Oleh Julia Shim
KUCHING — Setiap tahun pada 16 Julai, Hari Raya Bonda Perawan Gunung Carmel dirayakan. Pada hari ini, umat menunjukkan kebaktian kepada kepercayaan mereka dengan memberi penghormatan kepada penaung Perkumpulan Carmelite, Bonda Perawan Maria.
Pada tahun ini, perkumpulan biarawati Carmelite kita mengadakan perayaan dengan tema ‘Disentuhlah oleh Maria… Waktu intim dengan Bonda syurgawi kita’ di Chapel Carmelite, Jalan Tun Abang Haji Openg, dan mengalu-alukan semua umat untuk mengambil bahagian.
Acara bermula pada jam 4.00 petang, dengan biarawati Carmelite dan pasukan pemudah cara yang mengetuai kongregasi menerusi beberapa buah lagu, renungan pendek yang memberikan pemahaman, dan doa.
Anggota kongregasi kemudian dijemput menyampaikan bunga kepada Bonda Kita dan seterusnya menerima Skapular Perang yang sudah pun diberkat.
Menurut sejarah, Skapular Perang pertama kali muncul pada hujung abad ke-14, apabila Ketua Prior Perkumpulan Carmelite, St Simon Stock, menerima skapular perang besar daripada Bonda Kita dalam satu penglihatan. Skapular kemudian menjadi sebahagian daripada jubah religius yang dipakai oleh golongan Carmelite. Pada hari ini, ia adalah satu kebaktian doa senyap yang melambangkan penghormatan dan kepercayaan kita kepada pelindungan Bonda Kita dan boleh dipakai oleh semua, termasuk orang bukan Katolik, dengan janji Bonda Kita bahawa “sesiapa yang mati selepas dikurniakan dengan Skapular ini akan dipelihara daripada azab api abadi. Ia adalah tanda penyelamatan, pelindungan pasti dalam bahaya, janji kedamaian dan pelindungan bonda yang istimewa hingga akhir zaman”.
Cara terbaik untuk memakai Skapular adalah atas bahu di mana satu bahagian adalah atas dada, dan satu lagi bahagian di belakang.
Selain itu, bagi umat Katolik yang berminat, satu upacara pengurniaan Skapular Perang akan diadakan pada 22 Oktober 2023 di Chapel Carmelite pada akhir Misa Hari Minggu.
Dalam bahagian seterusnya perayaan itu, biarawati Carmelite kita memimpin kongregasi dalam Vesper atau liturgi doa malam yang disampaikan dalam lagu. Vesper adalah meditasi mengenai firman Tuhan, yang memuliakan dan memuji Tuhan kerana kasih-Nya bagi kita, dan mencari bantuan-Nya bagi keperluan dunia. Ini adalah satu pengalaman rohani yang suci dan sangat rohani, terutamanya bagi hadirin yang tidak tahu mengenainya.
Acara itu berakhir dengan jemputan kepada semua peserta untuk menikmati makanan dan minuman ringan selain mengerat silaturahim.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Celebrating the Feast Day of Our Lady of Mount Carmel 2023