Oleh Anthony Abong Narok
BAU — Gereja Blessed Sacrament di Kampung Bijuray Mongag-Kampung Pedaun Bawah, Krokong, di sini menyaksikan seramai 17 pasangan menerima Sakramen Perkahwinan pada 30 November 2024.
Pemberkatan dan Konvalidasi Perkahwinan para pasangan tersebut disaksikan oleh kaum keluarga dan sahabat handai.
Ia disempurnakan dalam Misa Kudus oleh Fr Paul Herry dari Gereja St Stephen di sini.
Pasangan yang terlibat dalam program ini terdiri daripada empat kampung dalam kawasan Krokong, iaitu Kampung Bijuray Mongag, Kampung Pedaun Bawah, Kampung Tringgus, dan Kampung Batu Sepit.
Konvalidasi Perkahwinan ini dirancang dan para penerima dibimbing oleh Katekis Francis Lehir dari Gereja St Stephen sejak Julai 2024.
Konvalidasi perkahwinan (marriage convalidation) adalah pengakuan dan pemberkatan perkahwinan sudah ada oleh Gereja Katolik.
Ia adalah proses pengesahan perkahwinan umat Katolik yang belum disahkan oleh Gereja Katolik.
Tujuannya agar pasangan yang menikah dapat mengambil bahagian dalam memberikan kesaksian kepada dunia tentang ikatan cinta kasih Kristus dengan Gereja.
Perkahwinan yang belum atau tidak disahkan oleh Gereja dapat menyebabkan orang Katolik berkenaan kehilangan beberapa hak sebagai anggota Gereja, seperti tidak dibenarkan menyambut Komuni Kudus, dan tidak boleh menerima sakramen lain.
Acara berakhir dengan sesi pemotongan kek di gereja dan majlis makan beramai-ramai bersama kaum keluarga dan semua umat yang hadir.