Oleh Ivy Chai
KUCHING — Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan mencipta sejarah pada 4 Mac 2022 dengan pembukaan Chapel Sacred Heart yang dirasmikan dan diberkati Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak, Uskup Agung Katolik Dr Simon Poh.
Ia mungkin chapel pertama yang dibina di dalam premis mana-mana kemudahan perubatan di Malaysia.
Ilham untuk membina sebuah chapel timbul pada 2019, dan dengan sokongan Pengarah Pusat Jantung Sarawak, Dr Mohd Asri Riffin, dan Pengarah Unit Agama-Agama Lain (UNIFOR), Richard Lon, tugas untuk merancang chapel itu telah diberikan kepada Gereja Katolik.
Menurut Uskup Agung Simon, Gereja Katolik, yang menyahut permintaan bagi Misa oleh pesakit dan kakitangan Kristian di hospital itu, telah merayakan Misa bulanan di bilik kecil yang disediakan bagi mereka sejak 2015.
Walaupun anutan Katolik dipilih sebagai “agama utama”, Uskup Agung Simon bersetuju dengan kenyataan Richard Lon, Pengarah UNIFOR, bahawa chapel itu adalah untuk kegunaan semua mazhab Kristian, agama dan anutan.
Membina Chapel Sacred Heart
Pembinaan chapel itu bermula pada 15 April 2021 dan ia siap pada 15 Disember lalu dengan memakan kos keseluruhan sebanyak RM366,000.
Pembinaan chapel itu dibiayai geran sebanyak RM280,000 daripada UNIFOR, manakala bakinya disumbangkan oleh Keuskupan Agung Katolik Kuching.
Majlis pembukaan chapel dihadiri Uskup Agung Simon, Dr Mohd Asri Riffin dari Pusat Jantung Sarawak, Richard Lon dari UNIFOR, Roy Fender Entusa selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Chapel, dan pembesar lain.
Mereka sama-sama melakukan “pemotongan reben” untuk mengisytiharkan pembukaan Chapel Sacred Heart.
Dalam satu aksi yang simbolik, Uskup Agung Simon kemudian menekan suis lampu chapel tatkala pengacara majlis membaca ayat daripada Kitab Kejadian 1:3 “Jadilah ia terang”.
Dalam ucapan beliau, Uskup Agung Simon menyuarakan kegembiraan beliau dengan chapel yang sudah siap itu dan percaya sejak mula lagi, ia adalah “keberkatan daripada Allah Taala”, dan berkata ia bertujuan “untuk membina sikap saling hormat-menghormati dan menerima antara pelbagai kaum, agama dan budaya supaya kita benar-benar dapat menjadi satu keluarga”.
Beliau berharap pembukaan Chapel Sacred Heart di Pusat Jantung Sarawak, “dapat menjadi model bagi seluruh Malaysia”.
Beliau menambah COVID-19 dan banjir baru-baru ini di Malaysia telah “mengajar kita bahawa kita perlu bekerja sebagai satu keluarga, satu keluarga manusia, bukan hanya di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia”.
Kita mesti menjadi “saudara dan saudari kepada satu sama lain kerana semua kita dicipta oleh Allah Taala yang sama, oleh Tuhan yang mengasihi kita”.
Uskup Agung itu percaya orang sakit, dalam kesusahan dan kesakitan mereka, pasti akan mencari Allah Taala, tertanya-tanya di mana Tuhan mereka ketika mereka menuntut jawapan kepada penderitaan mereka.
Mereka cenderung “mendapatkan kekuatan dari atas”.
Beliau menambah, “Ia adalah dalam doa yang kita menemukan tujuan, makna dan kekuatan”.
Chapel itu adalah tempat “untuk berdoa”, “menggalakkan penyembuhan”, baik jasmani, rohani atau emosi.
Uskup Agung Simon bersyukur kepada Allah Taala kerana memungkinkan pembinaan chapel itu, serta sokongan daripada Dr Mohd Asri dan UNIFOR.
Untuk melengkapkan majlis pembukaan dan penyerahan, Uskup Agung menandatangani plak pembukaan rasmi bagi Chapel Sacred Heart selain memotong kes untuk memperingati peristiwa itu.
Beliau merayakan Misa pertama di chapel itu di mana Misa Katolik akan diadakan setiap bulan dari sekarang.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Sarawak Heart Centre demonstrates religious harmony by building Chapel on its premise