Rekoleksi Untuk Pelayan Liturgi

Para peserta Rekoleksi Pelayan Liturgi dan AJK Pengurus Kursus.

Oleh Caroline Chandom

BETONG — Satu rekoleksi untuk pelayan liturgi telah diadakan di Gereja Holy Family Betong pada 23 Julai lalu, bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang. 

Seramai 11 pelayan liturgi menghadiri rekoleksi tersebut dengan Diakon Henry Jimbey sebagai penceramah. 

Tema bagi rekoleksi ini adalah ‘Siapa Saya—Saya Datang Untuk Melayani’ dengan matlamat menambah ilmu pengetahuan tentang pelayanan liturgi. 

Selain itu, ia diharapkan dapat melahirkan pelayan liturgi yang baik dan menyedari bahawa setiap individu adalah peribadi yang unik dan berbeza. 

Setelah menghadiri rekoleksi pelayan liturgi ini, setiap pelayan liturgi diharapkan bersiap sedia dan setia melaksanakan kehendak Allah Taala serta selalu memohon berkat-Nya, terutamanya ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh pihak gereja.

Solomon Anak Peter Mandie

“Melalui program ini, saya merumuskan bahawa nilai terhadap niat dan tindakan sebagai umat sangat penting dalam membawa dan mengiring umat agar bersama-sama melayani pelayanan gereja. Sikap dan tingkah laku kita sebagai umat amat mempengaruhi semua aspek, terutama dalam menarik minat umat lain secara ikhlas agar kita bersama-sama dan bersatu di bawah satu gereja walaupun terbatas dengan tugasan harian dan kekangan masa. Peranan kita sebagai pelayan gereja haruslah menyatukan umat sebagai satu keluarga, menyayangi antara satu sama lain, dan bersedia dalam menerima kritikan serta teguran sesama umat bagi membentuk perpaduan umat yang kukuh dan diberkati Tuhan.” – Solomon Anak Peter Mandie

Janetta Peter

“Kursus rekoleksi liturgi pada kali ini memberi fokus kepada tiga perkara iaitu mengenali diri dan Tuhan, mengenali iman kita, dan kita dipanggil untuk menjadi sempurna seperti Bapa. Sebagai pelayan liturgi, niat dan tindakan dalam melayani di ladang Tuhan haruslah bersandarkan kepada keinginan roh (tanda kesyukuran) dan bukannya keinginan daging (kepentingan diri) semata-mata. Melayani dengan niat dan tindakan yang betul serta kerendahan diri harus menjadi amalan kerana ia adalah tanda kesyukuran kepada Tuhan. Mengenali Yesus dalam Injil Markus melalui tiga peristiwa: Pembaptisan Yesus, Pencobaan Yesus dan Pewartaan Yesus dapat membimbing kita sebagai pelayan liturgi untuk melayani dengan iman dan penuh cinta kasih Tuhan.” – Janetta Peter

Calvin Charli Anak Patrick

“Melalui program rekoleksi ini, ia memberi kesedaran kepada saya bahawa saya harus mengamalkan konsep niat dan tindakan sebagai pelayan altar ketika menjalankan tugas supaya dapat membimbing umat lain dalam melayani pelayanan di gereja. Kita mestilah bekerja keras dalam memastikan umat sentiasa bersatu dan membentuk satu keluarga besar dengan berlandaskan konsep niat dan tindakan ketika berada di gereja mahupun di luar gereja. Dengan ini, keharmonian gereja dapat dijamin serta terus berkembang dan diberkati Tuhan.” – Calvin Charli Anak Patrick

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.