Oleh Dominik AK Jilis
KOTA PADAWAN — Pada 8 dan 9 Februari lalu, Pelayanan Belia Paroki telah mengadakan program kepimpinan belia di Pusat Retreat Greccio.
Seramai 33 orang belia yang terdiri daripada pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dari Pelayanan Belia Katolik Kampung dan Taman mengambil bahagian dalam pelayanan selama dua hari itu.
Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan di antara para pemimpin belia kampung dan taman, selain mengenal pasti masalah yang dihadapi belia di kawasan mereka.
Sepanjang tempoh dua hari itu, pelbagai saranan, langkah dan tindakan telah diajukan untuk membangkitkan semula semangat belia dalam pelayanan gereja.
Wakil Komisi Belia Keuskupan Agung Kuching turut diundang ke program tersebut untuk memberi pendedahan kepada para peserta.
Pada hari pertama, Fr Ramon telah menyampaikan sesi tentang pelayanan dan sikap yang perlu ada pada seorang pemimpin dengan menerapkan 4C (Connection, Compassion, Communion & Communication) dan 4S (Self Spiritual, Self-growth Matters, Solidarity Matters & Service Matters).
Sesi seterusnya dilanjutkan oleh Saudari Maria yang menerangkan struktur belia di bawah naungan keuskupan agung serta memberi sedikit tugasan untuk perbincangan para peserta.
Pada sebelah malam pula telah diadakan doa Taize.
Pada hari kedua, Misa Kudus telah dirayakan oleh Friar Don Don Ramerez.
Selaku penasihat belia Paroki St Ann Friar Don Don Ramerez turut memberi ceramah mengenai kepimpinan belia di mana topik yang telah disampaikan sangat bersahaja namun memberi impak positif kepada semua peserta.
Antara yang ditekankan adalah sikap dan tindakan sebagai pemimpin dalam usaha membantu gereja.
Sepanjang dua hari di Pusat Retreat Greccio, para peserta telah dilayan dengan sangat baik oleh biarawati di pusat tersebut.
Pengisian program yang santai dengan kegiatan ‘team-building’, ‘sing along’ serta puji dan sembah yang dipimpin oleh Saudara Gregory Roy, Saudara Dellon dan Saudari Adeline dari Kampung Sarig telah merapatkan lagi hubungan sesama belia untuk mencapai objektif program.