Oleh Sr Catherine Uming, SSFS
BUNAN-TEBEDU — Pada 14 Disember 2024, Girumpung Dayung Katolik (GDK) Paroki St Jude Bunan-Tebedu telah mengadakan Rekoleksi Adven di Gereja St Peter, Gahat Mawang.
Hampir 700 peserta melibatkan diri dengan program rekoleksi itu sempena musim Adven 2024 untuk menyiapkan dan memperbaharui kehidupan rohani mereka serta merapatkan lagi hubungan sesama sendiri sebagai GDK Paroki.
Program Rekoleksi Adven ini dimulakan dengan nyanyian bersama, diikuti dengan sesi Pujian dan Penyembahan.
Sebelum renungan disampaikan, peserta diajak untuk sama-sama berdoa rosari.
Sesi renungan berfokus kepada Hari Minggu Adven ke-3 (Minggu Gaudete), iaitu kegembiraan atau sukacita dan pengharapan, yang disampaikan oleh Penasihat GDK, Sr Catherine Uming, SSFS.
Menurutnya, kita bersukacita kerana waktunya sudah hampir dekat, dan mendesak kita untuk berusaha dengan sehabis baik sebagai pengikut Yesus.
Kita semua dijemput untuk bersiap sedia bagi menyambut kedatangan Juruselamat kita, dan memiliki sifat yang lebih terbuka untuk menyambut kelahiran Yesus. Kedatangan-Nya harus disambut dengan sukacita.
Oleh itu, kita semua dijemput untuk bertaubat dan mendengar seruan Yohanes Pembaptis agar iman kita diperbaharui dan kita dapat menemukan kebahagiaan sejati dalam janji keselamatan Tuhan.
Selepas sesi renungan, program diteruskan dengan sesi pengakuan dosa, diikuti oleh Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Pratap Baskey, CMF.
Selepas Misa Kudus, semua jemputan dan peserta makan tengah hari bersama umat Kampung Gahat Mawang.
Program tamat dan semua bersurai pada jam 2.30 petang dengan rasa syukur dan terima kasih kepada Tuhan di atas kejayaan program Adven 2024.