Sekolah Minggu BM Katedral St Joseph Miri anjur Rekoleksi Guru

PENABUR BENIH... Fr Michael Sia (duduk tengah) bergambar bersama semua peserta rekoleksi.

Oleh Emiliannie

MIRI — Sekolah Minggu Bahasa Malaysia (BM) Katedral St Joseph di sini telah menganjurkan Rekoleksi Sekolah Minggu Bahasa Malaysia 2024 pada 17 Jun lepas.

Ia diadakan di Chapel Ave Maria, Lambir, dengan tema ‘Sebagai Gema Harapan’.

Rekoleksi tersebut diadakan untuk mendalami panggilan dan semangat pelayanan guru sekolah minggu sebagai katekis iman kepada para pelajar. 

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan semangat kerjasama antara para guru dari pelbagai gereja, seperti Katedral St Joseph di Bakam, Gereja St Anthony di Tudan, Gereja Holy Spirit di Permyjaya, Kumpulan Sekolah Minggu di Piasau, Kumpulan Sekolah Minggu Bakam dan St Dominic, Taman Tunku. 

Seramai 80 guru sekolah minggu telah menghadiri Rekoleksi Sekolah Minggu itu yang dimulakan dengan Misa yang dirayakan oleh Fr Michael Sia. 

Setelah Misa selesai, program diteruskan dengan adorasi selama sejam. 

Sesi pujian dan sembah telah diketuai oleh Katekis Josephine dengan bantuan kumpulan muzik Katedral St Joseph.

Ajaran pertama bertajuk ‘Empat Ciri Harapan’ seterusnya disampaikan oleh Fr Michael, yang menerangkan bahawa empat ciri harapan merangkumi penyembuhan, keterbukaan, doa dan Ekaristi.

Penyembuhan terkandung di dalam ajaran dan pelayanan seorang katekis, yang seharusnya terbuka di dalam kesaksian, tidak menghakimi orang serta terbuka kepada Gereja dan juga individu. 

HARAPAN… Para peserta rekoleksi membina persaudaraan erat.

Doa juga adalah ciri harapan, dan seorang katekis harus mengajar pelajar cara berdoa dan menghormati masa sunyi apabila berdoa. 

Ekaristi juga merupakan ciri harapan yang menggalakkan kita untuk menjalin hubungan peribadi dengan Tuhan melalui Misa dan Ekaristi.

Dalam ajaran kedua Fr Michael bertajuk ‘Katekis Sebagai Gema Cinta Kasih, Kebenaran, Belas Kasihan’ yang merangkumi tiga topik kecil, iaitu nama, tanda salib dan Tritunggal, beliau menyatakan bahawa katekis adalah gema kasih.

Katekis harus memahami ajaran dan mempersiapkan diri sebelum menyahut panggilan untuk mengajar. Apabila memulakan ajaran, katekis harus menyatukan diri dengan Tritunggal dan kehidupan melalui ‘tanda salib’. 

Katekis sebagai ‘kebenaran’ bermaksud menginjil bahawa Yesus adalah Kebenaran. Sebelum mengkhabarkan kebenaran dan kasih, katekis harus mempersoalkan diri sendiri sebelum menjadi teladan kepada pelajar. Kita sendiri harus menjadi gema kebenaran terlebih dahulu.
Katekis sebagai ‘belas kasihan’ bermakna kita harus mengajar mereka yang tidak tahu atau ‘ignorant’ dan menjadi ‘oasis’ (perlindungan) kepada belas kasihan.

Berbelas kasihan kepada mereka yang tidak tahu dan berbelas kasihan bagi tujuan untuk membentuk individu lain menjadi katekis. Lebih banyak lagi kita belajar, lebih banyak lagi perkara yang kita tahu, dan dengan itu kita akan berkembang dan lebih tahu tentang iman kita apabila menginjil. 

Dalam ajarannya juga, Fr Michael memperingatkan apa yang dikatakan oleh Paus Francis, “Segalanya memberikan saya harapan”.

Setelah ajaran selesai, semua guru bergambar bersama untuk kenangan masing-masing sebelum mengakhiri rekoleksi. Makanan tengah hari telah disediakan bagi para peserta yang bekerjasama membersihkan chapel serta dapur makan setelah digunakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.