SUNGAI PELEK, SEPANG — Menunjukkan kasih Allah menerusi amal kebajikan adalah sesuatu yang dapat dilakukan semua orang Kristian. Kasih orang Kristian untuk orang lain adalah selari dengan kasih Allah untuk umat manusia.
Dengan menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik, terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Chapel Holy Infant Jesus di Sungai Pelek, dalam kolaborasi dengan sekumpulan orang Katolik dari Kuala Lumpur (KL), telah menganjurkan Program Bantuan Makanan pada 1 Ogos lalu.
Program itu diadakan di chapel berkenaan dan memanfaatkan 12 keluarga miskin dari sekitar bandar separa luar bandar, Sungai Pelek. Di antara 12 orang penerima yang hadir adalah beberapa orang dengan pelbagai keupayaan, dibawa oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO), yang turut menyaksikan kehadiran dua orang wakilnya.
Pengerusi chapel, Nya na Joe, mengalu-alukan semua kepada acara pertama seumpamanya yang diadakan di chapel berusia beberapa dekad ini. Program bermula dengan doa pembukaan, diikuti ucapannya. Beliau menceritakan tentang usaha untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.
“Hari ini adalah untuk 12 keluarga bukan Kristian,” katanya. “Kita harap pada lain kali kita dapat membantu banyak lagi keluarga.”
Beliau mengucapkan terima kasih kepada kumpulan dari KL di atas kolaborasi mereka dengan chapel dalam misi untuk menghuluran bantuan kepada golongan miskin.
Ketua kumpulan dari KL itu mengucapkan terima kasih kepada semua kerana hadir dan berkata program Bantuan Makanan itu (berjumlah 605 kg yang terdiri daripada 22 barang yang berbeza) merupakan satu cara untuk meringankan beban 12 keluarga yang dipilih oleh chapel berkenaan.
Banyak keluarga berpendapatan rendah, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, berdepan dengan keadaan tidak menentu dan kesusahan pada waktu ini.
Beliau juga memberitahu mereka mengalu-alukan semua, tidak mengira kaum atau agama, dan berdoa agar Allah memberkati mereka.
Selepas sesi gambar berkumpulan, semua bersurai ke luar chapel di mana anggota paroki membantu untuk membahagikan barang makanan kepada 12 keluarga miskin yang duduk dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Selepas pembahagian barang, tetamu pulang dengan semangat yang tinggi.
Sementara itu anggota paroki bersama ahli kumpulan dari KL berkenaan memasuki chapel semula untuk renungan selama 15 minit, dengan tumpuan kepada bagaimana anggota paroki sendiri dapat berkumpul untuk menghulurkan bantuan dan menarik orang lain kepada Kristus. Mereka berakhir dengan lagu rohani ‘Give Thanks’ untuk mengucapkan terima kasih kepada Tuhan bagi segalanya.
Pentadbir chapel, Paderi Terrance Thomas, yang juga merupakan pastor paroki Gereja Immaculate Conception of the Blessed Virgin Mary di Port Dickson, memberikan kebenarannya bagi acara ini tetapi tidak dapat menghadirinya.
Walau bagaimanapun, beliau memuji semua yang terlibat kerana memperingati mereka yang memerlukan bantuan pada waktu yang sukar sekarang.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Coming together to care for the poor