Oleh Shannon Wei
KUCHING — Pada hujung minggu 1–2 April yang lalu, umat Katolik baik muda mahupun tua berpusu-pusu ke Katedral St Joseph untuk meraikan Hari Minggu Palma yang menandakan permulaan Minggu Kudus.
Selain Misa di katedral, perarakan tahunan sempena Hari Minggu Palma diadakan pada 2 April untuk memperingati kemasukan Tuhan kita Yesus umpama raja ke dalam Yerusalem.
Buat pertama kalinya semenjak COVID-19, jemaat dapat menyertai perarakan ini secara fizikal, yang turut distrim secara langsung bersama Misa BM jam 11.00 pagi.
Kira-kira 2,000 anggota paroki berhimpun di perkarangan Kolej St Peter, tanpa menghiraukan cuaca panas, dan membentuk laluan bagi perarakan.
Selepas memberkati daun palma, Uskup Agung Simon Poh dalam homilinya mengingatkan semua “untuk menyambut dan menerima Yesus sebagai Raja dan Penyelamat kita” untuk memberi makna kepada perarakan itu.
Beliau berdoa atas jemaat dan berkata: “Seperti orang ramai yang menyanjung Yesus di Yerusalem, marilah kita pergi dengan damai!”
Perarakan kemudian bergerak menuju ke katedral, bermula dengan pembawa salib, pembawa lilin, koir, pembaca, Pelayan Luar Biasa Komuni Kudus dan pelayan altar.
Uskup Agung Simon, yang disertai Fr Galvin Ngumbang, mendahului perarakan yang seterusnya diikuti jemaat.
“Hosanna! Hosanna! Diberkatilah raja yang datang dalam nama Tuhan!” semua mereka bernyanyi sambil berjalan menuju ke katedral dan mengibar tinggi daun palma yang sudah diberkati.
Misa BM berkenaan, yang dirayakan oleh Uskup Agung Simon bersama Fr Galvin, menyaksikan katedral penuh sesak dengan jemaat.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Faithful reminded to ‘welcome and journey with Jesus’ at Palm Sunday procession