Pemberkatan patung Santa Maria pada Hari Raya Santa Perawan Maria Diangkat Ke Syurga

Pemberkatan patung baharu Santa Maria. (Gambar: St Ann Media)

Oleh Paroki St Ann

KOTA PADAWAN — Perayaan Hari Raya Santa Perawan Maria Diangkat ke Syurga pada tahun ini menjadi lebih istimewa dengan upacara pemberkatan patung Santa Maria yang baharu didirikan di halaman gereja St Ann, Kota Padawan. 

Hari Raya Santa Perawan Maria Diangkat ke Syurga adalah salah satu perayaan penting dalam liturgi Gereja Katolik. Ia memperingati keyakinan bahawa Maria, ibu Yesus, diangkat ke syurga dengan tubuh dan jiwanya, sebagai penghormatan di atas kemurnian dan peranan bonda yang istimewa dalam sejarah keselamatan. 

Perkara ini dapat dilihat melalui bacaan Injil pada hari tersebut, iaitu Injil Yesus Kristus menurut Lukas 1: 39-56 yang menceritakan tentang kunjungan Maria kepada Elisabet. 

Elisabet menyatakan: “Siapakah aku ini sampai ibu Tuhanku datang mengunjungi aku? Sebab sesungguhnya, ketika salammu sampai kepada telingaku, anak yang di dalam rahimku melonjak kegirangan. Dan berbahagialah ia yang telah percaya, sebab apa yang dikatakan kepadanya dari Tuhan akan terlaksana.”

Renungan yang dikongsikan oleh Friar Nelson Evarinus Sipalan, OFM mengambil contoh kehidupan Santa Perawan Maria yang mengalami dan mencintai Tuhan sehingga saat mati. Ia merupakan satu teladan yang amat penting untuk kita sebagai umat Katolik. 

Kita seharusnya percaya bahawa suatu hari nanti apabila mengalami saat kematian, kebangkitan dalam jiwa dan tubuh seperti Perawan Santa Maria akan berlaku kepada diri kita juga.

Upacara pemberkatan patung Santa Maria yang baharu ini berlangsung pada jam 8.30 pm, setelah selesai Misa Kudus Hari Raya. 

Perarakan umat dari gereja ke halaman gereja dengan membawa lilin menyaksikan kegembiraan dan kesyukuran umat ketika air suci dipercikkan ke patung tersebut. 

Upacara pemberkatan ini dipimpin oleh Friar Don Don Ramerez, OFM, selaku Rektor Paroki Gereja Santa Anna bersama Friar Nelson Evarinus Sipalan, OFM.

Hari Raya Santa Perawan Maria Diangkat ke Syurga tahun ini tidak hanya menjadi momen untuk memperbaharui iman, tetapi juga mempererat kebersamaan umat di St Ann Kota Padawan. 

Patung Santa Maria yang baharu diberkati ini akan menjadi tanda nyata bagi kebaktian dan kasih sayang umat kepada Bonda Maria. 

Semoga dengan adanya patung ini, setiap orang yang datang ke gereja ini diingatkan akan kasih Tuhan yang dinyatakan melalui Maria, dan mereka semakin dikuatkan dalam perjalanan iman mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.