Pengampunan, Pengudusan dan Pengurapan Roh Kudus di Retreat Penyembuhan

MAKA AKU AKAN SEMBUH … Father Michael Payyapilly di Retreat Penyembuhan Ilahi Lent yang diadakan pada 24-26 Februari 2023 di CEWC. (Foto: Today's Catholic/Shannon Wei)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Sebagai persiapan bagi musim Lent, Keuskupan Agung Kuching telah menganjurkan Retreat Penyembuhan Ilahi Lent selama tiga hari di Pusat Ibadat Ekumeni Kristian (CEWC) pada 24–26 Februari 2023.

Temanya ialah “Behold I Am Making All Things New”. (Wahyu 21:5)

Mewakili Keuskupan Agung Kuching, Fr Galvin Richard Ngumbang mengalu-alukan lebih 700 peserta, dan Fr Michael Payyapilly VC dari Pusat Retreat Ilahi di Colombo, Sri Lanka serta Fr Joseph Kannampally VC selaku Pemimpin Perkumpulan Vincentian Wilayah Andhra, yang mengendalikan retreat.

Seminarian Vincentian seangkatan

Semenjak pentahbisan mereka (selang beberapa hari antara satu sama lain) pada Disember 2006, Fr Michael sudah melawat lebih 50 buah kota di seluruh dunia untuk mengadakan retreat. Beliau menerima tugasan pertamanya di luar negara sebagai perintis ministri Divine-Potta di Australia pada 2013, menubuhkan Pusat Retreat Ilahi Somersby di New South Wales, Australia dan seterusnya menjadi Pengarah Vincentian Ministries di Melbourne, dan Pusat Retreat Ilahi Tabor di Mumbai.

Fr Joseph pula pernah menjadi pengarah beberapa Pusat Retreat Ilahi di negeri Andhra Pradesh selain pernah menjadi pengarah Popular Mission Retreats di wilayah Andhra dan melayan di beberapa buah negeri di India selain berkhutbah di negara-negara Teluk.

ALAT TUHAN … Fr Joseph Kannampally. (Foto: Today's Catholic/Shannon Wei)

Lent Selama 40 Hari 

Fr Michael memulakan retreat (pemukiman) dengan satu arahan. Peserta mesti fokus kepada satu niat utama dalam hidup mereka dan menyerahkan niat itu kepada Yesus di setiap sesi sepanjang retreat.

Beliau berkata retreat itu boleh menjadi satu Misi Lent, umpama penyucian selama tiga hari dalam tempoh persiapan Lent selama 40 hari. “Serahkanlah diri kita kepada Tuhan, kerana ‘40 hari’ adalah satu perjalanan pemuridan yang bermakna,” kata Fr Michael.

Uskup Agung Kuching Simon Poh turut hadir untuk memberkati peserta retreat dan keluarga mereka, dan beliau bersetuju dengan Fr Michael apabila beliau berkata “Lent selama 40 hari adalah masa untuk duduk dan menunggu Tuhan”. Beliau menasihatkan mereka untuk “mendengar Tuhan. Apabila kita mendengar, Dia sangat dekat dengan kita”.

Fr Michael turut menceritakan tentang Nuh dan banjir dalam Al-Kitab, yang beliau tafsirkan sebagai tempoh “penyucian”. Tempoh 40 hari itu tidak harus dilihat sebagai tempoh “kemusnahan” tetapi dilihat sebagai perlu supaya “yang lama dibersihkan dan yang baharu boleh bermula”.

ALLELUIA … Pujian dan Sembah, Retreat Penyembuhan Ilahi Lent, CEWC. (Foto: Today's Catholic/Shannon Wei)

Sepanjang retreat selama tiga hari itu, Fr Michael dan Fr Joseph mewartakan Firman Allah. Dengan anekdot daripada pengalaman hidup mereka sendiri sebagai kesaksian atau testimoni kepada kepentingan dan impak Firman Allah, kedua-dua paderi menyampaikan pesan bahawa kita perlu memahami perhubungan kita dengan Yesus dan perhubungan-Nya dengan kita.

Apabila kita mencari tanda kasih dan bertanya “adakah aku dikasihi?”, kita mesti “merangkul Salib Kristus”, dan menyedari bahawa makna kasih Allah adalah “Yesus yang dianugerahkan-Nya”. Hanya apabila “kita intim dengan Tuhan” baharulah kita dapat melihat dan mendengar Tuhan.

Fr Joseph menyampaikan testimoni peribadi tentang bagaimana keluarga beliau mengalami kasih dan belas kasihan Allah dengan mengungkapkan Mazmur 50:15, “Berserulah kepada-Ku pada waktu kesesakan; Aku akan menyelamatkan kamu, dan kamu akan memuliakan Aku.”

Peserta retreat juga diberitahu, “enggan mengampuni” adalah dosa paling besar kerana ia bertentangan dengan sifat Yesus (Kolosi 3:13). Apabila berdoa, kita akan bersatu dengan Allah. Dengan mempercayai Firman Allah (Joshua 3:5) “kuduskanlah dirimu pada hari ini, Tuhan akan melakukan keajaiban dalam hidupmu esok”, kita boleh menjangkakan rahmat Allah atas kita.

Lebih memahami Firman Allah

Selepas mendengar khutbah Fr Michael dan Fr Joseph, ramai peserta berkongsi testimoni bahawa mereka lebih memahami Firman Allah, melepaskan “dosa enggan mengampuni” dan disentuh dengan penuh kuasa oleh Roh Kudus. Ada yang memberikan kesaksian tentang doa-doa yang dijawab seperti penyembuhan bagi penyakit khusus atau kesakitan fizikal, kebangunan semula kepercayaan serta kesedaran bahawa “berhasil” adalah lebih penting daripada “berjaya”.

PENUH … Dewan yang penuh di Retreat Penyembuhan Ilahi Lent, CEWC. (Foto: Stephanie Chua)
MENCARI PETUNJUK … Para peserta Retreat Penyembuhan Ilahi Lent dari sudut lain di CEWC. (Foto: Stephanie Chua)

Beberapa peserta, yang menyatakan mereka hadir dengan jangkaan dan perasaan bercampur-baur, mengaku mereka gembira mereka telah membuat keputusan untuk menyertai retreat itu. Berdoa bersama dalam sesi Pujian dan Sembah yang penuh kuasa, Misa, Eksposisi dan Pemujaan Sakramen Maha Kudus untuk menamatkan setiap hari retreat membantu mereka merasai kehadiran Allah dan mengalami kasih-Nya.

Puji Tuhan! Alleluia!

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Participants learn about Forgiveness, Sanctification and anointing power of the Holy Spirit at Healing Retreat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.