Perhimpunan Pastoral Keuskupan Sibu rai perpaduan dan pembaptisan

Perhimpunan Pastoral Keuskupan Sibu di Pusat Pastoral Kemuyang, 24–25 November 2023.

“Alangkah baiknya dan indahnya apabila saudara-saudara diam bersama dalam perpaduan.” (Mazmur 133)

Oleh Sibu SOCCOM

SIBU — Lagu tema rasmi Perhimpunan Pastoral Keuskupan Sibu dilancarkan pada perhimpunan tersebut yang diadakan pada 24–25 November 2023 di Pusat Pastoral Kemuyang di sini.

Perhimpunan tersebut menarik 133 saudara-saudari dari 12 paroki selain seorang religius dari Keuskupan Sibu.

Dipimpin oleh Capuchin Friar Raphael Samosir dan beberapa rohaniwati dari Perkumpulan Religius Karmel Puteri, lagu tema itu mengandungi kata-kata ini, “Gather in Unity, in Unity… Lai Lai Lai, Lai, Lai, Lai…” (Berkumpul dalam perpaduan, dalam perpaduan… Lai Lai Lai, Lai, Lai, Lai…) Ia mengungkapkan panggilan semua saudara-saudari untuk datang dan sama-sama berjalan dalam komuni (kesatuan) dan mengambil bahagian dalam Misi Tuhan kita, Yesus Kristus, sambil menggemakan visi keuskupan, “supaya semua kita menjadi satu”. (Yohanes 17:11, 21-23)

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Uskup Joseph Hii mengajak semua saudara-saudari untuk “Meraikan Pembaptisan Kita” yang merupakan tema Perhimpunan Pastoral Sibu. “Pembaptisan adalah identiti sama kita yang menjadikan kita anak-anak Tuhan dan saudara-saudari,” kata beliau.

Perhimpunan itu mendengar laporan dari 12 paroki dan seorang religius, yang antara lain mengetengahkan keunikan paroki dan pengalaman masing-masing dalam menyampaikan mesej yang mereka terima sewaktu persiapan pada tahun lepas bagi pelancaran Tahun Jubli 2025 dan Konvensyen Pastoral Malaysia 2026 oleh Perhimpunan Pastoral.

Perhimpunan itu juga menyaksikan peserta dibahagikan kepada 19 kumpulan sebanyak tiga kali untuk memasuki ‘Perbualan Rohani’, satu konsep yang diperkenalkan oleh Sinod mengenai Sinodaliti dan diamalkan dalam komuniti perhimpunan di sini.

Sewaktu ‘Perbualan Rohani’, kesemua perwakilan berpeluang untuk menyatakan dalam pengalaman mereka “satu-satunya mesej paling penting” yang telah menyedarkan, memberi inspirasi atau menyentuh mereka.

Perhimpunan berakhir dengan Misa yang dirayakan oleh Uskup Joseph bersama Ketua Vikar, Msgr Michael Lee, Canselor Fr Alphonsus Tang, Rektor Katedral Sacred Heart, Fr Philip Hu, Fr Simon Lau dari Paroki Kristus Raja di Bintangor, Fr David Ho dan Fr Michael Mandagiri dari Paroki St Herbert di Song, Fr Joseph Sebastian dari Paroki St Peter dan St Paul di Mukah, Capuchin Friar Raphael Samosir, Fr Fabian Kong, Fr Oniz Kihokolho, Fr Johanez, Fr George Omuto, Fr Blaise sereta paderi Claretian, Fr Rajan.

Dalam homili beliau, Uskup Joseph menegaskan pembaptisan kita meletakkan pada kita kewajipan untuk menyampaikan kepercayaan kita. Beliau mengingatkan ibu bapa tentang panggilan pembaptisan mereka, “Anda harus menjadi katekis pertama bagi anak-anak anda.” Kewajipan untuk menyampaikan kepercayaan kepada anak-anak terutamanya menjadi tanggungjawab ibu bapa, bukan katekis atau guru Sekolah Minggu.

Beliau juga mengingatkan semua perwakilan dan paderi untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin dengan sikap rendah hati sama seperti hamba biasa yang menyediakan perkhidmatan biasa. Terutamanya ketika berjalan bersama golongan muda, “ia menuntut kita untuk turun ke tahap mereka”. Elak daripada merendahkan orang lain, “jangan mengajar mereka, sebaliknya berjalanlah bersama mereka. Kurangkan bercakap, lebihkan mendengar”.

Jika tidak, menurut beliau, golongan muda akan menutup diri daripada kita, yang tanpa sengaja menjadi halangan bagi mereka untuk mengalami Kristus. Apabila kita hidup dalam komuniti bersama saudara-saudari kita dalam Kristus, bantulah satu sama lain untuk mengalami Tuhan menerusi pengampunan dan belaskasihan.

Paling utama sekali, biarlah Roh Kudus membimbing kita. Perhimpunan seperti ini menyediakan peluang untuk mendengar dan menanggapi panggilan Roh Kudus.

Perhimpunan Pastoral Wilayah Sarawak pada tahun depan dijangka diadakan pada 16–20 September 2024. 

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Diocese of Sibu Pastoral Assembly gathered in Unity, to celebrate its Baptism

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.