Perjalanan Iman Saya

Kesaksian katekumen dari RCIA yang berjaya menyiapkan kursus selepas lama tertangguh disebabkan oleh pandemik.


Zubrisky Bansang (kedua dari kanan)

Nama saya Zubrisky Bansang, sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Saya dilahirkan di dalam keluarga pagan yang kini menganut agama Kristian Anglikan. Sejak lahir, saya tidak pernah dibaptis sehinggalah saya mengikuti kelas RCIA 2019/2020.

Sebelum saya menyertai kelas RCIA, kehidupan saya sebelum menjadi seorang Kristian amat mencabar dari segi iman, kepercayaan dan kesabaran. Sikap saya dahulu sangat berbeza berbanding sekarang. Saya amat bersyukur di atas segala yang Tuhan telah kurniakan kepada saya dan keluarga. Kehidupan lebih tenang, harmoni dan terasa satu keajaiban telah berlaku kepada diri saya sendiri yang amat sukar digambarkan. 

Saya mengetahui serba sedikit mengenai Gereja Katolik dari isteri saya Suzi yang lahir di dalam keluarga Katolik.Saya dan isteri berkahwin dalam Gereja Katolik di Katedral St Joseph, Kuching. Selepas berkahwin dan mempunyai dua orang anak, sebagai seorang bapa dan ketua keluarga, saya bertanggungjawab memastikan anak saya dibaptis di dalam Gereja Katolik setelah mereka lahir. Seorang telah dibaptis di Katedral St Joseph Miri manakala seorang lagi di Katedral St Joseph Kuching. 

Semasa mengikuti kelas RCIA, saya bukan saja belajar menjadi seorang penganut Kristian tetapi juga menjalani kehidupan sebagai seorang Kristian. Dari situ, saya belajar tentang kepentingan mezbah dan kegunaannya di rumah. Pembelajaran bukan sahaja tentang Tuhan Yesus tetapi juga tentang Bonda Maria, Roh Kudus, Al-Kitab dan juga Gereja. Saya juga belajar mengenai Misa, Injil, 10 Perintah, sakramen-sakramen dan juga pelbagai doa misalnya Doa Bapa Kami dan Doa Salam Maria. Kesedaran saya makin terbuka kepada pengetahuan mengenai Tuhan Yesus, bagaimana ajaranNya, kehidupanNya dan lebih-lebih lagi pengorbananNya demi kita semua. 

Terima kasih saya ucapkan kepada semua fasilitator yang telah mengurus, membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada kami (Kelas St James) yang tidak terbalas. Tidak lupa juga dengan para paderi yang telah membaptis semua kami dari kelas RCIA 2019/2020. Terima kasih semua.

Pada 4 Disember 2020, saya akhirnya dibaptis setelah disahkan dan menerima Ekaristi Maha Kudus. Saya dilahirkan semula dalam Kristus. Maka bermulalah kehidupan baru saya dalam Roh Kudus.

Zubrisky Bansang


Berkat dorongan ahli keluarga tersayang, saya telah mengikuti Kelas IKD sesi 2019–2020 di Pusat Katolik St Colette Taman Malihah sebagai calon penguatan. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana, selepas sekian lama mencari, saya akhirnya menjumpai tempat yang sesuai untuk mengikuti kelas IKD.

Suami saya yang berasal dari mazhab Anglikan turut serta mengikuti kelas dan akhirnya diterima masuk ke dalam Gereja Katolik pada 11 Disember 2020, manakala anak-anak kami mengikuti Kelas Agama Hari Minggu pada tahun dan tempat yang sama. 

Dalam kelas IKD, saya banyak mempelajari tentang cinta kasih Tuhan terhadap umat manusia. Tuhan Yesus Kristus adalah Maha Berkuasa, Maha Mengasihi, Maha Mengampuni dan penuh kesabaran sehingga kita memiliki harapan yang tinggi untuk beroleh penyelamatan yang kekal di akhirat nanti.

Pemberkatan perkahwinan kami juga dapat dinikmati dengan penuh kebanggaan dan kepuasan di Katederal St Joseph pada 11 Januari 2020. 

Puji Tuhan kerana selepas itu saya dapat menerima Komuni Kudus yang merupakan kemuncak kepada keimanan saya. Saya berikhtiar sedaya upaya untuk menjadi saksi kepada misi Gereja untuk mewartakan Berita Baik Tuhan kepada umat manusia yang sedang mencari terang, kebenaran dan hidup.

Veronica Caronica


Kejayaan saya menyertai Inisiasi Kelas Dewasa (IKD) pada 2019/2020 merupakan salah satu daripada doa-doa saya yang telah dijawab oleh Tuhan Yesus walapun saya masuk pada pertengahan kelas. Pelajaran kami turut terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sehingga memberi impak yang amat besar dalam kehidupan manusia keseluruhannya.

Saya masih ingat lagi, salah satu doa dan azam saya pada malam tahun baharu 2019: “Tuhan Yesus, aku mohon agar Engkau permudahkan aku untuk menyertai Engkau dengan mengikuti dan mempelajari ajaran Katolik pada tahun ini (2019) dan dapat menerima Roti Kudus”.

Sebenarnya hasrat saya untuk menyertai kelas IKD merupakan satu niat yang sudah lama tertangguh. Bukan saya tidak berusaha untuk mendapatkan maklumat mengenainya. Namun kerana kekangan kerja, pertukaran negeri bekerja dan ketiadaan maklumat membantutkan niat saya untuk menyertai kelas IKD.

Tetapi saya berfikir positif; mungkin Tuhan tahu saya belum benar-benar bersedia pada masa itu.

Tiba-tiba pada suatu hari, salah seorang ahli keluarga sebelah suami, yang memang sudah lama tahu mengenai niat saya, telah membawa risalah yang memaklumkan mengenai pendaftaran kelas IKD.

Baharulah saya tahu ada kelas IKD anjuran Gereja Katolik berhampiran kawasan perumahan saya iaitu, St Collette, Malihah.

Tanpa berlengah lagi, pada hari pertama saya terus mendaftar diri di St Collete, Malihah pada masa itu.

“Ya Tuhan Yesus, aku pernah mengalami kesusahan dan keperitan hidup sebelum ini dan hanya Engkaulah tempat ku bersandar dan memohon belas kasihan, dan ternyata Engkau telah mendengarkan doa-doaku, ya Tuhan”.

“Sebab itulah aku percaya, ya Tuhan Yesus, hanya Engkaulah harapan, Engkaulah sinar dan Engkaulah segala-galanya bagi kami. Terima kasih, ya Tuhan Yesus. Aku amat-amat bersyukur dengan segala rahmatMu yang telah Engkau limpahkan ke atas kehidupanku kini. Amen.” 

Amanda Genda Sating (IKD 2019/2020 St Collette Malihah Kuching)


Madeleine Mini Anak Daying (kiri)

Sebelum ini saya tidak ada pegangan agama dan tidak tahu apa itu RCIA. Suami saya adalah seorang penganut agama Kristian (Roman Katolik) yang sentiasa membawa saya ke gereja setiap Misa pada hari Ahad.  Saya tidak pandai berdoa dan tidak memahami Misa yang saya hadiri. Dalam masa yang sama, saya berdoa seperti orang Kristian lain, dan saya rasa doa saya didengari dan dikabuli Tuhan Jesus Kritus. Lebih-lebih lagi ketika saya dalam kegelapan dan mencari erti kehidupan, dibebani banyak masalah, stress di tempat kerja, dan sakit. Saya sentiasa didatangi pelbagai masalah peribadi dan keluarga, yang sangat menyakitkan sehingga saya penat menangis. Lepas satu, satu lagi penyakit datang yang tidak  sembuh-sembuh.  

Pada suatu malam, saya bermimpi di mana saya berada seorang diri di atas gunung, dengan hujan ribut yang kuat menimpa diri saya, dalam ketakutan dan rasa sangat lemah. Saya nampak seorang lelaki sempat menarik tangan saya dan menyelamatkan saya sebelum saya jatuh dan pengsan. Saya percaya Tuhan Jesus adalah Penyelamat saya.

Doa Rosari banyak menyedarkan saya dan membuka hati saya. Banyak pengalaman pahit  yang saya alami sebelum saya menjadi penganut agama Kristian. Saya merasakan hidup saya tidak lengkap jikalau saya tidak ada kesedaran ketika itu.

Pada setiap Misa yang saya hadiri, saya hanya melihat sahaja orang lain menerima Ekaristi Kudus sambil berdoa. Dan saya terfikir, bila lagi giliran saya? Maka perasaan malu itu tiba-tiba timbul dalam fikiran saya. Itulah sebabnya saya terbuka hati untuk memasuki kelas RCIA dan ingin menjadikan agama Kristian (Roman Katolik) sebagai pegangan hidup saya sepanjang hayat.

Pada 4 November 2020, saya dan rakan-rakan lain dari kelas St James yang tamat pengajian RCIA dengan jayanya telah diraikan dalam satu majlis gilang-gemilang di Katedral St Joseph Kuching. Pada majlis yang bermula pada pukul lapan malam dalam suasana yang sederhana dan tenteram, kami telah menerima Sakramen-Sakramen Pembaptisan, Konfirmasi dan Ekaristi Kudus di hadapan paderi yang mulia. Ini merupakan detik bersejarah dalam perjuangan peribadi saya dan juga suami saya yang tidak akan pernah kami lupakan. Akhirnya kami berdua yang sah menjadi suami isteri di mata Tuhan Maha Esa kita Yesus Kristus dapat meneruskan kehidupan seharian kami bersama dua orang anak remaja kami dengan tenteram, penuh keyakinan dan pengharapan. 

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada para guru, paderi dan pihak tadbir urus Paroki St Joseph di atas bimbingan, tujuk ajar, sokongan dan kerjasama yang mereka telah berikan sepanjang kursus RCIA. Semoga kalian selalu diberkati Tuhan. 

Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan kepada suami, anak-anak, wali saya dan semua ahli keluarga tersayang di atas sokongan dan semangat yang kalian sentiasa berikan kepada saya di sepanjang perjalanan saya untuk mencari dan mengenali Tuhan Yesus lantas menjadi pengikutNya buat selama lamanya. 

Sebagai seorang Kristian yang sah diterima ke dalam Gereja Roman Katolik, saya anggap segala peristiwa yang telah saya lalui dalam RCIA sebagai pengalaman peribadi yang indah dan sangat bermakna sebagai seorang Kristian Katolik. 

Terima kasih. Tuhan sentiasa memberkati. Amen.

Madeleine Mini Anak Daying

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.