Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria rasa damai dalam doa

Mdm Gloria Tiwet

KUCHING — Rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Bidayuh, berbangga dengan peantikan Puan Gloria Corina Peter Tiwet sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria. Beliau merupakan wanita Bidayuh pertama yang dilantik untuk menjadi seorang utusan Malaysia.

Jemaat Katolik dalam Keuskupan Agung Kuching turut rasa gembira. Gloria merupakan seorang anggota paroki Katedral St Joseph dan menghadiri Misa Ahad bersama keluarganya.

Dilahirkan pada 1972, Gloria adalah anak keempat daripada enam orang anak kepada Peter Tiwet, 74 tahun, dan Lucy Rippiang, 72 tahun. Kedua-dua ibu bapa berasal dari Singai, Bau. 

Gloria dan adik beradiknya membesar dan mendapat pendidikan mereka di Kuching. Gloria menerima pendidikan rendah dan menengah masing-masing di SRB dan SMB St Teresa. Selepas Tingkatan Enam di Sekolah Menengah St Joseph, beliau melanjutkan pelajaran dalam Sains Politik di Universiti Sains Malaysia (USM), Penang. 

Pada zaman sekolah menengah, Gloria bergiat aktif dalam organisasi ‘Young Christian Students’ (YCS).

“YCS adalah keluarga bagi saya kerana YCS St Teresa dan YCS St Joseph dahulu selalu mengadakan program bersama,” katanya kepada Today’s Catholic dalam satu temu ramah pada 24 Mac lepas. 

Air mata yang bergenangan membayangkan betapa beliau amat menyayangi YCS. 

“Ketika saya dalam Tingkatan Empat, saya membantu sebagai pembaca pada waktu Doa Pagi. Ketika saya membuat pembacaan pada pagi tadi dalam Misa, ia ternyata nostalgik,” kata Gloria.

Mdm Gloria Tiwet bergambar bersama Uskup Agung Simon Poh dan YCS yang bernyanyi dalam koir semasa Misa Kesyukuran.

Uskup Agung Simon Poh merayakan Misa Kesyukuran untuk Gloria dan keluarga serta rakan-rakannya pada pagi 24 Mac.

“Aktiviti kami (dalam YCS) khususnya memberi tumpuan kepada usaha menyokong satu sama lain dan berkhidmat kepada masyarakat,” kata Gloria.

Aktiviti lain termasuk mengutip dana daripada keluarga, rakan-rakan dan orang ramai pada musim Lent, melayani dalam koir, kerja sukarela dan lawatan ke Cheshire Home dan sebagainya, selain menyertai program belia di Bau.

Ketika beliau pertama kali mengenali Uskup Agung Simon Poh dan Father John Chong, ketika kedua-duanya masih seminarian, kedua-dua mereka bekerja dengan golongan belia.

Gloria sentiasa percaya bahawa pendidikan adalah cara untuk maju ke hadapan. Ibu bapanya memainkan peranan penting di dalam kejayaannya pada hari ini.

“Ketika saya muda, ibu bapa saya, terutamanya bapa saya, memastikan kami fasih berbahasa Inggeris,” kata Gloria.

“Pada waktu malam, kami akan menonton berita dalam bahasa Inggeris, membaca akhbar Inggeris dan bermain ‘scrabble’.”

Apa yang beliau lihat dalam televisyen ketika beliau berusia sembilan tahun menjadi impiannya.

“Saya melihat seorang wanita menerima skrol daripada Yang Di-Pertuan Agong. Sebagai seorang kanak-kanak perempuan yang kecil, saya juga mahu menjadi seperti wanita itu untuk berjumpa dengan raja. Impian itu kekal bersama saya,” kata Gloria.

Beliau seterusnya mengejar cita-cita untuk menjadi wanita yang beliau lihat dalam televisyen, sesuatu yang sudah menjadi realiti.

“Saya menyertai perkhidmatan diplomatik pentadbiran sejurus selepas saya lulus dari USM. Tahun ini adalah tahun ke-22 saya dalam perkhidmatan. Ia sangat mencabar, memuaskan hati, banyak tangisan dan titik peluh, tetapi saya percaya bahawa segalanya itu adalah demi tujuan yang baik,” katanya.

Pada 12 Februari lalu, Gloria menerima instrumen pelantikannya sebagai utusan Malaysia daripada Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara.

Gloria ditugaskan ke Santiago, Chile pada 2002-2003, Buenos Aires, Argentina pada 2003-2006, dan Stockholm, Sweden pada 2011-2015. 

Sebelum beliau ditugaskan ke Nigeria, beliau menjadi pengarah Pejabat Wilayah Sarawak dalam Kementerian Luar.

Ditanya mengenai cabaran yang beliau hadapi ketika di bumi asing, beliau berkata setiap negara adalah berbeza.

“Ia bergantung kepada negara berkenaan – rakyat, kebudayaan, etika kerja, cuaca, makanan, persekitaran – dari segi kerja, kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Kita tidak dapat meramalkannya.”

Mengenai tugasan baharunya ke Nigeria, beliau sudah mempersiapkan diri.

“Saya sudah bersedia dari segi pekerjaan. Saya menyediakan diri secara mental dan fizikal bagi apa sahaja yang mungkin akan berlaku nanti. Sebagai Pesuruhjaya Tinggi, saya membawa nama negara dan Raja bersama saya. Saya percaya dengan iman dan doa, segalanya akan berjalan dengan baik.”

Kepercayaannya kepada Tuhan berkembang dan menjadi matang menerusi YCS. Kepercayaan Katoliknya sangat penting bagi dirinya. Tuhan sentiasa menjadi sumber kekuatannya.

“Sepanjang perjalanan hidup saya, Tuhan ada bersama saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada YCS bagi program yang telah membina diri saya. Terdapat elemen doa untuk membina kepercayaan kita. Apabila kita semakin tua, kita terus mengamalkan apa yang telah kita pelajari dan meletakkan kepercayaan kepada Tuhan,” kata Gloria.

Bagi seorang Katolik yang dihantar ke negara seperti Nigeria di mana penindasan ke atas orang Kristian wujud, tidakkah Gloria rasa bimbang?

Jawapannya adalah ya, tetapi beliau percaya kepada pelindungan dan bantuan Tuhan.

“Saya memang rasa bimbang jika saya terlalu memikirkannya. Terdapat lebih 100 suruhanjaya tinggi di Abuja,” katanya.

“Jangan bimbang mengenai perkara yang tidak wujud dalam realiti. Rasailah kedamaian. Kedamaian boleh diperolehi dalam doa.”

Pada hari ini, ramai ibu bapa Katolik menganggap mencapai kecemerlangan akademik adalah lebih penting berbanding membantu anak-anak mereka membina perhubungan dengan Tuhan. Ini ternyata dalam keahlian yang semakin menurun dalam YCS serta pembabitan yang kurang dalam aktiviti belia.

Mengenai perkara ini, Gloria ada pesanan untuk ibu bapa.

“Perkembangan kanak-kanak tidak tertumpu kepada akademik sahaja tetapi holistik. Ya, mereka perlu belajar dengan tekun dan mendapatkan gred yang baik, tetapi itu bukan segalanya. Kita juga perlu menyediakan masa dan ruang untuk anak-anak kita supaya mereka dapat berkembang dari segi rohani.”

“Ibu bapa, luangkan masa bersama anak-anak anda, sertai mereka dalam aktiviti mereka. Kadang-kadang apabila kita sudah berusia, kita lupa betapa seronoknya kita ketika kita muda. Sebagai ibu bapa, kita perlu membimbing anak-anak kita ke jalan yang betul, dan jalan yang betul adalah untuk mendekatkan lagi mereka kepada Tuhan.” 

Kepada pelajar dan belia, beliau berkongsi rahsia kejayaannya.

“Fokus kepada apa yang anda ingin capai, tetapi jangan sisihkan orang yang anda sayangi. Ibu bapa anda akan sentiasa ada di sana untuk membimbing anda. Berdoa kepada Tuhan, Dia akan sentiasa memimpin anda. Apa pun yang berlaku sepanjang perjalanan, percayalah bahawa sebab sentiasa ada kenapa sesuatu itu berlaku, dan lambat-laun anda akan faham,” katanya.

Gloria menggalakkan pelajar untuk menyertai YCS.

“YCS memberi kita kestabilan dan kepercayaan. Menerusi aktivitinya, anda berpeluang untuk berinteraksi dengan ramai rakan anda, tetapi pada akhirnya, ia bergantung kepada anda dan Tuhan. Ini adalah perjalanan anda. Anda memerlukan kekuatan dalaman untuk melakukan perjalanan ini. Nilai yang anda pelajari dalam YCS akan membimbing perjalanan anda sepanjang kehidupan dewasa anda.”

Gloria berlepas ke Nigeria bersama suaminya, Raj, pada 3 April.

Audrey Yu (Terjemahan)


Today’s Catholic Vol.30 No.1 April 2018


Laporan dalam Bahasa Inggeris: Malaysian High Commissioner to Nigeria finds peace in prayer

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.