Pelancaran PROTEC Tahun 4 dan Musim Penciptaan 2023 di Miri

SEJAGAT… Malam Solidariti bagi delegasi ECCJ-MSB yang dianjurkan oleh Paroki St Dominic and the Rosary, Miri.

Oleh G. Clare Westwood

MIRI — KEMPEN PROTECT OUR EARTH, PROTECT OUR CHILDREN (PROTEC) Tahun Empat yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Keuskupan bagi Keadilan Penciptaan Malaysia, Singapura dan Brunei (ECCJ-MSB) telah dilancarkan bersama Musim Penciptaan 2023 dengan perayaan Ekaristi khusus di Katedral St Joseph di sini pada pagi 31 Ogos 2023. 

Tema Tahun Empat bagi PROTEC (1 September 2023 hingga 31 Ogos 2024) adalah ‘Cut fuel consumption’ (Kurangkan penggunaan bahan bakar) dengan fokus kepada bahan bakar pengangkutan. Sementara itu, tema bagi Musim Penciptaan 2023 (1 September hingga 4 Oktober setiap tahun) adalah ‘Let justice and peace flow’ (Biarlah keadilan dan kedamaian mengalir).

TRADISIONAL… Perarakan kemasukan bagi Misa untuk melancarkan PROTEC Tahun Empat dan Musim Penciptaan 2023..

Pemimpin utama perayaan Misa adalah Uskup Diosis Miri, Uskup Richard Ng, yang dibantu oleh Presiden ECCJ-MSB, Uskup Joseph Hii. Penari yang memakai kostum etnik, diekori delegasi ECCJ-MSB yang dengan bangga membawa panji keuskupan masing-masing, mengetuai perarakan kemasukan sementara kongregasi menyanyikan lagu Iban yang merdu ‘Apai, Peda Kami Ditu’. 

Dalam homili beliau, Uskup Richard menghuraikan bagaimana keadilan diasaskan dalam diri Tuhan. Beliau memetik Nabi Amos, dengan menekankan bahawa penyembahan tidak bermakna bagi Tuhan tanpa keadilan. Beliau berkata keadilan adalah hak asasi yang dilanjutkan kepada dunia di sekeliling kita dan yang mesti dipertahankan oleh kita sebagai anak-anak Tuhan. Uskup Richard menyeru kepada semua untuk tidak berputus asa dengan situasi pemanasan bumi kerana “Tuhan berada di pihak kita. Tuhan adalah pembela orang miskin dan tertindas termasuk seluruh penciptaan—inilah peribadi Tuhan”. Beliau menggesa semua pada peringkat individu dan secara kolektif untuk mengurangkan tapak kaki karbon dengan mengurangkan penggunaan bahan bakar.

Ucapan penutupan telah disampaikan oleh Uskup Joseph Hii. Beliau berkata hakikat bahawa jemaat hadir dari Malaysia, Singapura dan Brunei untuk Misa pelancaran itu menunjukkan kesatuan dan perpaduan kita, bahawa kita benar-benar dalam perjalanan sinodal yang sekarang melibatkan seluruh Gereja. Bukti lanjut bagi perjalanan sinodal ini adalah Ikrar Keuskupan Ekologikal yang ditandatangani semua uskup Malaysia di Pusat MAJODI pada bulan Julai tahun ini. Beliau menyeru kepada semua untuk “menaruh impian yang besar, bahawa kita benar-benar dapat mengubah Bumi menjadi sebuah planet yang boleh dihuni bukan sahaja bagi diri kita sendiri tetapi bagi generasi pada masa depan”.

Misa berakhir dengan pembentangan panji-panji PROTEC Tahun Empat dan Musim Penciptaan 2023 oleh kedua-dua uskup untuk melancarkan kedua-dua program secara rasmi.

LESTARI… Bengkel tentang Dekarbonisasi: Perspektif Malaysia pada 31 Ogos 2023 di SMK St Joseph, Miri.

Kira-kira 30 wakil delegasi Suruhanjaya Keadilan Penciptaan dari kesemua keuskupan di Malaysia di luar Miri serta Keuskupan Agung Singapura telah pergi ke Miri untuk merayakan Misa Pelancaran dan mengambil bahagian dalam acara lain. Ia termasuk Mesyuarat Agung ECCJ-MSB pada 30 Ogos lalu. Pada petang 31 Ogos, sebuah bengkel bertajuk ‘Dekarbonisasi: Perspektif Malaysia’ telah dianjurkan di dewan sekolah SMK St Joseph. Ia terbuka kepada orang ramai dan dihadiri pelbagai lapisan masyarakat. Ia turut dimeriahkan oleh kehadiran para pegawai Majlis Bandaraya Miri dan ketua masyarakat tempatan.

Pada malam 31 Ogos, delegasi menikmati Malam Solidariti yang meriah sambil menjamu makanan tempatan yang enak dan menyaksikan persembahan tradisional oleh jemaat paroki Gereja St Dominic and the Rosary, Miri. 

KENANGAN… Delegasi ECCJ-MSB bersama Uskup Joseph Hii dan Uskup Richard Ng selepas Misa sempena Hari Doa Sedunia bagi Penjagaan Penciptaan pada 1 September 2023.

Delegasi ECCJ-MSB meraikan Hari Doa Sedunia bagi Penjagaan Penciptaan dengan Misa dirayakan pada pagi 1 September 2023 di Chapel St Francis. Dalam homili beliau, Uskup Joseph fokus kepada kepentingan menghormati pengetahuan dan kebudayaan peribumi yang menurutnya mengajar kita bagaimana untuk menjalin hubungan yang sihat dengan alam semula jadi. Pada hujung Misa, Uskup Richard menyampaikan kepada setiap wakil delegasi sebuah beg cenderamata yang disumbangkan oleh Keuskupan Miri.

Pada tahun 2020, Uskup-Uskup Katolik Malaysia menandatangani KEMPEN PROTEC bagi semua keuskupan di Malaysia. PROTEC dijalankan selama lima tahun dari 1 September 2020 hingga 31 Ogos 2025 dengan tema yang berbeza setiap tahun. Tema PROTEC bagi Tahun Satu adalah ‘Use less electricity’ (Kurangkan penggunaan elektrik) diikuti dengan ‘Cut down meat, dairy and food waste’ (Kurangkan daging, tenusu dan pembaziran makanan) bagi Tahun Dua, dan ‘Stop plastic pollution’ (Hentikan pencemaran plastik) bagi Tahun Tiga.

Pada Julai 2023, Uskup Joseph menulis sepucuk surat kepada semua keuskupan tentang PROTEC Tahun Empat dan Musim Penciptaan 2023. Dalam surat tersebut, beliau menjelaskan, walaupun wujud ikrar semasa, dunia sedang menuju pemanasan bumi melebih tiga darjah Celsius menjelang Tahun 2100 jika kita tidak mengubah keadaan secara drastik sekarang. Satu perkara yang jelas tidak dapat dirunding adalah penamatan penggunaan bahan bakar fosil yang menjadi sumber bagi hampir kesemua tenaga yang kita gunakan.

Itulah sebabnya kenapa pada awal tahun 2023, ECCJ-MSB melancarkan Projek Decarbonising Malaysia di mana Gereja Roman Katolik di Malaysia memberikan komitmen kepada usaha menggalakkan dan memudahkan peralihan yang adil kepada ekonomi yang saksama, bingkas, dapat tumbuh semula dan nyah karbon di negara ini dari dalam Gereja Katolik. Tema PROTEC Tahun Empat untuk mengurangkan penggunaan bahan bakar khususnya dipilih sebagai sebahagian daripada projek ini kerana sektor pengangkutan menyumbang 14 peratus kepada pengeluaran gas rumah hijau (GHG) di dunia. Di Malaysia, sektor itu bertanggungjawab bagi kira-kira 28 peratus daripada pengeluaran GHG keseluruhan di negara ini, dan pengangkutan jalan menyumbang 85 peratus kepada perangkaan tersebut.

Semua paroki di Malaysia digesa meraikan PROTEC TAHUN EMPAT dan Musim Penciptaan 2023.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: PROTEC Year 4 and Season of Creation 2023 launched in Miri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.