Oleh SHC Multimedia
KOTA SENTOSA — Pada 7 Disember 2024, Dewan Sam Hap Hin menjadi saksi kepada kehangatan dan kesatuan 650 peserta daripada pelbagai paroki di Keuskupan Agung Kuching, selain daripada paroki luar kawasan.
Mereka menghadiri Seminar Keluarga bertemakan ‘Iman Keluarga dalam Adven’.
Program ini dianjurkan oleh Paroki Sacred Heart di sini, dan menampilkan Romo Eko Wahyu OSC dari Indonesia sebagai penceramah utama.
Ia dimulakan dengan nyanyian puji-pujian yang penuh semangat dan dipimpin oleh Komuniti Karismatik Katolik (CCR) Sacred Heart.
Rektor Gereja Sacred Heart, Fr Felix Au, memberikan kata-kata alu-aluan yang menyentuh hati, dengan menekankan pentingnya keluarga sebagai tempat iman bertumbuh, terutama dalam suasana Adven.
Beliau memimpin doa pembukaan sambil mengajak semua peserta menyerahkan hari itu kepada Tuhan.
Seminar ini merangkumi empat sesi untuk memperkayakan iman dan hubungan keluarga.
Topik sesi pertama adalah ‘Keluarga: Anugerah Terindah’.
Dalam sesi ini, Romo Eko mengingatkan peserta bahawa keluarga adalah anugerah terbesar daripada Tuhan.
Beliau menekankan bahawa setiap ahli keluarga dipanggil untuk saling menghargai dan mendukung.
Seterusnya, dalam sesi kedua, ‘Bertahan Dalam Hidup Perkahwinan’, beliau membahaskan cabaran dan konflik dalam kehidupan berumah tangga.
Romo Eko berkongsi panduan rohani dan praktikal untuk membina ketahanan serta kesetiaan dalam perkahwinan.
Dalam sesi ketiga bertemakan ‘Grow In Love’ (Bertumbuh Dalam Kasih), peserta diajak untuk menghidupkan kembali cinta kasih dalam keluarga, dengan fokus pada komunikasi, doa bersama, dan pengampunan.
Seminar diakhiri dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Romo Eko bersama Fr Felix dan Romo Eno, yang turut menyertai rombongan.
Dalam Misa ini, tema ‘Berani Mencintai, Berani Mengampuni’, menjadikan inti pati homili.
Romo Eko juga memanjatkan doa pemberkatan khas bagi pasangan suami isteri yang hadir, untuk memohon agar kasih Tuhan terus memperteguh hubungan mereka.
Semasa doa ini, setiap pasangan yang hadir diminta untuk berdiri sambil berpegang tangan.
Seminar ini memberikan peluang kepada keluarga untuk merenungkan peranan mereka dalam membangun iman dan kasih dalam rumah tangga, terutama pada masa Adven yang penuh harapan, dan ketika membuat persiapan menyambut kelahiran Kristus.
Program penuh inspirasi ini diharapkan dapat meninggalkan kesan mendalam, memperkuat ikatan kekeluargaan, dan memupuk iman mereka dalam perjalanan menuju Natal.