Seminar Kehidupan Dalam Roh Kudus bagi Kanak-kanak

CIPTAAN MENGAGUMKAN… Para peserta bergambar bersama guru Sekolah Minggu dan para pembantu mereka.

Oleh Sheron Michael

MIRI — Seminar Kehidupan Dalam Roh Kudus bagi Kanak-kanak anjuran Sekolah Minggu Paroki St Dominic and the Rosary (SDRC), yang berlangsung pada 28 hingga 30 Jun lalu, telah mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak di paroki ini.

Seminar tiga hari ini dianjurkan di Dewan SDRC dan disertai seramai 187 peserta berusia 10 tahun hingga 12 tahun selain para remaja yang mengikuti Kelas Tahap II Sekolah Minggu.

Tema yang dipilih untuk seminar kali ini adalah “Aku memuji-Mu kerana aku dicipta dengan mengagumkan dan menakjubkan” (Mazmur 139: 14).

Diharapkan ayat ini dapat menjadi inspirasi kepada para peserta, khususnya di dalam pembentukan iman mereka.

Program telah dimulai dengan ajaran pertama, iaitu pujian dan sembah, yang disusuli dengan sesi praktikal untuk melatih serta mendedahkan anak-anak kepada kepentingan pujian dan penyembahan di samping memahami dan memimpin pujian dan penyembahan.

BERDOA… Belajar berdoa atas rakan-rakan mereka.

Aktiviti pada hari kedua dimulai dengan Misa Kudus, yang dipimpin oleh Rektor Paroki SDRC, Fr Kevin Chundi.

Dalam homilinya, beliau berharap agar melalui penyertaan dalam seminar ini, anak-anak akan mengalami kehadiran kuasa Roh Kudus Tuhan.

Beliau menerangkan bahawa hari itu (29 Jun 2024) adalah Hari Raya Santo Petrus dan Santo Paulus, iaitu dua rasul Yesus yang setia dan rela mati demi mempertahankan iman mereka.

Katanya, kedua-dua santo ini telah mati sebagai martir, yang mana Rasul Petrus disalibkan terbalik, dan Rasul Paulus dipenggal kepalanya dengan pedang.

ANAK PUJIAN… Kanak-kanak belajar memuji Tuhan.

“Kita harus mencontohi kedua-dua santo ini di dalam kehidupan kita, di mana kita sanggup mendepani apa sahaja cabaran untuk mempertahankan iman kita,” katanya.

Acara kemudiannya diteruskan dengan ajaran kedua, iaitu ‘Allah adalah Kasih’, ajaran ketiga ‘Yesus, Tuhan Penyelamat Kita’, ajaran keempat ‘Pertaubatan’, ajaran kelima ‘Pengampunan dan Pelayanan’, dan ajaran ketujuh ‘Berehat dalam Roh Kudus dan Pelayanan’.

Pada hari terakhir, program disambung dengan ajaran kelapan ‘Pembaptisan dalam Roh Kudus dan Pelayanan’ dan seterusnya diakhiri dengan ajaran kesembilan ‘Hidup Baharu dalam Roh Kudus’.

Seminar Kehidupan Dalam Roh Kudus bagi Kanak-kanak ini merupakan antara program tahunan di paroki ini. 

Program lain yang diadakan khusus untuk kanak-kanak termasuk Kuiz Al-Kitab Sekolah Minggu pada 27 Julai, Sukaneka Kanak-kanak pada 10 Ogos, Majlis Kesyukuran Akhir Tahun pada 24 November 2024 serta ‘Children Christmas Party’ pada 15 Disember 2024.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.