Oleh Linda Bordoni
KOTA VATIKAN — Paus Francis menyampaikan salam mesra kepada para peserta Sukan Musim Salji Olimpik yang telah bermula di Beijing pada 4 Februari lepas, dan Sukan Musim Salji Paralimpik yang akan bermula pada 4 Mac.
Dalam ucapannya di Perhimpunan Umum Hari Rabu, beliau mengucapkan selamat berjaya kepada penganjur dan para atlet.
“Sukan, dengan bahasanya yang sejagat, dapat membina jambatan persahabatan dan solidariti antara manusia dan bangsa-bangsa daripada setiap budaya dan agama.”
“Maka itu, saya menghargai hakikat bahawa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah menambah perkataan ‘Communiter’, yang bermaksud ‘Bersama’, kepada cogan kata Olimpik yang bersejarah ‘Citius, Altius, Fortius’, iaitu ‘Lebih Pantas, Lebih Tinggi, Lebih Kuat’: supaya Sukan Olimpik boleh memupuk dunia yang lebih bersaudara,” katanya.
Pada 20 Julai 2021, Sesi IOC meluluskan perubahan kepada cogan kata Olimpik yang mengiktiraf kuasa penyatuan sukan dan kepentingan solidariti.
Seperti yang dijelaskan oleh Paus Francis, perubahan itu menambah perkataan “bersama” selepas sengkang hujung kepada ‘Faster, Higher, Stronger’, yang bermakna cogan kata Olimpik baharu sekarang dibaca dalam Bahas Latin sebagai ‘Citius, Altius, Fortius – Communiter’.
Pingat paling penting
Paus seterusnya berkata, beliau khususnya memikirkan tentang seluruh dunia Paralimpik.
“Kita akan sama-sama memenangi pingat paling penting jika contoh para atlet kurang upaya membantu setiap orang untuk mengatasi prejudis dan ketakutan serta menjadikan komuniti kita lebih mesra dan inklusif,” katanya.
Ini, kata Paus Francis, “adalah pingat emas yang sebenarnya!”
Kesaksian atlet pelarian
Beliau menamatkan ucapan dengan memberitahu bahawa beliau mengikuti, dengan tekun dan teruja, cerita-cerita peribadi para atlet pelarian.
“Semoga kesaksian mereka membantu menggalakkan masyarakat madani untuk membuka hati dengan keyakinan yang lebih tinggi kepada semua, tanpa meninggalkan sesiapa pun,” katanya, sambil mendoakan “pengalaman persaudaraan yang unik bagi keluarga Olimpik dan Paralimpik yang hebat”.
Vatican News (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Pope: May Beijing Olympics and Paralympics foster fraternity