Oleh Lily Banseng dan Nicholas Anyi
SRI AMAN — Pada 18 Februari lalu, satu rekoleksi telah diadakan di Chapel Katolik Mount Hosanna dengan tema ‘Aku Mahu Disembuhkan —Lukas 15:11-23’.
Kursus ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelayan gereja menghayati serta mendalami maksud sebenar tugas pelayanan.
Peserta dibawa merenungkan petikan daripada Injil St Lukas ini dan seterusnya memberi peluang kepada setiap peserta untuk merenungkan diri dalam tugas pelayanan mereka.
Rekoleksi pada kali ini diketuai Fr Henry Jimbey yang seterusnya membimbing para peserta dalam perayaan Misa Kudus.
Apa yang menarik tentang rekoleksi ini adalah kesungguhan yang ditunjukkan oleh para peserta. Kerendahan hati serta niat untuk mempersembahkan diri yang terbaik kepada Tuhan jelas terpancar pada setiap peserta.
Kesungguhan mereka menunjukkan niat suci mereka untuk memberi pelayanan yang istimewa kepada Tuhan apabila mereka menjalankan tugasan yang diamanahkan.
Semoga para pelayan Chapel Mount Hosanna terus bersatu dalam tugasan dan pelayanan mereka dan diberkati Tuhan.