Oleh Ivy Chai
KUCHING — Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) telah mengeluarkan kenyataan berikut sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia, yang ditandatangani Pengerusi CFM, Uskup Anglikan Philip Thomas dari Majlis Gereja-Gereja Malaysia, dan tiga naib pengerusi CFM, Uskup Roman Katolik Simon Poh, Uskup Anglikan Datuk Danald Jute, dan Reverend Eu Hong Seng daripada Persaudaraan Kristian Injili Kebangsaan.
PERSEKUTUAN KRISTIAN MALAYSIA
30 Ogos 2022
KENYATAAN MEDIA
HARI MERDEKA & HARI MALAYSIA 2022
RAKYAT MALAYSIA TEGUH BERSAMA
Rakyat Malaysia akan meraikan dengan sukacita dan gembira ulang tahun ke-65 Hari Merdeka pada 31 Ogos dan ulang tahun ke-59 pembentukan Malaysia pada 16 September dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’. Mewakili umat Kristian di Malaysia, Persekutuan Kristian Malaysia menjanjikan doa-doa kami yang berterusan kepada Tuhan Maha Besar untuk memohon keberkatan-Nya yang berterusan ke atas negara yang kita sayangi.
Rakyat Malaysia telah sama-sama menjadi lebih teguh selepas kita mengharungi impak dahsyat daripada pandemik COVID-19 yang menurut para pakar kesihatan masih berterusan dengan kemungkinan bagi kemunculan varian-varian baharu yang dapat mencetuskan huru-hara lagi ke atas kita.
Kita masih terhuyung-hayang daripada kesan-kesan virus COVID-19 yang telah menyebabkan kehilangan banyak nyawa, isu-isu kesihatan mental telah menyentuh ramai daripada kita, ada pula yang telah kehilangan pekerjaan dan pendapatan, dan kita mengalami kelembapan ekonomi sejak dua tahun yang lalu. Ekonomi kita telah menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan dan peningkatan yang sangat positif hanya kebelakangan ini. Walaupun demikian, kita masih menghadapi cabaran luaran yang telah menaikkan harga dan meningkatkan kos sara hidup yang menyusahkan golongan B40 dan malah kelompok M40 dalam kalangan rakyat kita.
Ketika beliau dilantik untuk menjadi Perdana Menteri pada Ogos lalu, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tema dasar kerajaan beliau, iaitu Keluarga Malaysia. Ini patut dipuji dan menyenangkan hati kerana ia fokus kepada dasar-dasar ekonomi, perniagaan dan sosial untuk membawa rakyat Malaysia sama-sama keluar daripada pandemik dan memasuki era pemulihan ekonomi bagi perniagaan dan peningkatan sosioekonomi bagi rakyat Malaysia selepas kita terpaksa mengalami kerugian kewangan dalam tempoh dua tahun itu.
Marilah kita mengingati pengalaman pandemik kita yang sama selama dua tahun lalu, bahawa kita memerlukan satu sama lain dan kita terus melambangkan cogan kata kebangsaan kita “Bersekutu Bertambah Mutu” untuk bersatu sebagai rakyat Malaysia kerana tanpa perpaduan itu, kita hanya akan terpisah dan berpecah-belah. Ingatlah bagaimana barisan hadapan kita cekal bekerja gigih untuk memastikan rakyat kita selamat dan sihat, dan agak ramai juga di antara mereka yang telah berkorban nyawa demi ramai orang. Ingatlah bagaimana jiran-jiran menghulurkan bantuan dari seberang pagar untuk memastikan jiran-jiran mereka selamat selain untuk berkongsi apa yang mereka miliki.
Kebelakangan ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menyokong konsep ‘tasamuh’ dalam Islam tentang toleransi atau keterbukaan fikiran untuk memastikan keamanan, keharmonian dan perpaduan kekal di negara kita, dan agar semua dapat menikmati kehidupan yang baik di bawah matahari Malaysia. Kami amat menggalakkan kerajaan dan semua rakyat Malaysia untuk pergi lebih jauh daripada toleransi kepada sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain, untuk meraikan kepelbagaian kumpulan etnik, kebudayaan, agama dan bahasa di Malaysia, dan terus membina jalinan persahabatan yang kuat dalam kalangan diri kita sendiri sebagai sebuah Keluarga Malaysia.
Maka itu kami menggesa kerajaan untuk terus menjaga semua rakyat Malaysia, dan terutamanya golongan yang memerlukan bantuan dan golongan terpinggir, khususnya kelompok miskin bandar, mereka yang kelainan upaya, masyarakat Orang Asli dan penduduk peribumi yang tinggal di kawasan pedalaman, supaya tiada yang ketinggalan. Dengan menjaga mereka yang paling memerlukan, kita menunjukkan bahawa kita adalah Keluarga Malaysia kerana setiap keluarga menjaga anggota-anggotanya sendiri, bermula dengan mereka yang paling memerlukan perhatian yang prihatin. Kita memuji tindakan kerajaan yang telah menambah 12 lagi kumpulan ke dalam kategori “kumpulan rentan” merangkumi golongan gelandangan dan mereka yang tiada kerakyatan. Maka itu, marilah kita melihat dasar-dasar yang adil dan saksama serta pelaksanaan dasar yang memastikan semua dapat menikmati hasil daripada menjadi anggota Keluarga Malaysia.
Sebagai Keluarga Malaysia, masyarakat Kristian masih merasai penderitaan anggota keluarga Amri Che Mat dan Pr Raymond Koh yang menurut SUHAKAM telah dipaksa untuk menghilangkan diri, dan keberadaan mereka masih tidak diketahui hingga ke hari ini. Demikian juga dengan Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu. Keluarga mereka masih bertanya dan meminta maklumat daripada kerajaan dan polis tentang keberadaan mereka. Mereka adalah anggota-anggota Keluarga Malaysia yang masih hilang. Pada waktu yang sama, janganlah kita lupa bahawa ramai lagi yang sudah mati dalam sel-sel polis dan pusat-pusat tahanan imigresen dalam keadaan mencurigakan yang memerlukan penjelasan kepada anggota keluarga mereka.
Kami dengan tegas menyeru kepada kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar dan mekanisme bagi membantu mereka yang telah menggunakan kebanyakan, jika tidak semua, wang simpanan peribadi dan wang persaraan mereka sejak dua tahun lalu disebabkan oleh kehilangan pendapatan dan perniagaan, supaya mereka diberi peluang untuk membina semula kewangan mereka. Ini adalah supaya mereka dapat bersara dengan selesa pada tahun-tahun senja dalam kehidupan mereka.
Pandemik telah menunjukkan bahawa kita perlu melabur dan membina kapasiti fizikal dan kakitangan penjagaan kesihatan di dalam sistem penjagaan kesihatan kita. Kita dapat melakukan ini dengan memberi sumbangan kepada Kertas Putih yang sedang disediakan oleh Kementerian Kesihatan supaya kita dapat memiliki sistem penjagaan kesihatan berkelas dunia yang dapat memenuhi keperluan semua pada waktu krisis pandemik dan cabaran yang serius untuk menjaga populasi yang semakin menua di Malaysia.
Kebelakangan ini, kita telah berdepan dengan realiti perubahan iklim yang memberi impak yang amat negatif sekali, kekurangan makanan dan air, dan keperluan bagi persekitaran yang selamat dan terjamin bagi semua di Malaysia. Kerajaan perlu menggerakkan pakar-pakar kita dan semua rakyat Malaysia untuk memastikan kita sudah menyediakan dasar dan mekanisme bagi menangani semua kemungkinan. Kita tidak boleh mengandaikan untuk hidup seakan-akan semua adalah baik-baik belaka kerana kita sudah menyaksikan masalah-masalah besar sedemikian berlaku setiap tahun.
Kita memerlukan para pemimpin kerajaan dan wakil-wakil rakyat yang bersatu padu dan fokus kepada kebaikan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia, dan tidak dilihat seakan-akan mereka bertengkar mengenai kepentingan peribadi dan parti mereka sendiri atau menambah kepada segelintir suara yang asyik mahukan pilihan raya umum diadakan awal. Atas perkara ini, kita berterimakasih kerana ada pemimpin politik yang memilih untuk bersatu dalam kedwipartian dengan menandatangani Memorandum Persefahaman Mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik supaya rakyat mendapat manfaat daripada Parlimen yang stabil dan pelaksanaan rang undang-undang yang baik seperti undang-undang antigangguan, undang-undang antilompat parti, dan mungkin nanti rang undang-undang untuk melarang merokok dan produk tembakau selain rang undang-undang pendanaan atau pembiayaan politik.
Kita amat memerlukan wakil-wakil kita dalam dewan perundangan dan agensi-agensi penguatkuasaan untuk meningkatkan lagi usaha bagi membasmi gejala rasuah dalam semua bentuk dan memastikan mereka yang bersalah dimasukkan ke penjara dengan segera.
Ahli-ahli politik kita perlu ingat dan mematuhi nasihat bijaksana daripada Raja-Raja kita yang sering menyeru dan menggesa para pemimpin politik untuk memikirkan tentang rakyat dan sama-sama bekerja demi Malaysia. Raja-Raja kita telah memimpin melalui teladan untuk menjamin keamanan, keharmonian, perpaduan dan kepelbagaian semua rakyat mereka. Daulat Tuanku!
Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita berdoa kepada Tuhan Maha Besar agar kebijaksanaan, kekuatan, keberanian dan kesihatan yang baik diberikan kepada Yang DiPertuan Agong, Raja-Raja, Yang di-Pertua Negeri, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, Premier, Ketua Menteri, Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Eksekutif Negeri, dan semua ahli Parlimen kita, wakil-wakil Dewan Undangan Negeri dan Wilayah, agar mereka dapat terus berkhidmat kepada rakyat dengan integriti serta keazaman yang kental untuk sentiasa menjaga kebaikan dan kesejahteraan semua rakyat di Malaysia.
“Keluarga Malaysia Teguh Bersama”
Ditandatangani
(Terjemahan)
Beritda dalam Bahasa Inggeris: Christian Federation issues joint Merdeka and Malaysia Day Message calling for strength in unity