Oleh Agnes Chai
KOTA KINABALU — “Tuaian memang banyak tetapi pekerja sedikit. Kerana itu mintalah kepada Tuhan yang empunya tuaian, supaya Ia mengirimkan pekerja-pekerja untuk tuaian itu.” (Matius 9:37-38).
Sesungguhnya Allah, Tuhan yang empunya tuaian, telah menghantar empat pemuda dari bumi Sabah dan seorang dari Singapura ke ladang-Nya, untuk memberitahu dunia betapa Dia mengasihi mereka.
Friar-Friar Fransiskan, iaitu Cosmas Francis, Crispus Mosinoh, Gerald Terence, Sixtus Pitah dan Robin Toha, telah dipanggil kepada Order Diakon oleh Uskup Agung William Goh di Katedral Gembala Baik, Singapura, pada 26 November 2021.
Friar Gerald Terence dan Friar Crispus Mosinoh berasal dari Sandakan, manakala Friar Sixtus Pitah datang dari Lahad Datu, dan Friar Cosmas Francis dari Tambunan.
Bagi Friar Robin Toha yang dilahirkan di Indonesia, beliau kini adalah seorang warga negara Singapura.
Diakon-diakon dari Sabah telah melawat Pusat Keuskupan Agung Katolik (CAC) di Jalan Sang Kancil di sini untuk melakukan kunjungan hormat kepada Uskup Agung John Wong di pejabatnya pada 18 Disember lalu, dan berpeluang untuk meninjau pusat baharu tersebut dan diperkenalkan kepada kakitangan CAC.
Diakon-diakon baharu itu telah menerima penempatan diakonat yang akan mereka ambil pada Januari 2022.
Friar Crispus akan pergi ke Paroki Kristus Raja di Air Itam, Pulau Pinang; Friar Sixtus ke Paroki St Joseph di Plentong, Johor; Friar Gerald Saimel ke Paroki St Dominic di Lahad Datu, Sabah; Friar Cosmas ke Paroki St Theresa of Avila di Tambunan, Sabah, dan Friar Robin ke Paroki St Joseph di Bukit Timah, Singapura.
Kerana rasa ingin tahu yang suci, akhbar Catholic Sabah cuba mendapatkan sebab yang memberi inspirasi kepada pemuda-pemuda ini untuk menyerahkan kehidupan mereka sepenuhnya kepada Allah.
Inilah satu-satunya perkara yang dibahagikan oleh setiap daripada mereka dan menarik mereka kepada kepaderian (sumber: St Anthony’s Bread):
Friar Crispus Mosinoh
Memilih jalan kepaderian pelayanan adalah satu panggilan dalam panggilan. Saya merasakan panggilan untuk melayan umat awam ketika mengupas rahmat pembaptisan sebagai seorang Fransiskan yang ditahbis. Sebagai seorang friar yang ditahbis, saya dapat melayan dan berbakti kepada umat Allah dengan menjalankan Upacara-upacara Suci.
Friar Cosmas Francis
Pengalaman indah saya sendiri dengan kasih dan pengampunan Allah menerusi Sakramen Pengampunan Dosa adalah satu sebab. Saya ingin menceritakan bahawa kasih Allah adalah lebih besar daripada dosa-dosa kita. Pengalaman saya dengan kerahiman Allah menerusi kata-kata penghiburan dan dorongan daripada paderi setiap kali saya membuat pengakuan dosa membantu memulihkan kekuatan dan kepercayaan saya kepada Allah. Saya ingin memberi inspirasi kepada orang lain untuk sentiasa menaruh harapan kepada misteri penyelamatan Allah walaupun kita mungkin jatuh banyak kali.
Friar Gerald Terence
Saya dapat menyatakan dengan yakin dan ikhlas bahawa, jika Allah memilih saya untuk menjadi pelayan-Nya dan bentara-Nya menerusi ministri Diakonat, ia hanyalah kerana Dialah yang melayan saya terlebih dahulu dan mengumumkan kepada saya Berita Baik tentang kasih-Nya yang tiada syarat menerusi ramai orang yang saya syukuri sampai bila-bila.
Friar Sixtus Pitah
Ketika saya remaja, saya pernah mengikut paderi paroki kami ke stesen luar untuk sembahyang Misa. Stesen luar ini terpencil, malah begitu terpencil sehinggakan paderi hanya dapat melakukan lawatan sekali sebulan, kalau tidak sekali dalam masa dua bulan. Kerinduan dan sukacita yang saya lihat pada wajah jemaat adalah umpama satu undangan daripada Allah kepada saya untuk turut menjadi saluran kasih Allah menerusi penyampaian sakramen-sakramen.
Friar Robin Toha
Sepanjang perjalanan pembentukan Fransiskan saya, saya mendapat peluang dan pendedahan untuk mengasihi dan melayan Tuhan yang hadir dalam orang yang ada di sekeliling saya dalam berbagai suasana. Dalam penilaian saya yang berterusan, saya merasakan kepaderian akan membolehkan saya untuk mengasihi dan melayan dengan lebih baik, khususnya dalam peranan sebagai paderi menerusi Sakramen Perdamaian, Ekaristi, dan Pengurapan Orang Sakit. Selepas mengalami kasih dan kerahiman Allah dalam hidup saya, saya merasakan panggilan untuk menjadi alat yang membawa kasih dan kerahiman-Nya kepada orang menerusi sakramen-sakramen ini.
Catholic Sabah (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Sabah friars on courtesy call and fraternal visit to CAC