Oleh Jessica Ruja Anak Raphael
SRI AMAN — Pada 30 April lalu, seramai 20 guru adat dari Zon Sri Aman, Zon Betong, Zon Saratok, Zon Engkilili dan Zon Lubok Antu telah mengikuti renungan di Gereja Our Lady Queen of Peace, Sri Aman.
Dengan “My Fiat” sebagai tema renungan pada tahun ini, program ini diadakan untuk membantu dan membimbing para guru adat terpilih merenung diri dalam setiap pelayanan dan menjaga hubungan baik dengan Tuhan.
Program ini secara tidak langsung memberi galakan kepada para guru adat untuk mencontohi Bonda Maria sebagai pemain peranan utama, terutamanya dalam mendengar, menerima dan menyahut panggilan daripada Tuhan, dengan iman terbuka dalam setiap pelayanan yang dijalankan.
Beberapa perkongsian daripada Stephanie Ng selaku penceramah utama dalam program ini telah menekankan beberapa pengisian penting mengenai ketaatan untuk menurut kehendak Tuhan dengan menggunakan bakat yang diberikan bagi melayani saudara-saudari sesama.
Program ini berakhir dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Joseph Chai, disusuli doa pengutusan yang dipimpin oleh Diakon Henry Jimbey kepada para guru adat terpilih.