Oleh Lawren Anak Nyalau
SKRANG — Pada 27 Ogos lalu, Ministri Belia Katolik Gereja St Anthony di sini telah mengadakan program bulanan bertemakan Bonda Maria.
Dengan kerjasama erat Pelayanan Belia Paroki Gereja ‘Our Lady Queen of Peace’ dan KGK St Anthony, Skrang, program dijalankan di bawah tema ‘An Evening with Mother Mary’ atau ‘Sepetang Bersama Bonda Maria’.
Ini merupakan program yang kedua dianjurkan seumpamanya selepas program Taizé yang dijalankan pada Mac lalu.
Program itu dihadiri kira-kira 50 umat yang datang dari Zon Saratok, Betong, Lubok Antu dan Sri Aman.
Ia dimulakan dengan Perayaan Komuni tanpa paderi yang diketuai Diakon Henry.
Seterusnya, hadirin mengadakan jamuan persaudaraan yang dikendalikan oleh KGK St Anthony, Skrang.
Program seterusnya dimulai dengan perarakan masuk salib KAYD dan patung Bonda Maria ke dalam gereja.
Sambil menyanyikan lagu ‘Ave Maria’, umat berarak dan membawa lilin bernyala yang melambangkan Bonda Maria membawa semua doa kita kepada Tuhan Jesus.
Acara pada malam itu diteruskan dengan bacaan Al-Kitab dan renungan yang disampaikan oleh Diakon Henry.
Program itu pasti tidak lengkap sekiranya tiada doa rosari.
Untuk itu, doa rosari, yang diketuai Lawren dan Chrisma, diadakan khusus untuk memuji Bonda Maria selain memohon bonda untuk mendoakan kebahagiaan kita semua.
Program pada kali ini membawa kelainan kerana pengisian program yang unik dan berjaya membawa umat untuk menghargai dan menghormati Bonda Maria.
Rata-rata peserta menyuarakan rasa syukur di atas program itu dan berharap agar ia dapat diadakan lagi pada masa akan datang.