Oleh Stephanie Endik Raphael
SARATOK — Pada 19 hingga 21 Januari 2024, Keuskupan Agung Kuching mengadakan program “Youth Initiative: Beyond” di Rumah Panjang Jackyson, Sungai Jaong, Ulu Roban.
Ia merupakan aktiviti anjuran bersama Komisi Belia Keuskupan Agung Kuching (KAYC) dengan kerjasama belia dari paroki, Komisi Pastoral Keuskupan Agung Kuching dan Pelayan Belia dari pelbagai keuskupan di Malaysia.
Program itu dihadiri Maria Amella selaku wakil KAYC yang berperanan sebagai “Mission Coordinator”, Sr Noemi Meija, FSIC dari Keuskupan Sandakan, dan Joshua Joseph Bouniu dari Keuskupan Kota Kinabalu sebagai “Mission Guide”.
Selain itu, Fr Henry Jimbey, Seminarian Cantona dan Katekis Petrus Fazli turut menyertai program itu.
Program itu dijalankan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkenaan dengan iman kepada golongan yang berasa “kekurangan” selain memberi kesedaran tentang tanggungjawab sebagai pengikut Kristus dalam Gereja.
Program “Kuching Initiative” itu disertai tujuh orang muda dari Gereja St Ignatius, Saratok serta umat di Rumah Panjang TR Jackyson, Sg Jaong, Ulu Roban.
Program dimulakan dengan ketibaan para peserta misi pada jam 7.00 malam, diikuti dengan makan malam bersama komuniti.
Seusai makan malam, program diteruskan dengan aktiviti suai kenal bersama pasukan Program “Kuching Initiative”.
Aktiviti pada malam itu diakhiri dengan doa malam dan para peserta bersurai bersama keluarga angkat yang telah ditetapkan sebelum itu.
Pada hari kedua, program bermula dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Henry.
Seterusnya, program itu diteruskan dengan pelbagai aktiviti yang dibahagikan kepada tiga bahagian.
Bahagian pertama adalah perkongsian tentang “Kita Sebagai Gereja” yang diikuti dengan aktiviti berkumpulan.
Bahagian kedua adalah “Dialog sebagai keluarga Kristus” yang merupakan pengisian khas bersama dengan “Mission Partners” untuk berkongsi pengalaman mereka melayani dan menyertai program gereja.
Seterusnya, program “Kuching Initiative: Beyond” itu turut dimeriahkan lagi dengan aktiviti bersama keluarga angkat.
Para belia serta umat di rumah panjang berkenaan berkumpul bersama untuk aktiviti riadah dan menyediakan makan malam.
Para peserta turut dibawa melawat tapak gereja baharu yang masih dalam proses pembinaan.
Aktiviti program pada malam tersebut diakhiri dengan Bahagian Ketiga: Evaluasi.
Semua “Mission Partners” telah diberikan borang soal selidik untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai program yang telah dijalankan itu.
Seterusnya, semua peserta bersama-sama menikmati jamuan makan malam.
Program itu juga dimeriahkan lagi dengan aktiviti ‘ngetas ranyai’ yang diadakan oleh umat rumah panjang berkenaan.
Keesokannya, rombongan program “Kuching Initiative” itu berangkat ke Gereja St Ignatius, Saratok untuk merayakan Misa Kudus, diikuti sarapan pagi bersama komuniti gereja.