Pesta Jualan kembali rancakkan Perayaan Pesta Santa Anna 2022

POTONG REBEN TANDA RASMI ... Pemotongan reben disempurnakan oleh Uskup Agung Simon Poh, Friar Don Don Ramerez OFM, Friar David Au OFM, Friar Aiden Peter Jr OFM, Fr Alvin Ng SJ dan Fr Robert Jissem sebagai simbol perasmian Hari Pesta Jualan sempena Perayaan Pesta Santa Anna 2022.

Oleh Irvina Joan

KOTA PADAWAN — Pesta Jualan sempena Perayaan Pesta Santa Anna (SAFD) 2022 yang dianjurkan pada 23 dan 24 Julai lalu telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dan sangat meriah dengan kehadiran ramai umat.

Penganjuran Pesta Jualan ini adalah usaha untuk menjana dana bagi pembiayaan Projek Pembinaan Kompleks Gereja St Ann Fasa Ke-2 yang merangkumi Blok Pentadbiran dan Blok Kelas bagi tujuan kelas katekisme serta kegunaan lain.

USKUP KUNJUNGI UMAT ...Uskup Agung Simon Poh meluangkan masa untuk mengunjungi umat di setiap gerai jualan, ditemani Friar Don Don Ramerez OFM bersama ahli- ahli Jawatankuasa SAFD 2022.

Pada tahun ini, Pesta Jualan SAFD 2022 menampilkan sebanyak 100 gerai jualan yang bukan sahaja menawarkan barangan seperti makanan, minuman dan pakaian, malah turut mempromosikan perkhidmatan agensi-agensi tempatan seperti fotografi, pelancongan, dan pemeriksaan kesihatan.

Selain penjualan produk, barangan dan perkhidmatan, pengisian program bagi Pesta Jualan SAFD 2022 turut padat dengan beberapa pertandingan anjuran Parish Youth Ministry seperti Pertandingan Karaoke Lagu Rohani Kanak-kanak, Pertandingan Koir Lagu Rohani Antara Zon, Pertandingan Tarian Rampaian, dan Pertandingan Bunga.

Kesemua pertandingan tersebut telah berlangsung dengan jayanya di Pentas Utama SAFD dengan penyertaan peserta yang menggalakkan dari setiap zon serta sokongan yang padu dari umat.

GAMBARAN PERPADUAN … Pertandingan Tarian Rampaian anjuran Parish Youth
Ministry di Pentas Utama SAFD 2022.
NYANYI PUJIAN KEPADA TUHAN … Pertandingan Koir Lagu Rohani Antara Zon di
bawah naungan Paroki Santa Anna anjuran Parish Youth Ministry di Pentas Utama SAFD 2022.

Meskipun penganjuran semula perayaan Pesta Santa Anna diadakan dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP), kehadiran umat yang meraikan perayaan ini menggambarkan kesungguhan mereka untuk kembali ke gereja kerana kerinduan kepada Tuhan.

Dalam Misa Kesyukuran Pesta Santa Anna, Pemangku Rektor Paroki St Ann, Friar Don Don Ramerez OFM, menyuarakan keterujaannya apabila Perayaan Pesta Santa Anna dapat dianjurkan semula secara fizikal setelah mengalami pandemik selama dua tahun.

“Pada hari ini kita berterima kasih kepada Tuhan kerana telah memberikan kita banyak berkat yang begitu indah dalam hidup sehingga memberikan kita damai dan sukacita,” katanya.

Dalam pada itu, Hari Komuniti Zon sempena perayaan Pesta Santa Anna juga dianjurkan bagi setiap zon di bawah naungan Paroki Santa Anna, iaitu Zon Teng Bukap 1, Zon Serin dan Zon Taman 1.

Jawatankuasa SAFD 2022 turut mengalu-alukan kehadiran umat ke Hari Komuniti Zon yang akan berlangsung di Zon Siburan pada 28 Ogos ini di Kampung Sinjok, Zon Teng Bukap 2 pada 4 September akan datang di Kampung Payang, Zon Puncak Borneo pada 25 September di Kampung Bayur, Zon Penrissen pada 8 Oktober di Kampung Bunuk, dan Zon Taman 2 pada 6 November 2022 di Gereja St Ann, Kota Padawan.

Selain itu, program kerohanian turut dilaksanakan sebagai penghormatan kepada penaung Paroki, Santa Anna, iaitu Ibadat Novena selama sembilan hari kepada Santa Anna yang bermula pada 14 Julai hingga 22 Julai  lalu, diikuti Misa Triduum pada 20 Julai hingga 22 Julai.

Seterusnya, pada 24 Julai lalu, ramai umat memenuhi Gereja Santa Anna bagi Misa Kesyukuran yang dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh bersama Friar Don Don, Friar David Au OFM, Friar Aiden Peter Jr OFM, Fr Alvin Ng SJ dan Fr Robert Jissem.

Kemuncak bagi Perayaan Pesta Santa Anna adalah Majlis Makan Malam Kesyukuran SAFD yang akan diadakan pada 29 Oktober akan datang, selain Cabutan Tiket Bertuah yang akan diadakan pada 20 November 2022.

Diharapkan lebih ramai umat di bawah naungan Paroki Santa Anna mahupun umat dari luar paroki akan turut serta untuk memberi sokongan dan menyemarakkan program-program tersebut bagi menjayakan usaha untuk mengutip pembiayaan bagi Projek Pembinaan Kompleks Gereja St Ann Fasa Ke-2. Bagi umat yang berminat untuk membeli tiket bagi Majlis Makan Malam Kesyukuran SAFD dan tiket bertuah SAFD, sila dapatkan tiket tersebut di Pejabat Paroki St Ann, Kota Padawan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.