Oleh Melissa Esmeralda Anak Menchon
BETONG — Suruhanjaya Belia Keuskupan Agung Kuching (KAYC) bersama Pelayanan Belia Paroki (PYM) Our Lady Queen of Peace, Sri Aman, telah mengadakan program ‘WeNGABANG’ pada 24 September lalu, yang diadakan dari jam 7.00 petang hingga 11.00 malam.
Objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan rasa “kebersamaan” serta menanam di dalam diri bahawa “kita semua bersatu dan bersama, dan anak muda menjaga sesama anak muda”.
Selain itu, program ‘weNGABANG’ juga bertujuan untuk membolehkan peserta meluangkan masa bersama, menikmati kehadiran satu dengan yang lain, berkongsi sesama diri tentang masa lalu, masa kini, dan masa depan, dalam mencari makna sukacita dan kekuatan pelayanan belia, serta mendalami pengalaman Yesus secara peribadi bersama belia.
Program ini disertai belia daripada lima zon pelayanan belia dalam Paroki Sri Aman, iaitu Zon Sri Aman, Zon Lubok Antu, Zon Betong dan Zon Saratok, serta kumpulan belia dari Kampus PoliMetro Betong.
Ia dimulakan dengan doa pembukaan yang diketuai saudari Maria dari KAYC selaku penyelaras program, dan diteruskan dengan nyanyian lagu tema program ‘weNGABANG’, iaitu lagu ‘Hari Ini’.
Para peserta turut dibawa merenungkan bacaan yang selari dengan tema program iaitu ‘Perjalanan ke kampung Emaus’ (Lukas 24:13-35).
Setelah itu, para peserta mengadakan sesi perbincangan mengikut zon masing-masing mengenai isu, permasalahan, kekuatan dan kelemahan pelayanan belia di gereja masing-masing.
Pihak KAYC, yang diketuai Fr Ramon Borja, telah memberikan banyak pendapat yang memberangsangkan serta dorongan kepada setiap peserta program tersebut.
Diakon Henry Jimbey turut memberikan dorongan dan nasihat untuk membantu belia menghadapi pelbagai cabaran dalam pelayanan mereka.
Pengerusi PYM Our Lady Queen of Peace, Sri Aman, Antonious Remon, menyampaikan rumusan perbincangan bagi mewakili belia dari paroki tersebut.
Program ini diakhiri dengan sesi bergambar, doa penutupan, dan penyampaian sumbangan oleh Diakon Henry sebagai tanda kesyukuran dan berterima kasih kepada pihak KAYC yang sudi mengadakan program tersebut dan hadir membantu belia Paroki Sri Aman.
Pihak KAYC berharap belia Paroki Our Lady Queen of Peace, Sri Aman, terus bangkit dalam pelayanan dan mendapat sokongan yang padu daripada ibu bapa dan umat gereja.