Oleh Joseph Tulloch
KOTA VATIKAN — Ketika Santo Francis melakukan perjalanannya yang masyhur ke Mesir pada 1219, beliau memakai tunik sederhana yang seterusnya menjadi ciri para pengikutnya.
Sekarang, 800 tahun kemudian, tunik itu—atau sebahagian daripadanya—telah kembali ke negara itu.
Secebis pakaian itu – yang dikira sebagai relik kelas kedua milik santo itu—tiba di Kaherah pada 23 Mei lalu. Ia kemudian dibawa ke Alexandria atau Iskandariah, selain melawat Minya, Assiut, Qena dan Luxor sebelum ia kembali ke Itali pada 2 Jun.
Mengikut jejak langkah St Francis
Relik itu adalah milik perkumpulan friar Fransiskan dari wilayah Tuscany, Itali, yang membawanya ke beberapa buah negara sempena sambutan ke-800 stigmata St Francis.
Ketika beliau bercakap kepada Vatican News, Anthony Amen, seorang wakil belia bagi golongan Fransiskan Mesir, berkata acara itu bertujuan untuk “membawa balik kerohanian St Francis”.
Amen berharap pengalaman dengan relik itu akan memberi inspirasi kepada Gereja di Mesir untuk “mengikut jejak langkah St Francis”.
Santo dan Sultan
Lawatan St Francis ke Mesir sekarang paling diingati kerana perjumpaannya dengan Sultan al-Kamel, yang ketika itu menjadi pemerintah Mesir.
Di tengah-tengah Perang Salib, santo itu pergi ke belakang garisan musuh untuk berjumpa dengan pemimpin Muslim itu, dan tinggal bersamanya selama beberapa hari.
Amen berkata lawatan relik itu “sentiasa menjadi peringatan bagi kami untuk mengambil inisiatif dan meneruskan dialog antara kami dengan orang lain”.
Menurutnya, hubungan antara komuniti Kristian dengan masyarakat Muslim di Mesir telah mengambil “langkah besar ke hadapan” sejak 10 tahun lalu, di bawah kepimpinan Presiden al-Sisi.
Beliau berkata, banyak kemajuan juga telah dibuat sejak beberapa tahun lalu, khususnya disebabkan oleh ulang tahun ke-800 perjumpaan Francis dengan Sultan berkenaan.
Dialog telah diadakan, katanya, antara para pemimpin dengan wakil-wakil belia dari Gereja Katolik dan Universiti Al-Azhar dari Kaherah, salah satu pusat pendidikan Islam paling berprestij di dunia.
“Dari saat itu,” kata Amen, “kita memasuki fasa baharu dalam dialog antara agama di antara umat Islam dengan umat Kristian di Mesir”.
Vatican News (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: 800 years on, St Francis’ tunic returns to Egypt