By Jessica Ruja anak Raphael
SARATOK — Tanggal 19 Ogos 2023 merupakan hari yang penuh bersejarah dan kesyukuran khususnya bagi umat Katolik di Meruji Kabo kerana mereka telah menyaksikan hari pemberkatan dan perasmian gereja baharu oleh Uskup Agung Kuching, Simon Poh dengan perayaan Misa Kudus pada jam 4.00 petang pada hari yang sama.
Dianggarkan sekitar 100 umat yang datang dari rumah panjang sekitar Meruji dan komuniti Katolik dari Zon Sri Aman, Zon Skim Skrang, Zon Betong serta Zon Saratok telah mengambil peluang untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu.
Turut hadir sama di upacara tersebut adalah Fr Henry Jimbey dan Seminarian Shawn Wong yang berasal dari Singapura.
Uskup Agung Simon Poh dalam homilinya memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan atas berkat dan rahmat-Nya yang senantiasa dicurahkan kepada para pengikut-Nya khususnya umat Katolik di Gereja St Mathew.
Uskup Agung mengingatkan semua umat untuk sentiasa bersandar sepenuhnya kepada Tuhan dan menjadikan Roh Kudus sebagai panduan bagi iman kita.
Beliau juga menyeru kepada semua umat agar memupuk amalan kehidupan berdoa dalam kehidupan seharian. Bersandarkan sikap sedemikian, ia dapat membina hubungan lebih intim dengan Tuhan.
Mengulas tentang sejarahnya, tapak pembinaan gereja itu merupakan tanah perkebunan dimiliki umat Katolik Meruji sendiri iaitu Tuai Rumah Panjang Matalie Anak Enteban serta anaknya Cassidy Najeal Anak Matalie.
Mereka dengan murah hati ingin menyerahkan tanah bagi tujuan mendirikan sebuah gereja. Hasil perbincangan bersama Fr Jerome Juleng, mereka bersetuju untuk membangunkan gereja di tapak tersebut.
Kerja-kerja awal meratakan tanah dan pembersihan bermula pada tahun 2020.
Peter Engkassan turut membantu menyumbangkan barang-barang untuk pembinaan awal gereja tersebut.
Pada awal tahun 2023, Unit Bagi Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) telah menyediakan peruntukan sebanyak RM150,000 bagi tujuan kerja-kerja pembinaan gereja.
Nama gereja tersebut telah diilhamkan oleh Fr Augustine Jepy sempena nama santa Tuai Rumah Panjang Matalie iaitu St Matthew.
Pada hari yang istimewa itu, Peter Sangin selaku Pengerusi Gereja St Mathew menyampaikan ucapan terima kasih atas lawatan Uskup Agung Simon Poh yang merayakan Misa Pemberkatan.
Seterusnya, beliau mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan daripada umat Katolik dari seluruh zon di bawah naungan Paroki Sri Aman.
Tidak ketinggalan juga terima kasih buat komuniti gereja yang telah menyumbangkan tenaga, masa dan sokongan yang tidak berbelah bagi dalam mengusahakan gereja itu.
Dengan adanya gereja itu, umat dapat mengadakan ibadat, atau Misa dengan lebih selesa.
Semoga umat bersatu dan sama-sama menjaga kerohanian sebagai satu komuniti Kristian yang memiliki semangat kekitaan.