Oleh Jessica Ruja anak Raphael
SARATOK — Pada 10 Mac yang lepas, belia St Ignatius, Saratok telah menganjurkan program Doa Taizé di rumah panjang Sg. Jaong Ulu Roban.
Dengan bertemakan ‘Air Kehidupan’ yang diambil dari Injil Yohanes 4:10-14, program seumpama ini bertujuan untuk mengajak semua umat merenung kehidupan dan keperibadian diri sepanjang musim Lent.
Sehubungan itu, program ini mampu mendedahkan umat dan belia kepada perhubungan baik serta mesra dan kesatuan bersama Tuhan bagi mempersiapkan diri memasuki musim Lent.
Bermula tepat jam 6.30 petang, program ini berjaya menarik umat dan belia yang datang dari Gereja St Ignatius, Saratok serta rumah panjang Sg. Pasir dan Sg. Jaong.
Antara aktiviti yang dijalankan dalam program ini termasuk nyanyian bersama serta acara ice breaking yang diketuai Natalie Serani dan Gabriel Ating.
Sementara itu, program utama iaitu Doa Taizé bermula pada jam 8.00 malam.
Antara pengisian program lain adalah doa pembukaan oleh Ivor Kana dan perkongsian pengalaman oleh Fr Jerome Juleng.
Program ini juga memberi peluang kepada umat untuk merenung tema daripada bacaan Injil, dan memanjatkan doa peribadi di hadapan salib.
Selain itu, perkongsian pengalaman daripada Roselinder John telah menyerikan program ini kerana perkongsiannya menyentuh perasaan.
Program ini telah diakhiri dengan jamuan persaudaraan dan sesi bergambar bersama.