Rai Krismas secara maya

SEMANGAT KRISMAS… Carolling dalam talian yang dikendalikan oleh ahli koir Paroki Gereja St Peter and Paul Mukah.

Oleh Alwin Lawrence

MUKAH — Saban tahun sebelum sambutan Hari Krismas diraikan, aktiviti carolling atau menyanyikan lagu Krismas dari rumah ke rumah akan diadakan seperti biasa. 

Namun tahun ini akibat pandemik Covid-19, aktiviti tersebut tidak dapat diadakan. 

Menyedari situasi tersebut Paroki Gereja St Peter and Paul Mukah tampil dengan inisiatif mengadakan carolling secara dalam talian dan langsung melalui laman Facebook “Paroki Sts Peter & Paul’s Mukah” dan persembahan carolling pula diadakan di gereja berkenaan. 

Inisiatif berkenaan telah dimulakan pada Sabtu lalu dan akan diteruskan setiap Sabtu bermula jam 7.30–8.15 malam sehingga Krismas. 

Menurut pengerusinya, Fr Joseph Sebastian beliau tampil dengan idea tersebut dengan kumpulan koir gereja St Peter and Paul Mukah kerana mereka menyedari perlunya mengadaptasikan norma baharu dengan memanfaatkan teknologi. 

“Tahun ini saya dan ahli koir mengambil inisitif mengadakan carolling dalam talian melalui live strim,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak semalam. 

Ujarnya saban tahun carolling dari rumah ke rumah menjadi satu kemestian, namun kerana krisis kesihatan global Covid-19 menjadikannya berubah secara drastik.

Di samping itu, beliau turut berharap usaha ini menjadikan semangat Krismas tahun ini tidak akan pudar. 

“Kami turut mendoakan agar Covid-19 dapat dihapuskan dari muka bumi. Kita juga menggalakkan orang ramai dan paroki lain untuk sama-sama bergabung berusaha menangani Covid-19 dengan mengadaptasikan norma baharu setiap hari,” nasihatnya. 

Bagi salah seorang belia yang juga ahli koir gereja Easter Hennie Siyu Henry, 26, pengalaman kali pertama berlangsung secara terus melalui Facebook tersebut cukup mengujakan dan menggembirakan. 

“Pada mulanya kami menyangka usaha ini tidak akan dapat diadakan tetapi dengan cadangan Fr Joseph kami dapat menjayakannya. 

“Tidak lupa juga kepada mereka yang berjauhan daripada keluarga dan tidak dapat kembali ke Mukah. Diharap kami dapat membawa semangat Krismas tahun ini ke tempat anda, semoga semua yang menonton dapat menikmati nyanyian lagu Krismas tahun ini,” jelasnya. 

Manakala bagi Mary Magdalen Norbert, 26, yang mewakili belia St Peter and Paul Mukah berharap semua penganut Kristian di mana sahaja mereka berada agar dapat bersama-sama mereka secara live strim bagi meraikan semangat Krismas.

Suara Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.