Perhimpunan Pastoral Keuskupan Agung Kota Kinabalu 2024

KOTA KINABALU — Seramai 637 peserta telah menyertai Perhimpunan Pastoral di Keuskupan Agung Kota Kinabalu bertempat di Katedral Hati Kudus pada 3–5 Okt lalu. Buat julung kali dalam sejarah, perhimpunan itu telah membuka penyertaan kepada lebih ramai perwakilan berbanding perhimpunan terdahulu. Di luar jangkaan, perhimpunan pertama selepas pandemik Covid-19 itu ternyata mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada 23 paroki dan 11 komisi keuskupan.

Perhimpunan PAX itu adalah kesinambungan kepada perjalanan Sinod yang telah bermula sejak tahun 2021 lagi menuju ke Konvensi Pastoral Malaysia 2026. Perhimpunan itu juga menghimpunkan uskup, paderi, religius serta pemimpin awam di bawah satu bumbung sebagai satu keluarga besar untuk mendengar, menilai, dan mencadangkan tindakan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan perjalanan kehidupan Gereja.

Berbeza dengan perhimpunan sebelumnya, perhimpunan kali ini memberi penekanan kepada konsep duduk bersama dan mendengar antara sesama sebagai satu pendekatan untuk mempromosikan elemen perpaduan di dalam individu dan komuniti Gereja.

Dalam ucapan pembukaan, Uskup Agung John Wong menyeru agar semua peserta dapat mengikuti sepenuhnya perhimpunan itu kerana pengisiannya yang padat dan merangkumi tiga fasa yang saling berkaitan iaitu merayakan, mendengar dan berjalan bersama. Prelatus itu juga menyampaikan rasa terujanya melihat kesungguhan dan kerjasama daripada setiap paroki dalam menyediakan video perkongsian yang menceritakan perjalanan misionari dan pembentukan iman di paroki masing-masing.

Selain itu, setiap paroki juga diminta untuk meneliti dan berbincang akan cabaran Gereja masa kini yang memberi fokus kepada empat kunci utama iaitu Keluarga, Gereja, Masyarakat dan Ekologi. Berdasarkan empat perkara itu, setiap paroki mengetengahkan tindakan susulan yang wajar diambil dan praktikal dalam satu jangka masa yang bersesuaian.

Kemuncak kepada program itu adalah ucapan yang disampaikan oleh Kardinal Sebastian Francis pada hari ketiga. Kardinal Sebastian sekali lagi memberi penekanan kepada tiga elemen penting perhimpunan pastoral iaitu merayakan, mendengar dan berjalan bersama. Dia juga memberikan sedikit taklimat berkenaan dengan Konvensi Pastoral Malaysia 2026 yang akan diadakan di Pusat Retret Majodi, Johor.

Perhimpunan Pastoral 2024 diakhiri dengan perayaan Misa Kudus yang dirayakan bersama oleh Kardinal Sebastian, Uskup Agung John dan para paderi di Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Selepas Misa Kudus berakhir, semua peserta beredar ke dewan untuk makan tengahari sebelum bertolak balik ke destinasi masing-masing.

Catholic Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.