Oleh Edna Pristy Fening
SHAH ALAM, Selangor — Perayaan KAGAPE (Kaamatan, Gawai, Panen) 2024 di Gereja Divine Mercy di sini telah disambut dengan meriah pada 14 Julai 2024.
Sambutan ini menghimpunkan komuniti yang merayakan pesta menuai, terutamanya umat yang berasal dari Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak.
Komuniti setempat dan umat dari Indonesia juga tidak ketinggalan.
Tema perayaan KAGAPE pada tahun ini adalah ‘Inkulturasi, Inklusiviti, Komuniti’, yang dicerminkan sepanjang sambutan.
Acara Tamu KAGAPE bermula seawal jam 9 pagi, di mana sebanyak 24 gerai telah dibuka.
Sepanjang tamu berlangsung, setiap gerai mengamalkan ajaran ‘Laudato si’, dengan inisiatif untuk mengurangkan penggunaan plastik.
Gerai-gerai menjual pelbagai jenis makanan dan minuman tradisional serta kraf tangan yang menjadi salah satu tarikan pada sambutan ini.
Misa Sambutan KAGAPE dalam Bahasa Malaysia telah dirayakan oleh Uskup Datuk Cornelius Piong dari Keuskupan Keningau, Sabah.
Misa dirayakan bersama Paderi Paroki Gereja Divine Mercy, Fr George Harrison, dan bekas Paderi Paroki Gereja Divine Mercy, Fr Simon Labrooy, serta Fr Paulino Miranda.
Umat yang hadir turut mewarnai sambutan dengan memakai pelbagai busana tradisional suku kaum masing-masing, yang menambahkan lagi keunikan dan keindahan Perayaan KAGAPE pada tahun ini.
Misa Sambutan KAGAPE diperkayakan lagi dengan tarian kebudayaan dari Sabah, Sarawak dan Indonesia.
Kumpulan koir KUBM Gereja Divine Mercy menyanyikan lagu-lagu Misa dalam pelbagai bahasa dan dialek etnik suku kaum Sabah, Sarawak dan juga Indonesia.
Homili Uskup Cornelius menekankan kepentingan budaya dalam mengungkapkan iman kita.
Cara dan bahasa, tarian dan nyanyian kita, semua ini adalah pemberian Tuhan yang perlu kita sedari untuk sentiasa bersyukur dan berbangga dengan identiti kita.
Beliau juga menekankan bahawa inklusiviti adalah sifat Tuhan yang kita juga harus praktikkan dalam gereja.
“Untuk membangun umat yang memperjuangkan sifat komuniti memerlukan sikap ambil peduli dan sentiasa setia kepada Kristus, walau apa pun,” katanya ketika menghuraikan kepentingan dan tema KAGAPE pada tahun ini.
Antara keunikan perayaan pada kali ini, kesemua umat yang hadir telah diberi benih sayur-sayuran sebagai cenderahati.
Pemberian benih tersebut melambangkan sabda yang ditabur di dalam hati umat beriman.
Semoga benih-benih ini tumbuh subur dalam kehidupan, seterusnya menghasilkan buah-buah kebenaran serta keadilan.
Benih-benih tersebut telah diberkati bersama Kitab Suci, bersempena dengan sambutan bulan Kitab Suci.
Sebelum berkat perutusan, pemberkatan bagi peperiksaan akhir semester telah diberikan kepada ‘Catholic Varsity Students’ (CVS) UiTM dan IPTA/IPTS lain.
Kedatangan Uskup Cornelius di Dewan St Faustina bersama para paderi, diiringi paluan tabuh Iban, telah disambut dengan penuh kemeriahan oleh umat yang menunggu di dalam dewan.
Kehadiran mereka di dalam dewan pula disambut oleh paluan gong dari Sabah dan para penari Sekolah Minggu Gereja Divine Mercy.
Kehadiran tetamu jemputan khas, iaitu Presiden Persatuan Anak Borneo Semenanjung, Gangging Sanggau, Pensyarah Kanan UiTM Puncak Alam, Dr Ajau Danis, Pengerusi Majlis Pengetua Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, (Ts) Dr Noradzar Baba, anggota badan bukan kerajaan (NGO), Solidarity Anak Sabah, dan Ahli Majlis Pastoral Paroki (PPC) memeriahkan lagi majlis di Tamu KAGAPE.
Ketibaan para jemputan dan umat telah disambut meriah dengan persembahan tarian rampaian Sabah oleh anak-anak Sekolah Minggu Gereja Divine Mercy.
Antara persembahan lain yang telah disajikan adalah alunan musik Gu Zheng daripada wakil ‘Chinese Apostolate’, tarian daripada anak-anak ‘Tamil Apostolate’, tarian ngajat Iban, tarian Orang Ulu dan tarian Dusun Kujau.
Hadirin turut dipersembahkan dengan nyanyian daripada Uskup Cornelius, Fr George, Richard Rajak (Pengerusi KUBM CDM) dan Engelbert (ahli koir KUBM CDM) serta tarian oleh Brother Albert dan tim pelayan altar.
Penutupan sambutan KAGAPE dan perayaan musim menuai telah disempurnakan dengan acara ‘ngetas ranyai’ dan ‘ngiling bidai’.
Sambutan Perayaan KAGAPE 2024 di Gereja Divine Mercy, Shah Alam, telah disambut dengan penuh rasa syukur serta semangat inkulturasi, inklusiviti dan kebersamaan komuniti yang begitu erat.
Acara ini memancarkan kepelbagaian yang memperkukuhkan ikatan di antara masyarakat.
Semoga semangat sukacita dan solidariti ini terus mengukuhkan lagi umat sebagai satu komuniti yang padu dan harmoni.