Program Panggilan ‘Aram Berami Begulai Sejalai Enggau Tuhan’ 2024

Oleh Jawatankuasa Panggilan St Theresa Serian

SERIAN — Pada 6 hingga 7 Julai lalu, Ministri Panggilan Paroki St Theresa di sini telah mengadakan Program Panggilan pertama bagi tahun 2024.

Ia diadakan di Gereja St Vincent De Paul, Kampung Ensebang Padang Bilon, dengan tema ‘Aram Berami Begulai Sejalai Enggau Tuhan’.

Program kali ini diadakan selama dua hari satu malam di mana para peserta ditempatkan di rumah keluarga angkat. 

Jumlah peserta yang menyertai program tersebut seramai 59 orang yang berasal dari 11 kampung dalam zon Iban. 

Objektif program tersebut adalah untuk berkongsi dengan para belia tentang pelayanan, lebih-lebih lagi dengan mendalami kefahaman tentang panggilan mereka sebagai umat Katolik. 

Selain itu juga, ia membantu para belia untuk menjawab persoalan dalam diri mereka tentang tujuan dan pilihan hidup mereka yang bersesuaian dengan kehendak Tuhan buat mereka pada masa hadapan. 

Pada program kali ini, empat penceramah telah dijemput untuk berkongsi dan menerangkan tentang panggilan, dan bagaimana kita memberi respon kepada panggilan tersebut. 

Bagi sesi pertama, Wilson Banyui dari Ministri Kehidupan Keluarga St Theresa Serian berkongsi tentang panggilan kepada perkahwinan atau kehidupan berumahtangga. 

Doa ‘Taizé’ khas untuk panggilan juga telah diadakan pada sesi seterusnya pada jam 8 malam. 

Pada hari kedua program tersebut, sesi seterusnya disambung lagi bersama Sr Delicia dari perkumpulan Sisters of St Francis of Sarawak (SSFS) tentang kehidupan religius. 

Dalam ceramahnya, Sr Delicia juga berkongsi tentang perjalanan hidupnya sebelum melafazkan janji kaul kekal sebagai seorang rohaniwati atau Sister

Tambahan itu, beliau juga menyatakan bahawa pokok utama hidup sebagai seorang religius adalah kebersamaan, dan doa adalah satu perkara wajib yang perlu dilakukan sebelum melakukan apa-apa pekerjaan. 

Beliau juga menerangkan tentang satu ciri kehidupan konsekrasi, iaitu ‘discerning’, dan menerangkan langkah-langkah yang perlu dilalui oleh seorang wanita yang serius dalam menjawab panggilan untuk menjadi seorang Sister.

Tayangan video pentahbisannya sebagai seorang Sister turut ditayangkan pada akhir sesi beliau. 

Seterusnya, sesi ketiga disampaikan oleh Fr Davie berkaitan dengan Priesthood Life (Kehidupan Kepaderian), di mana beliau juga telah berkongsi pengalamannya sepanjang proses menjawab panggilannya. 

Beliau turut menerangkan maksud perkataan VOCARE, iaitu TO CALL, dalam bahasa Latin yang bermaksud dipanggil. 

Beliau juga menerangkan empat tonggak bagi pembentukan imam atau paderi, iaitu manusiawi (human), rohaniah (spiritual), intelektual (intellectual) dan pastoral. 

Pada masa yang sama, beliau juga menerangkan perbezaan di antara paderi keuskupan dengan dan paderi religius. 

Untuk sesi terakhir, Katekis Nickholas telah dijemput untuk memberi perkongsian tentang panggilan sebagai seorang katekis.

Beliau menceritakan tentang perjalanan hidupnya sebagai seorang katekis di Paroki St Theresa Serian. 

Tujuan program ini secara amnya untuk membantu anak-anak muda menanggapi bagaimana Tuhan bekerja di dalam kehidupan mereka dan menjawab-Nya. 

Program ini diakhiri dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Davie dan dihadiri penduduk kampung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.