Pesta Kerahiman Ilahi di Sg Ara cipta suasana doa dan harmoni

PULAU PINANG — Perarakan Kerahiman Ilahi pada April 7, sejauh 2.65km bukan sahaja disertai oleh para devosan Kerahiman Ilahi tetapi juga disaksikan oleh masyarakat di sekitar Sg Ara, Pulau Pinang.

Dengan tema “Tiket: Amanah dan Doa. Destinasi: Kasih dan Belas Kasihan”, Pesta Kerahiman Ilahi di Gereja Kerahiman Ilahi (CDM) memulakan persiapan dengan novena pada hari Jumaat Agung hingga ke hari perayaan, bagi membimbing umat beriman mengalami kasih Yesus yang tidak terbatas.

Pas tiket diedarkan sebelum minggu perayaan dan dicop setiap hari semasa perayaan, memupuk penglibatan di kalangan umat serta mendorong umat dari jauh dan dekat menyelami lebih dalam kebaktian Kerahiman Ilahi.

Perayaan yang dianjurkan dengan teliti itu adalah di bawah bimbingan paderi paroki CDM, Fr Michael Raymond, OFM Cap.

Selama seminggu, Misa harian dan Misa Kudus pada hari perayaan turut dipimpin oleh beberapa orang paderi iaitu Fr Fabian Dicom dari Katedral Roh Kudus dan Fr Esmond Chua, OFM, dari Gereja Kristus.

Penziarah dari Masai, Johor, dan Ipoh, Perak, turut hadir menyertai umat dari pelbagai latar belakang dalam pelbagai aktiviti misalnya menonton filem pendek untuk kanak-kanak dan dewasa, pertandingan mewarna keluarga, sesi gerai foto, permainan dengan pelbagai hadiah dan minuman harian.

Kemuncak perayaan ialah penghormatan terhadap relik, benediktus dan perarakan lebih dua kilometer sambil mendaraskan kaplet Kerahiman Ilahi dalam empat bahasa.

Umat mengambil giliran dalam membawa imej Kerahiman Ilahi manakala Fr Michael dan Fr Desmond Jansen, secara bergilir membawa Ekaristi Kudus dalam perarakan tersebut.

Fr Michael menyatakan kegembiraan melihat paroki itu meriah dengan kehadiran penziarah dan umat paroki.

“Marilah kita sentiasa mencari wajah Tuhan dan semoga perayaan Kerahiman Ilahi memberi kita berkat mendekatkan diri kepada Tuhan, mendapat kedamaian bersama-Nya dan satu sama lain.

“Kepada semua penziarah yang menyampaikan permohonan dan doa, percayalah bahawa Tuhan kita yang pengasih akan sentiasa mengabulkan permintaan kita!” kata Fr Michael.

Herald Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.