Oleh Fabian Dickson
SKRANG — Seramai 57 orang belia termasuk ibu bapa dari lima zon iaitu CYM zon Sri Aman, CYM zon Lubuk Antu, CYM zon Skrang, CYM zon Betong dan CYM zon Saratok telah menyertai program Doa Taizé di gereja St Anthony, Skrang pada Sabtu, 26 Mac 2022. Menerusi tema Jesus We Enthrone You (Psalm 123:1), ini merupakan program bulanan yang ke-3 anjuran Parish Youth Ministry (PYM) Our Lady Queen of Peace, Sri Aman dengan kerjasama belia CYM zon Skrang. Matlamatnya untuk membawa para belia dan umat gereja membuka hati dan mempersiapkan diri dengan sepenuh jiwa mendalami musim Pra-Paskah.
Testimoni dari peserta:
Leo Spencer Kellymbang Anak Coloni: “Saya telah mengikuti program Taizé yang diadakan di gereja St Anthony, Skrang. Semasa program Taizé itu dijalankan, saya dapat merasakan yang kuasa roh kudus hadir pada ketika itu bersama saya. Saya berasa sangat sedih, mengingati mendiang bapa saya yang telah meninggal pada bulan Oktober tahun lepas akibat Covid-19. Saya tidak dapat menahan air mata sebab saya belum sempat lagi memohon maaf atas dosa yang telah saya lakukan kepada mendiang bapa saya. Semasa Taizé itu, saya berasa sangat bersalah dan teramat berdosa kepada beliau. Jadi saya berdoa dan memohon ampun atas segala dosa yang telah saya lakukan kepada mendiang bapa saya semasa dia masih hidup. Saya dapat merasakan mendiang bapa saya ada bersama saya ketika Taizé itu dijalankan kerana semacam ada yang memegang bahu saya dari belakang. Saya berdoa dan harap roh bapa saya tenang di atas sana bersama Tuhan Yesus. Pengalaman ini memang tidak saya lupakan sampai bila-bila.”
Emmanuel Benidiet: “Ini adalah kali ke-2 saya mengikuti Doa Taizé dan pengalaman kali ini sangat berbeza dari sebelumnya kerana sekarang ini saya lebih memahami Doa Taizé melalui input yang diberikan lebih mudah untuk difahami oleh saya. Jadi, saya disini ingin berkongsi pengalaman saya sewaktu Doa Taizé ini, terdahulu, sejujurnya saya rasa lega kerana dapat meluahkan apa yang tersurat dan tersirat di dalam diri saya di dalam melayani Tuhan dan kehidupan seharian. Di dalam kehidupan seharian, saya percaya semua orang mempunyai rasa keletihan dari segi mental dan fizikal lebih-lebih lagi di dalam berkerja diladang-Nya Tuhan. Pengalaman mengikuti Doa Taizé ini saya dapat menceritakan perjalanan di dalam kehidupan seharian dari segi gembira, duka dan lain-lain.”
Agnes Azlin Wetty Anak Kiding: “Ini merupakan pengalaman kali pertama saya menyertai Doa Taizé. Saya dapat merasakan kehadiran roh kudus yang memberikan ketenangan dalam hati dan fikiran saya. Saya juga dapat merasakan kehadiran roh kudus yang menyentuh hati saya untuk lebih mendekatkan diri dengan Tuhan.”
Program pada malam tersebut dimulakan dengan sesi Sing-Along dan Fellowship sebelum diteruskan dengan sesi Doa Taizé. Deacon Henry Jimbey turut memberikan pengisian penting seperti maksud dan pengenalan mengenai sejarah Doa Taizé. Akhir sekali, beliau juga menyeru para belia untuk berbuat baik dan saling mengampuni sesama manusia. Program Doa Taizé ini dilihat sebagai titik mula penyatuan para belia yang rindu akan pelayanan di Paroki Our Lady Queen of Peace, Sri Aman.