Program Formasi Ketua Sembahyang Paroki Sacred Heart

BERDOA SELALU… Para peserta bergambar bersama rektor Paroki Sacred Heart, Fr Felix Au.

KOTA SENTOSA — Komiti Pembentukan Iman Paroki Sacred Heart, Kota Sentosa, telah mengadakan Program Rekoleksi, iaitu Formasi untuk Ketua Sembahyang, pada 29 Jun 2024 di Chapel Immaculate Conception, Kampung Sudat.

Tujuan program tersebut adalah untuk memberi panduan kepada ketua sembahyang dalam pelayanan mereka memimpin doa di kampung dan taman perumahan masing-masing.

Program ini telah disertai seramai 207 ketua sembahyang dari kampung dan taman di bawah Paroki Sacred Heart, Paroki St Mark Batu Kawa, Iban Apostolate Katedral St Joseph, dan juga beberapa rakan dari Gereja Holy Family, Betong.

Formasi ini dimulakan dengan doa pembukaan oleh Rektor Paroki Sacred Heart, Fr Felix Au, yang kemudian memberikan perkongsian kepada para peserta.

Sesi pertama disampaikan oleh Sr Susan Dulang, iaitu tentang ‘Upacara Ibadat untuk Ketua Sembahyang’.

KEKALKAN ADAT BAIK… Ceramah bagi Sesi 2 disampaikan oleh Catherine Entian.

Sesi kedua diteruskan dengan topik ‘Makna Ngetas Ulit dan Ngupah Tebalu’ yang disampaikan oleh Catherine Entian, yang turut membuat demonstrasi penyediaan ulit.

Dalam ceramahnya, beliau memberitahu bahawa upacara ‘ngetas ulit’ dan ‘ngupah tebalu’ adalah penting bagi mengekalkan adat sedia ada walaupun kita sudah beragama Katolik.

Adat sedia ada yang baik harus dikekalkan selaras dengan ajaran Gereja Katolik.

Setelah tamat sesi kedua, Jose Geda selaku Pengerusi Komiti Pembentukan Iman Paroki Sacred Heart dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada penceramah yang telah menyampaikan perkongsian kepada ketua-ketua sembahyang pada hari itu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para peserta yang telah hadir dan berharap agar semua ketua sembahyang dapat menggunakan panduan yang telah dikongsikan dalam pelayanan mereka sebagai pemimpin doa di kampung dan kumpulan Blok Rosari di taman perumahan masing-masing.

Formasi ini ditamatkan dengan doa penutupan, disusuli dengan jamuan makan tengah hari di Dewan Serba Guna Kampung Sudat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.