KUCHING — Pada kebiasaannya, apabila berakhirnya Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK), Pelatih Konstabel Polis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching akan diraikan dalam satu Majlis Perbarisan Tamat Latihan (POP). Untuk Pelatih beragama Kristian pula, pihak Gereja All Saints’ PULAPOL Kuching biasanya akan menganjurkan Majlis Kesyukuran dan pemberkatan untuk mereka.
Berbeza untuk bekas pelatih PLAK Bil. 28 Siri 12/2019 yang tamat Latihan pada April lalu, tiada sambutan diadakan untuk mereka. Pandemik Covid-19 telah membatalkan semua bentuk keraian dan sambutan berkait Tamat Latihan mereka. Bagi mengubati kesedihan mereka, Gereja All Saints’ mengambil inisiatif dengan mendapatkan Uskup Agung Simon Poh, untuk mendoakan mereka, memberkati dan mengutus polis-polis Kristian yang baru ini, melalui rakaman video. Untuk skuad ini, terdapat seramai 158 orang pelatih Konstabel yang beragama Kristian dari seluruh Malaysia, datang daripada pelbagai denominasi gereja. Mereka kini telah ditempatkan bertugas di formasi masing-masing di seluruh Malaysia pada awal Mei lepas, dengan penerbangan khas ke Kuala Lumpur dan Sabah.
Uskup Simon mengucapkan tahniah kepada para bekas pelatih Konstabel ini di atas tamatnya Latihan mereka di PULAPOL Kuching. Dalam amanatnya, beliau membacakan ayat Alkitab, Matius 5:13–15, dan berpesan kepada para Konstabel Kristian ini seperti ayat Alkitab, “Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga.” Beliau menggalakkan agar Konstabel Kristian ini untuk menggunakan aplikasi Alkitab Versi Borneo (AVB) untuk kemudahan mereka ketika mereka bertugas di perantauan. Selesai perkongsian Alkitab, Uskup Simon memberkati dan mengutus para Konstabel baru ini.
Mengimbas kenangan lama, Uskup Agung Simon Poh mempunyai sejarah manis bersama
Gereja All Saints’. Suatu ketika dahulu sekitar tahun 1996–1999, semasa beliau merupakan Paderi Paroki di St Ann Kota Padawan, Uskup Simon selalu merayakan Misa Kudus di Gereja tersebut. Malah beliau juga telah memberkati Bangunan Gereja itu pada awal penubuhannya.
Gereja All Saints merupakan sebuah gereja yang amat unik dan istimewa. Terletak dalam Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Jalan Puncak Borneo, gereja ini merupakan sebuah gereja milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk warga Polis Kristian di PULAPOL Kuching. All Saints’ merupakan sebuah Gereja Ekumenikal, yang menggabungkan warga polis Kristian di situ bersama staf, keluarga dan pelatih, yang terdiri daripada berbagai denominasi. Di bawah Badan Kebajikan Kristian (BKK) PULAPOL Kuching, gereja ini bertumbuh dan terus dikendali dengan baik untuk kerohanian dan kebajikan ahli-ahlinya. Paroki St Ann, Kota Padawan juga meletakkan Gereja ini sebagai salah satu gereja dalam jangkauannya, terutama untuk umat Katolik yang ada di situ. Perkembangan gereja ini boleh diikuti di Laman Facebook: All Saints’ Church PULAPOL Kuching.
All Saints’ PULAPOL
Berita dalam Bahasa Inggeris: New Policemen Recruits: Blessed and Sent