Oleh Jessica Ruja Raphael
SARATOK — Tarikh 18 Jun merupakan hari istimewa buat seluruh insan yang bergelar bapa iaitu Hari Bapa.
Marian Guild dengan kerjasama Ministri Belia Gereja St Ignatius Saratok telah meraikan Hari Bapa buat golongan insan yang istimewa ini sejurus selepas perayaan Misa Kudus pada hari itu.
Sambutan dimulai dengan acara pemberkatan semua bapa oleh Fr Joseph Chai dan diselang-selikan dengan acara pemotongan kek.
Majlis menjadi lebih bermakna apabila bapa-bapa yang diraikan masing-masing menerima cenderamata istimewa sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran atas segala jasa dan pengorbanan serta kasih sayang yang mereka curahkan dalam keluarga.
Sambutan seperti ini tidak dapat dinafikan dapat memupuk keharmonian dan mengeratkan ikatan kekeluargaan selain menyatupadukan hubungan sesama anggota komuniti gereja agar sentiasa bertambah erat dan sejahtera.