sebastian berkata ia adalah penting bagi golongan kardinal untuk tahu bahawa ia adalah mengenai para rasul, menjadi satu dengan Paus, menjadi satu dengan uskup lain, dan tanggungjawab tambahan, seperti memilih Paus seterusnya jika beliau layak. Jika tidak, beliau masih seorang lagi uskup dan gembala.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Catholic Bishops congratulate Cardinal-Elect Sebastian Francis amid Media Training & CBCMSB Meeting