Oleh SSFS
KUCHING — Seramai 25 wakil delegasi rohaniwati (Sister Delegates) mengambil bahagian dalam Persidangan Agung ke-13 Kongregasi ‘Sisters of St Francis of Sarawak’ (SSFS). Ia diadakan di Biara Immaculate Conception, Jalan Sentral, Padungan, Kuching, pada 3–10 Disember 2024. Tema keseluruhannya adalah ‘Advancing our Union with Christ towards the Centenary and Beyond’ (Memajukan Kesatuan kita bersama Kristus Menuju Ulang Tahun ke-100 dan Seterusnya).
Bagi meraikan ulang tahun ke-800 stigmata Santo Francis di Assisi, tema ‘You Are Love’ (Kamu Adalah Kasih) turut difikirkan. Persidangan itu, yang dengan sukacita menantikan Ulang Tahun ke-100 Kongregasi pada 2028, bermula dengan pembentangan ringkas tentang sejarah kongregasi kami. Ia memberikan gambaran kepada peserta tentang asal usul kongregasi kami dan di mana kami berada sekarang. Ini diharapkan dapat memperkasakan kongregasi kami untuk melakar hala tuju ke masa hadapan—menuju Ulang Tahun ke-100, Persidangan Agung selepas ini, dan seterusnya.
Didahului oleh retreat selama tiga hari bermula pada petang 29 November hingga 2 Disember 2024, Persidangan Agung ke-13 ini mendapat inspirasi daripada Fasal 21 Injil Yohanes. Kita dapat memahami keputusan tujuh murid berkenaan untuk “menangkap ikan”, yang membayangkan setidak-tidaknya rasa putus asa atau hilang harapan. Mereka tidak dapat melihat sebab untuk terus mengikut Yesus. Kembali kepada pekerjaan lama untuk menyara hidup demi masa hadapan mereka kelihatan seperti pilihan harapan terbaik bagi mereka dalam keadaan mereka ketika itu.
Namun di sini sekali lagi, harapan mereka punah, kerana kerja keras mereka selama ini tidak menghasilkan apa-apa! Namun kerja yang tidak membuahkan hasil ini sebaliknya berubah apabila mereka “menebar jala mereka ke sebelah kanan perahu” seperti yang disuruh oleh Yesus: mereka menangkap 153 ekor ikan besar. Selepas malam yang tidak membuahkan hasil, tangkapan luar biasa ini membolehkan mereka untuk mengenali Yesus: “Ia adalah Tuhan”, kata murid yang dikasihi kepada Simon Petrus. Pilihan asas bagi mereka adalah sama ada untuk bekerja dengan Tuhan atau tanpa Tuhan.
Dua tindakan murid-murid itu seterusnya menandakan pilihan mereka untuk kembali kepada Tuhan dan bekerja bersama-Nya: (1) Petrus terjun ke dalam laut untuk melangkah ke arah Tuhan yang berada di pantai; dan (2) murid-murid lain juga menarik jala mereka, yang penuh dengan ikan, ke pantai. Ajakan Yesus kepada mereka, “Marilah dan bersarapan”, menunjukkan bahawa Dia menerima kepulangan mereka. Dialog-Nya dengan Simon Petrus, anak Yohanes, mendorong-Nya untuk mengamanahkan kepada murid itu satu pelayanan pastoral yang amat penting bagi menjaga kawanan domba-Nya. Pelaksanaan pelayanan ini menuntut kasih, tidak kira apa pun tahap kasih ini.
Kita membaca dalam Injil Yohanes, fasal 21, satu kisah tentang Yesus memulihkan pemuridan kepada murid-murid-Nya yang telah mengecewakan-Nya.Walaupun Simon Petrus tiga kali menafikan-Nya sebelum itu, Yesus tetap meletakkan kepercayaan-Nya kepada Simon Petrus apabila Dia mengamanahkan penjagaan kawanan domba-Nya kepadanya. Kongregasi kami mendapatkan keberanian daripada pembacaan kisah ini.
Laporan daripada berbagai komisi memberikan gambaran yang baik tentang kekuatan dan kelemahan kongregasi kami. Ia juga menunjukkan cabaran yang dihadapi kongregasi kami, terutamanya dari segi jumlah rohaniwati kongregasi yang semakin berusia tanpa peningkatan selari anggota aktif, selain pengaruh sekularisme dan trend dunia.
Daripada kisah dalam Injil Yohanes 21, kongregasi mendengar Yesus mengajak kami untuk bersarapan bersama-Nya dan memulihkan pemuridan-Nya, selain menyeru kepada kami untuk meneruskan misi dan pelayanan sebagai rohaniwati SSFS. Kami mengaku kami ada kelemahan dan kegagalan, namun kami enggan membiarkannya untuk membayangi kekuatan kami dan menyelubungi kami dengan keputusasaan.
Sebaliknya, kami mendapat inspirasi daripada para rohaniwati sebelum ini yang mengharungi semua badai untuk mengikut jejak langkah Bapa Serafik kami, Santo Francis di Assisi, dan menyahut panggilan Tuhan untuk “memulihkan Gereja-Ku”. Merayakan stigmata Santo Francis dalam ibadat yang bermakna dan penuh doa mengingatkan kami kepada hakikat bahawa beliau menerima penderitaan Yesus yang cuba dicontohi para rohaniwati sebelum ini.
Dengan kepercayaan kepada Roh Kudus yang diberikan oleh Tuhan untuk menyertai dan memimpin kami, kongregasi kami menguatkan semangat dan keberanian untuk menyahut dengan komitmen yang lebih tinggi kepada panggilan Tuhan bagi kami untuk “memulihkan Gereja-Nya” pada hari ini, tidak kira apa pun cabaran yang mungkin melibatkan tugasan ini.
Dengan mengambil kira perkara itu, kami seterusnya memilih Ketua Pemimpin, Timbalannya dan Majlis, untuk memimpin kami dalam penggal seterusnya selama enam tahun. Kami memilih semula Sr Rose Wong sebagai Ketua Pemimpin, Sr Irmina Peter sebagai Timbalan Ketua Pemimpin, Sr Agatha Ling sebagai Ahli Pertama Majlis, Sr Natasia Tay sebagai Ahli Kedua Majlis, dan Sr Catherine Uming Ahli Ketiga Majlis.
Didorong oleh kepercayaan dan pemulihan pemuridan Yesus kepada Simon Petrus, setiap daripada rohaniwati yang dipilih ini dengan rendah hati dan sepenuh hati menerima pemilihan mereka untuk menjaga kongregasi dan menggalakkan kami untuk menjaga orang lain dalam kasih seperti Kristus.
Dipenuhi dengan jaminan tentang bimbingan Roh Kudus, kami dengan yakin meluluskan Cadangan dan Ketetapan seperti yang dipersetujui.
Kongregasi SSFS kini menyerahkan Cadangan dan Ketetapan kami kepada doa perantaraan Bonda Perawan Maria sementara kami mula melaksanakannya dalam semangat FIAT bonda kepada Tuhan, dan kepada Bapa Serafik kami, Santo Francis, dan Santa Clara.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: 13th General Chapter of the Congregation of the Sisters of St Francis of Sarawak